Wednesday, June 23, 2021

Bayaran Mahal Tak Setara Dengan Perkhidmatan....

Kualiti jalur lebar mudah alih Malaysia rendah
PETALING JAYA: Khazanah Research Institute (KRI) mendedahkan bahawa kualiti jalur lebar mudah alih yang dinikmati pengguna internet di Malaysia lebih rendah berbanding apa yang dilaporkan oleh penyedia perkhidmatan, termasuk di kawasan bandar yang mempunyai infrastruktur lebih baik berbanding kawasan luar bandar.

Perkara itu merupakan antara dapatan yang dimuatkan dalam buku #NetworkedNation: Navigating Challenges, Realising Opportunities of Digital Transformation yang diterbitkan di laman web KRI.

Menurut institusi penyelidikan itu, Malaysia bagaimanapun merupakan negara yang mempunyai jaringan digital tinggi, dengan 90 peratus isi rumah menggunakan internet, kebanyakannya melalui jalur lebah mudah alih dalam telefon pintar.

“Pola penggunaan internet menunjukkan jurang generasi digital yang kian mengecil dengan peratusan pengguna internet berusia 50 tahun ke atas meningkat daripada 4.2 peratus kepada 16 peratus antara tahun 2012 hingga 2018.

“Sebaliknya, jurang jantina digital semakin meluas dengan peratusan pengguna internet dalam kalangan wanita menurun daripada 43.6 peratus kepada 41 peratus dalam tempoh yang sama,” katanya dalam kenyataan dekat sini semalam.

Selain itu, penyelidik KRI turut mengesahkan bahawa aktiviti dalam talian yang paling popular dalam kalangan penduduk Malaysia ialah aktiviti komunikasi dan media sosial.

Namun jelasnya, aktiviti dalam talian yang berkaitan pekerjaan dan pembelajaran tetap rendah walaupun dengan peningkatan kebergantungan terhadap internet semasa pandemik Covid-19.

“Buku ini turut mendedahkan bahawa jurang digital dari segi kemahiran digital dan sambungan internet berlaku bukan hanya di peringkat isi rumah tetapi juga di peringkat perusahaan, dengan syarikat yang lebih besar mampu memperoleh keuntungan lebih besar daripada alat digital sementara syarikat kecil dengan dana dan pengetahuan teknologi yang terhad terus tercicir,” katanya.

Sementara itu, buku tersebut turut menyarankan supaya transformasi digital yang ingin dijalankan negara melibatkan setiap lapisan masyarakat dengan menitikberatkan kesejahteraan sosial dan hak asasi manusia selain pembangunan ekonomi.

Menurut buku tersebut, corak pemikiran “masyarakat digital” melibatkan pertimbangan pembangunan dan reka bentuk, bukan hanya untuk kecekapan tetapi juga keterengkuman.

“Kerangka dasar yang mengutamakan masyarakat ini menyedari bahawa cabaran yang dihadapi masyarakat digital tidak dapat diselesaikan dengan hanya menggunakan penyelesaian teknikal tetapi juga penyelesaian sosial.

“Oleh itu, dasar awam yang inklusif dan bersedia adalah kunci kepada transformasi digital Malaysia,” jelasnya. – UTUSAN

No comments:

Post a Comment