Sunday, June 27, 2021

Sekarang Semua Nak Hibrid

Semenjak tular pandemik Covid-19, kita semakin kerap mendengar istilah hibrid dikumandangkan di dada akhbar, laporan berita, webinar malah di warung kopi. Banyak aktiviti manusia ditindikkan dengan istilah hibrid sebagai satu tanda usaha menyelesaikan masalah terkait kekangan akibat prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Antaranya pembelajaran secara hibrid, bekerja secara hibrid, majlis secara hibrid, malah di Malaysia mutakhir ini sedang popular dengan cadangan penganjuran sidang Parlimen secara hibrid.

Namun, apa sebenarnya hibrid itu? Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, hibrid membawa dua maksud. Pertama, anak (haiwan atau tumbuhan) yang dihasilkan daripada pencantuman dua jenis benih yang berlainan (kacukan). Maksud kedua, sifat sistem yang terbentuk daripada gabungan beberapa teknologi berlainan. Kamus Komputer terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka pula menakrifkan hibrid sebagai sifat sistem yang terbentuk daripada gabungan beberapa teknologi berlainan.

Daripada beberapa takrifan di atas, dapatlah kita simpulkan bahawa penggunaan istilah hibrid dalam konteks kehidupan era Covid-19 adalah gabungan atau adaptasi beberapa sistem atau teknologi yang baik dalam menghasilkan sesuatu supaya perkara itu dapat dilaksanakan dengan lebih efisien dan mesra SOP Covid-19.

Pendekatan hibrid dilaksanakan bertujuan memberikan keseimbangan kerja produktif dan optimum dengan tekanan (stres) yang berkurang dan kurangnya pergerakan manusia. Ia mengoptimumkan penggunaan sains dan teknologi terkini serta sistem kerja lebih cekap. Pelaksanaan budaya kerja hibrid menjadikan beberapa perkara yang dahulunya dianggap kekangan untuk menghasilkan produktiviti sebagai mitos. Sebagai contoh, kekangan jarak yang jauh, masa singkat serta kekurangan pekerja.

Hibrid mencantas karenah birokrasi dan protokol remeh. Sebagai contoh mudah, jika dahulu sesuatu urusan memerlukan kita berjumpa pegawai, mencetak dan mengisi borang, mendapatkan tandatangan dan pengesahan pelbagai peringkat serta melibatkan pergerakan dari satu pejabat atau kaunter berlainan, namun apabila budaya hibrid diaplikasikan, kita dapati banyak urusan tersebut mampu diselesaikan hanya dengan kita berada di rumah, duduk menghadap komputer, tanpa helaian borang bercetak. Menariknya, urusan itu diselesaikan dengan sempurna.

Sekarang masyarakat semakin terbiasa dengan norma hibrid. Sebelum ini, contohnya majlis perkahwinan perlu dibuat pelbagai peringkat acara, merisik, meminang, majlis akad dan persandingan. Senarai undangan mencecah ribuan orang. Persediaan jamuan, hiasan, pakaian dan perkhidmatan yang bukan kepalang. Umpama tidak sah perkahwinan tanpa rantaian ini. Hikmah adanya Covid-19, kita dapat melihat semakin banyak pasangan melalui proses perkahwinan dengan sangat ringkas. Tiada lagi acara, tiada lagi undangan dan jamuan besar. Akad nikah dibuat sederhana di pejabat agama malah ada juga secara dalam talian. Gabungan antara tuntutan agama serta budaya dengan kemudahan sains dan teknologi membolehkan rukun pernikahan ini dilangsungkan. Yang penting, ia cukup syarat dan sah di sisi syarak.

KREATIF, DINAMIK
Begitu juga acara-acara lain seperti persidangan dan seminar yang menjadi webinar, sesi pembelajaran dan pengajaran, majlis konvokesyen universiti dan seumpamanya.

Semuanya pada ketika ini dapat diteruskan secara hibrid dan mencapai matlamat asas yang ditetapkan. Perkara-perkara bersifat kosmetik yang terpaksa digugurkan dari acara-acara ini merupakan satu keperluan, demi memenuhi SOP dan peraturan yang ditetapkan kerajaan demi menyekat penularan wabak.

Persekitaran kerja hibrid membolehkan manusia menjadi lebih kreatif dan dinamik. Dengan pergerakan terbatas, kebersamaan fizikal yang terhalang, manusia akan sentiasa memikirkan bagaimana untuk melaksanakan sesuatu tugasan dari jarak jauh. Dalam hal ini, teknologi dan kemudahan komunikasi dalam talian banyak membantu merealisasikan sesuatu proses kerja secara hibrid.

Masih terlalu awal untuk kita memutuskan keberkesanan dan produktiviti kerja secara hibrid ini lebih baik daripada kaedah biasa. Namun, satu kajian dibuat Boston Consulting Group mendapati 75 peratus daripada pekerja yang melaksanakan transisi kerja ke kaedah hibrid menunjukkan prestasi serta produktiviti lebih baik atau setanding dengan cara kerja sebelum pandemik. Ini satu petunjuk yang positif. Sudah pasti di peringkat penyesuaian ini masih banyak berlaku masalah dan kekurangan, tapi apabila semua pihak mula memahami dan mengadaptasi budaya baharu ini, ia akan bertambah lancar malahan lebih berdaya maju untuk diteruskan.

Pembudayaan hibrid terbukti dapat banyak menjimatkan sumber. Sama ada dari sudut kewangan, tenaga kerja, masa dan kelestarian alam sekitar. Kaedah hibrid memberikan kebebasan dan autonomi kepada manusia dalam mencatur urusan kerja dan peribadi masing-masing. Sesungguhnya kehadiran pandemik Covid-19 menjadikan manusia lebih efisien dan terbuka dalam melaksanakan sesuatu perkara. Sesuatu yang dahulunya dianggap asing dan pelik untuk dilaksanakan, kini sebahagiannya menjadi budaya kerja.

Pembudayaan hibrid merupakan satu kejayaan transformasi dalam sistem kehidupan manusia era baharu. Namun begitu, kebebasan dan kesenangan yang terhasil daripada budaya hibrid tidak akan lestari sekiranya tidak diisi dengan nilai-nilai suci seperti amanah, jujur dan integriti.

Oleh: Shafry Salim
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.

No comments:

Post a Comment