Sunday, June 20, 2021

Konsep Asalkan Ada Suami?

Kes-kes keganasan atau penderaan dalam rumah tangga yang semakin menjadi-jadi di negara ini begitu jelas menunjukkan bahawa kaum hawa tidak bolehlah ‘buat-buat bodoh’ dan terdesak untuk menarik perhatian lelaki mengahwini mereka.

Maksudnya di sini, mereka perlu hati-hati memilih. Jangan main tangkap muat sahaja. Yalah, sebab ada yang beranggapan menjadi isteri kedua, ketiga malah keempat pun tidak mengapa asalkan ada suami.

Sudahnya, ada yang terjebak dengan suami yang kaki pukul, pemalas, tak memberi nafkah pada keluarga dan paling teruk ada yang merogol anak sendiri atau anak tiri.

Lebih memburukkan lagi keadaan, perkara ini didiamkan pula, demi tidak mahu kehilangan suami tercinta yang kononnya tempat bergantung hidup! Macam mana kita nak faham wanita sebegini menyayangi suami sampai sanggup membiarkan kehidupan anak sentiasa dihantui ketakutan?

Konsep asalkan ada suami, tidak mahu menjanda atau tidak mahu hidup bersendirian dalam usia yang semakin meningkat ini sewajibnya dibuang jauh-jauh. Sedangkan kalau kita lihat ramai saja yang hidup sendiri pun jauh lebih baik daripada yang ada suami, jadi kenapa tidak pasal-pasal mahu mencari pasal?

Saya bukan mahu mempromosi konsep lebih baik single daripada mencari masalah, yang ingin saya tekankan di sini betapa wanita perlu ‘bijak’ mengatur kehidupan mereka.

Berapa banyak lagi kita akan membaca kes-kes yang memualkan ini semata-mata sikap ‘buat-buat bodoh’ dan terdesak untuk mendapatkan jodoh?

Kes isteri ketiga dipercayai ‘dibalun’ oleh suami sehingga koma baru-baru ini adalah antara banyak kes yang boleh dielakkan jika wanita teraniaya ini tidak berdiam diri sejak awal.

Dalam kebanyakan kes polis, kaki pukul dan panas baran ini akan mengulangi perbuatan jahat tersebut dan ia bukan kali pertama selalunya. Apabila sudah patah riuk atau hampir sepa­ruh mati, baru mangsa melaporkan kepada polis atau ia dilapor oleh jiran dan adik-beradik.

Dan yang hairannya, ada komen dalam media sosial yang saya baca tentang berita wanita koma dipukul suami ini menganggap ia satu masalah rumah tangga dan orang lain tak perlu campur atau mengutuk yang bukan-bukan.

Jika semua orang menganggap penderaan dalam rumah tangga adalah isu dalaman atau peribadi rumah tangga, maka perbuatan memukul, merogol malah membunuh ia bagaikan dihalalkan kerana ia masalah rumah tangga saja.

Sudah tentu memukul dan mencederakan bukan masalah rumah tangga lagi. Ia adalah perbuatan jenayah yang serius. Agak pelik, masih ada yang menganggap ini masalah peribadi orang bersuami isteri.

Dalam pada itu, lockdown atau tekanan emosi pendapatan terjejas semasa pandemik Covid-19 ini bukanlah alasan untuk membelasah isteri dan anak-anak sesuka hati. Kalau tiada duit bermakna ada sebab untuk memukul? Pengaruh filem apakah ini?

Pada saya, lelaki kaki pukul yang hanya berani dengan wanita dan kanak-kanak ini, sepatutnya hidup bermasyarakat di hutan saja. Biar bercampur dengan binatang buas, baru buku bertemu dengan ruas.

Berbalik kepada isu memilih suami, cakap memang senang, macam pakar motivasi, tetapi ini semua bergantung pada diri sendiri.

Jika yang sudah terjebak dengan kehidupan rumah tangga yang membahayakan nyawa, mangsa perlu memikirkan sama ada mahu keluar daripada kehidupan yang menyeksakan itu, atau kekal menderita di situ.

Pilihan ada. Bukan tiada. Soalnya, perlu ada kemahuan, keberanian dan kekuatan.

Antara beberapa kes lain yang masih dalam ingatan saya, seorang lelaki mencampakkan cucu tiri lelakinya yang sedang tidur dari tingkat empat pangsapuri kerana berang gagal merogol anak tirinya.

Lelaki tersebut adalah warga asing. Perkara ini sudah tentu dapat dielakkan jika ibu berkenaan tidak tergesa-gesa mengahwini lelaki tersebut dan memikirkan buruk baiknya. Dan konsep asalkan ada lelaki yang menjadi pelindung dan menjaganya jika ada sakit atau susah, akhirnya memudaratkan keluarga sendiri.

Sampai bila segelintir wanita ini mahu mengekal­kan konsep asalkan ada suami ini, suami buat apa pun tak kisah dan tutup mata?

Sebab itu pada saya, wanita kena sentiasa berfikir dan bertindak secara bijak. Biarlah kita nampak bijak daripada seumur hidup dihukum dengan kebodohan sendiri.

Oleh: Fauziah Md Arof
Pengarang Berita Mingguan Malaysia.

No comments:

Post a Comment