5 golongan bapa yang kita sayangi
Hari Bapa tidaklah disambut sebegitu meriah berbanding Hari Ibu terutama ketika rakyat Malaysia harus terus duduk di rumah kerana patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Bagaimanapun, ia tidaklah bermaksud sambutan itu terus dilupakan pada tahun ini.
Seperti ibu, golongan bapa juga mempunyai peranan penting dalam keluarga dan menyediakan setiap keperluan untuk seluruh ahli keluarga.
Ini adalah beberapa contoh sifat seorang bapa yang biasa kita lihat di Malaysia. Adakah bapa anda mempunyai salah satu daripada personaliti berikut?
1. Bapa yang tabah
Dia tidak banyak bercakap tetapi apabila dia mula bersuara, anda pasti ingin mendengarnya.
Walaupun begitu, dia sanggup mengorbankan apa saja demi melindungi anaknya daripada sebarang ancaman.
Anda mesti biasa mendengar, ‘berhati-hatilah dengan manusia pendiam’ dan seorang anak juga sudah tentu tidak mahu menguji kesabaran bapa pendiam.
Jika dia mula melontarkan beberapa perkataan yang mengguris hati, bermakna dia benar-benar marah dan terus mendiamkan diri.
Namun, di sebalik personaliti garang, masih terselit juga sifat lemah lembut pada bapa ini.
2. Bapa periang
Bapa seperti ini sama ada berjaya membuat lawak yang benar-benar kelakar atau boleh menyebabkan ahli keluarganya ingin bersembunyi kerana ‘malu’.
Mereka diibaratkan seperti Santa Claus yang menyebarkan kegembiraan sambil membuatkan orang ketawa terhadap perangai ‘gila-gilanya’.
Jika anda melalui hari menyedihkan, dia akan sentiasa bersama untuk memujuk hati anda dengan membuat jenaka dan memberi nasihat berguna.
Ketika ahli keluarga berkumpul, dia adalah orang yang diberi perhatian untuk mengemudi suasana pada hari itu.
3. Bapa hebat
Anda sentiasa ingin berjalan bersamanya di mana-mana saja kerana bapa seperti ini menjaga penampilan dan berkarisma tinggi.
Dia tidak akan mengenakan pakaian biasa tetapi pandai mengikuti perkembangan fesyen terkini.
Selain ketrampilan diri, dia juga tahu melakukan tanggungjawab dengan menyusun percutian keluarga,
menunjukkan bakat menyanyi kepada ibu dan bersikap tenang walaupun ditimpa masalah.
Dia tidak perlu memarahi anaknya dengan tujuan mendidik tetapi anda sendiri akan berasa kesal kerana mengecewakannya.
Apa pun, ke mana saja dia pergi, bapa hebat ini akan menjadi perhatian yang membuatkan anda berasa bangga.
4. Bapa yang kaya hobi
Ya, bapa anda seorang yang ‘skema’ tetapi dia bangga dengan dirinya.
Tidak ada salahnya untuk memiliki banyak hobi walaupun mungkin kelihatan agak pelik dengan caranya yang tersendiri.
Orang seperti ini tidak kurang menariknya kerana dia berusaha untuk mencari kegembiraan sendiri dengan melakukan hobinya.
Di luar pejabat, dia tidak akan berhenti bercakap mengenai pelbagai hobinya dan berharap anda juga dapat menyertainya.
Sebagai contoh, setem yang dikumpulnya sejak bertahun-tahun lamanya mungkin diwarisi anda selepas ini.
Minat yang mendalam terhadap sesuatu hobi menjadikan bapa seperti ini mempunyai lebih banyak ilmu dalam perkara berkaitan dan boleh menjadi tempat rujukan anak-anak.
Hanya seorang saja yang boleh mengalih perhatiannya seketika daripada semua itu, iaitu ibu anda.
4. Bapa aktif
Bapa aktif berusaha menjaga badan dan tidak segan untuk menayangkan susuk tubuh sihat dimiliknya kepada rakan lain.
Ketika kebanyakan bapa banyak menghabiskan masa berehat pada hujung minggu, bapa aktif pula sibuk berjoging selama beberapa jam.
Ramai juga anak-anak yang enggan mengikuti rentak bapa seperti ini tetapi tidak salah untuk anda menyertainya.
Dia juga dianggap sebagai aset yang boleh membantu anda meningkatkan kecergasan terutama jika anda menyertai pertandingan sukan di sekolah.
Bapa aktif boleh dijadikan sebagai peneman pada bila-bila masa ketika anda teringin untuk melakukan aktiviti sukan.
6. Bapa kasual
Golongan bapa seperti ini mungkin berpandangan bahawa fesyen itu hanya untuk orang yang lemah.
Baginya, fesyen hanyalah mengenakan baju singlet dan seluar pendek. Anda mungkin terpaksa bertengkar dengan bapa seperti ini hanya untuk memintanya memakai pakaian lebih sesuai untuk majlis tertentu.
Dia lebih gemar memilih pakaian selesa dan longgar kerana ia dianggap lebih sesuai dengan jiwanya.
Apabila dia mengenakan pakaian sut, anda berharap bapa ini menyimpannya semula kerana ia sememangnya kelihatan tidak kena apabila dipadankan dengan seluar hijau.
Namun, tetap ada tarikan pada dirinya apabila setiap kali dia mengenakan pakaian bergaya, ia mengingatkan kembali kepada zaman mudanya. - freemalaysiatoday
No comments:
Post a Comment