BIARPUN reda seketika kemelut politik sejak 12 bulan lalu, namun ‘buih-buihnya’ muncul kembali dalam seminggu dua ini. Gelora desakan-perlu atau tidak Parlimen dibuka.
Seumpama zaman lampau, hari ini juga pergolakan politik tanah air berkisar di sekeliling tokoh-tokoh pemimpin secara peribadi. Dan bukan berdasarkan isu-isu kepentingan masyarakat umum.
Seperti dalam hikayat-hikayat, apabila pemimpin berperang, selalunya atas urusan peribadi, massa Melayulah yang menanggung beban. Ramailah yang akan digembleng dan diadu dombakan.
Dalam krisis ini, siapa yang pandai menangguk di air keruh akan meraih keuntungan. Ditinjau dari perspektif kepentingan massa Melayu, pergolakan politik yang sedemikian tidak bermakna sama sekali. Yakni, pergolakan politik yang bukannya melibatkan prinsip-prinsip yang menyentuh kehidupan mereka, tetapi kebiasaannya tercetus daripada perebutan kuasa dan jawatan.
BAK LAVA
Masih ada pemimpin yang menganggap massa Melayu hanya anak-anak tangga untuk naik ke atas. Sikap mereka masih mencerminkan sikap kurang hormat pemerintah feudal dan penjajah terhadap massa Melayu.
Beberapa pemimpin Melayu mungkin berapi-api dan berkobar-kobar berucap memperjuangkan kepentingan massa Melayu. Malangnya semangat mereka yang meluap-luap bak lava itu padam dan menjadi dingin di akhir pengucapan mereka. Rupa-rupanya itu merupakan ledakan gunung berapi untuk mencari publisiti dan liputan akhbar dan media sosial. Ia tidak disusuli oleh tindakan yang terkesan dan bermakna.
Sama ada disedari atau tidak, sikap mereka yang sedemikian menggugat dan mencemar imej orang Melayu dari satu segi.
Apabila masyarakat lain mendengar atau membaca ucapan-ucapan mereka, mereka berasa segala-galanya dilakukan untuk memajukan massa Melayu – kerana mereka menilai cuma berdasarkan ucapan berkobar-kobar itu. Tanpa diketahui mereka sebenarnya kata-kata indah itu tidak diterjemahkan kepada tindakan.
Dikhuatiri ini menguatkan syak wasangka yang menganggap massa Melayu malas dan sebagainya, kerana segala-galanya ‘telah dilakukan’ buat massa Melayu. Sedikit sebanyak inilah yang telah berlaku kepada sejarah Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Sebenarnya tiada halangan besar bagi pemimpin Melayu secara tulen membantu orang Melayu. Lebih mudah jika mereka melaksanakan program-program yang sah, tanpa mengancam kepentingan masyarakat lain jika mereka kurang bercakap. Yakni, dengan ikhlas dan jujur lakukan apa sahaja yang adil dan saksama.
Dengan ini mereka tidak mencetuskan kebimbangan, keraguan, pergeseran dan bantahan pelbagai pihak seperti yang terjadi dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan PRU-14 tempoh hari.
MERUGIKAN
Akan tetapi cara ini memang tidak digemari oleh pemimpin-pemimpin yang suka meledak dalam ucapan – dibuat-buat untuk menonjolkan diri. Pendekatan meledak ini, meskipun sensasi, cuma merugikan massa Melayu. Mereka menanggung beban tuduhan pihak tertentu bahawa orang Melayu ‘anak emas’ kerajaan. Walhal, mereka (orang Melayu) tidak menerima bantuan sebesar yang disangka.
Banyak faktor menebalkan kabus yang meliputi kesedaran sejarah massa Melayu. Salah satu daripadanya ialah nasionalisme palsu. Mengikut nasionalisme palsu, kita tidak harus membincangkan sebarang kekurangan dan kelemahan kita. Tidak boleh mengkritik atau menegur walaupun secara ikhlas, jujur dan membina. Sebarang usaha ke arah itu ditohmah mengkhianati bangsa. Apabila pandangan seperti itu diselidiki, rupa-rupanya yang tidak disenangi sebenarnya ialah kritikan jujur terhadap pemimpin.
Selalunya pendapat sebegini dimajukan atas nama ‘nasionalisme’ oleh mereka yang tidak pernah mengenal nasionalisme tulen.
Yang dimaksudkan nasionalisme tulen di sini ialah kecintaan yang mendalam terhadap bangsa berdasarkan nilai-nilai kemanusiaan yang tidak bertelagah dengan nilai-nilai sejagat – seperti mana terkandung dalam agama kita.
Yang kita bimbangi kesedaran umum masyarakat Melayu terhadap hal-hal politik dan global yang mengelilingi mereka masih bercorak hikayat. Ya, mengikut sahaja rentak pentas kehidupan seperti dewa-dewi dari kayangan bermain-main di dunia ini dalam motif-motif hikayat – sementara massa Melayu hanya menjadi sebahagian peralatan dan perhiasan.
Beringatlah, bila gajah sesama gajah bertempur, pelanduk yang mati di tengah-tengah.
No comments:
Post a Comment