Siasat hinaan atau rayuan kepada Agong
PETALING JAYA: Penahanan ahli PKR, Iswardy Morni yang didakwa mengeluarkan kenyataan menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tidak seharusnya dikenakan tindakan dengan terburu-buru.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman menyifatkan dakwaan menghina itu mesti diteliti terlebih dahulu kerana ia mungkin sekadar tohmahan pihak tertentu di media sosial.
Menurut beliau, tidak semua perkara boleh dianggap sebagai menghina sebaliknya ia mungkin satu rayuan pertolongan kepada Agong.
“Agong berhak meminta dan mendengar pandangan sesiapa sahaja jadi pihak berkuasa mesti membezakan antara rungutan rakyat dengan apa yang dikatakan menghina Seri Paduka. Ia mungkin dapat membantu Seri Paduka membuat keputusan tepat.
“Jadi pihak berkuasa perlu terbuka dan adil, benarkah ia satu rayuan atau cubaan memburuk-burukkan Seri Paduka atau benarkah apa yang dikatakan di media sosial itu sahih atau rekaan, ini mesti ditimbang semasak-masaknya. Perlembagaan tidak melarang rakyat membuat rayuan kepada Agong, tetapi ia mestilah dibuat secara berhemah, menghormati Raja adalah budaya orang Melayu,” katanya.
Dalam pada itu, pakar perlembagaan, Prof. Datuk Salleh Buang menganggap bahawa apa jua perkataan yang disifatkan menghina Agong mestilah berdasarkan niatnya.
“Adakah individu itu ada agenda tertentu atau dia memang bercakap daripada hati nuraninya sendiri, sebab itu sebarang tuduhan menghina perlu disiasat terlebih dahulu,” katanya.
Bagaimanapun, Salleh berharap mana-mana individu menyampaikan luahan hati kepada Agong mesti dengan berbudi bahasa.
“Dalam isu penghinaan Agong ini, kalau tidak bertindak nanti makin menjadi-jadi pula galaknya, jadi kalau nak beri teguran kepada Agong, tegurlah secara berhemah dan bersopan-santun.
“Di media sosial terutamanya, berilah teguran dengan penuh hormat, kalau gunakan bahasa kesat, biadap dan menyakit-nyakitkan hati orang sudah tentu menyalahi undang-undang,” katanya.- UTUSAN
No comments:
Post a Comment