AKHIRNYA kerajaan memutuskan untuk melaksanakan penutupan penuh (total lockdown) sektor sosial dan ekonomi fasa pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 hingga 14 Jun ini.
Sepanjang tempoh ini, semua sektor tidak dibenarkan untuk beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang ditentukan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN). Kita percaya ini adalah satu keputusan yang tepat dan mendapat sokongan majoriti rakyat.
Ironinya kita sekarang berada dalam persimpangan pilihan antara hidup atau mati, antara nyawa atau ekonomi. Sudah tentu pilihan pertama adalah kesihatan dan nyawa kerana kita boleh bekerja dan mencari pendapatan hanya jika kita sihat dan terus hidup.
Perlu diakui ini adalah satu keputusan yang cukup berat kerana ekonomi rakyat dan negara menerima impak langsung yang lebih serius daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 pada Mac tahun lalu.
Sudah tentu golongan rentan, peniaga dan bekerja sendiri serta yang berpendapatan rendah dan sederhana akan menghadapi cabaran yang besar untuk meneruskan kelangsungan hidup sepanjang penutupan penuh ini.
Kita pernah didedahkan sebelum ini, hampir 2.8 juta pekerja informal dijangka berdepan dengan risiko kehilangan punca pendapatan jika PKP penuh dilaksanakan.
Malah, hasil kaji selidik kesan PKP 1.0 ke atas isi rumah dan perniagaan juga jelas membimbangkan. Antaranya, satu pertiga tidak mampu mengekalkan perbelanjaan melebihi satu bulan manakala 82 peratus pekerja sektor swasta hanya mempunyai simpanan kurang dua bulan.
Secara umumnya, enam daripada 10 isi rumah didapati tidak dapat membeli makanan mencukupi untuk keluarga mereka.
Kesan kepada perniagaan pula, 68 peratus melaporkan tiada jualan atau hasil sepanjang PKP 1.0 manakala 42.5 peratus perniagaan memerlukan lebih dari enam bulan untuk kembali pulih.
Namun, hakikatnya kita sudah tidak ada banyak pilihan pada ketika ini. Peningkatan kes secara mendadak di seluruh negara dengan kadar kematian yang turut naik mencemaskan anggota masyarakat.
Justeru, kita perlu pilih antara nyawa atau ekonomi dan pilihan terbaik buat waktu ini ialah penutupan penuh semua sektor yang dirancang untuk beberapa fasa secara berperingkat.
Tuntasnya, seperti kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, penutupan penuh tetap akan menjejaskan ekonomi, namun kita tidak ada pilihan.
Ekonomi yang rosak dan terjejas boleh diperbaiki tetapi kematian akibat wabak Covid-19 tidak dapat dipulihkan.
PENAT
Sedar atau tidak, peningkatan kes mula merungsingkan Kementerian Kesihatan (KKM). Petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus sejak setahun lalu kelihatan cukup penat dan tertekan kerana kes terus meningkat.
Kecuaian dan kedegilan sebilangan anggota masyarakat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan amat mengecewakan dan seolah-olah langsung tidak menghargai segala jasa dan pengorbanan petugas barisan hadapan.
Percayalah, mereka yang bekerja dengan penuh dedikasi sudah mula tertekan dan masalah kesihatan mereka juga perlu diberikan perhatian serius.
Di samping itu, kapasiti hospital di seluruh negara untuk merawat pesakit Covid-19 juga semakin terhad. Misalnya, kesesakan penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) yang kritikal juga perlu diberi perhatian.
Jika kita membiarkan kes terus meningkat, sistem kesihatan awam negara boleh runtuh dan kita tidak dapat mengawal dan menguruskan wabak ini lagi.
Ini ditambah pula dengan situasi masih ramai lagi anggota masyarakat yang tidak mendaftar untuk mengambil vaksin. Sehingga Khamis lalu, hanya 46 peratus daripada 24.3 juta populasi berusia 18 tahun ke atas telah mendaftar untuk mendapatkan vaksin melalui aplikasi MySejahtera.
Jika beginilah trend pendaftaran secara sukarela, mana mungkin kita mampu mencapai sasaran imuniti kelompok, iaitu 80 peratus penduduk Malaysia disuntik vaksin sebelum akhir tahun.
Hakikatnya, kita juga perlu terima kenyataan betapa sektor ekonomi dan sosial menjadi antara penyumbang utama penularan wabak ini. Misalnya, menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, bermula 1 April sehingga 26 Mei lalu, sebanyak 287 kluster tempat kerja dikesan dengan 17,087 kes.
Analisis KKM mendapati sektor pengilangan melaporkan bilangan kluster tertinggi, iaitu 132 kluster (46 peratus) dalam tempoh sama. Ini diikuti sektor perkhidmatan yang melaporkan 57 kluster (20 peratus).
Malah aktiviti sosial seperti ziarah Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini juga dilaporkan turut mencetuskan kluster baharu di beberapa negeri.
Jadi, adalah amat tepat sekali kita menutup seketika sektor sosial dan ekonomi yang berisiko tinggi bagi melandaikan lengkung kes Covid-19 khususnya yang berpunca dari tempat kerja dan aktiviti sosial.
Jadi, apa yang penting sekarang ialah kita perlu memahami tujuan penutupan penuh ini dan pilihan yang ada. Kerajaan telah membuat satu keputusan yang sukar demi melindungi nyawa rakyat dan tempoh 14 hari fasa pertama ini adalah sangat kritikal.
Justeru, kini semuanya terserah pada kita bagaimana mahu melindungi diri, keluarga dan masyarakat sekeliling. Tuntasnya, pilihan di tangan kita sendiri, antara nyawa atau ekonomi!
Oleh: Noor Mohamad Shakil Hameed
No comments:
Post a Comment