KITA boleh sahaja bersangka baik bahawa pesawat Boeing 737-400 milik Israel yang memasuki ruang udara Malaysia hanya penerbangan ujian. Malah pesawat ini memasuki ruang udara negara ini dengan kebenaran Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
Pesawat itu pula milik Israel Aerospace Industries-Elta (IAI-Elta), bukan Israel Defence Force (IDF). Sekali pandang, tidak ada apa yang perlu dibimbangkan. Tetapi berdepan dengan isu melibatkan kedaulatan negara tidak boleh dibuat semudah itu.
Mesti ingat, kita berdepan dengan Israel yang terkenal dengan manipulasi. Maka perlu dicurigai terhadap semua berkaitan dengan rejim Zionis itu. Tidak boleh ambil mudah dengan sesuatu yang berkaitan dengan musuh seperti Israel yang pada masa sama tidak ada hubungan diplomatik dengan kita.
Kehadiran pesawat itu wajar dibimbangkan walaupun dengan alasan menjalani ujian. Tidak ada pihak yang boleh memastikan sebenar-benarnya penerbangan ujian bukan sebaliknya. Daripada laman web Flightradar 24, pesawat itu dikatakan berlegar selama empat jam mulai pukul 6 pagi 20 Mei lalu. Kalau hal ini benar, penerbangan pesawat itu mempunyai tujuan lain.
Kebimbangan ini ada asas kukuh kerana perkara tersebut berlaku selang beberapa hari selepas Israel melabelkan Malaysia sebagai negara paling tegar menyokong Palestin. Kemudian diikuti ugutan melancarkan serangan siber kepada negara ini. Hal-hal seperti ini sepatutnya menjadi asas kepada CAAM menolak permohonan pemilik pesawat tersebut.
Oleh hal yang demikian, isu pesawat ini tidak boleh dilihat secara berasingan dengan beberapa isu melibatkan Malaysia, Palestin dan Israel. Perkara ini berkaitan antara satu dengan lain walaupun yang terzahir hanya pesawat yang ‘dikatakan’ membuat ujian.
Singapura merupakan ‘anak angkat’ Israel di wilayah ASEAN. Itu pun satu bala kepada negara-negara rantau sebelah sini. Malaysia pula tidak menjalin hubungan diplomatik dengan Israel.
Ada pihak yang cuba mewajarkan kemasukan pesawat berkenaan dengan hujah itu bukan pesawat pengintip, sebaliknya pesawat komersial dan sedang diuji. Pemilik pesawat itu bukan IDF. Jadi, tidak ada yang perlu dibimbangi dengan kehadiran pesawat itu.
Tidak cukup itu, dihujah lagi bahawa Israel tidak perlu gunakan pesawat untuk mengintip. Alasannya sekarang ini ada lebih 16 satelit Israel yang berterbangan di angkasa raya dan boleh merakamkan data mengenai negara ini. Tidak perlu menggunakan pesawat.
Hujah-hujah itu ada munasabah. Bagaimanapun, tidak boleh dijadikan alasan untuk kita berfikir selangkah ke depan mengenai Israel. Banyak sudut lain yang mesti dilihat dan diteliti. Misalnya kemungkinan ini satu bentuk provokasi, boleh jadi berupa ugutan seperti yang telah disiarkan sebelum ini.
RAHSIA
Memang benar satelit yang berlegar di angkasa lebih berkeupayaan untuk mengintip Malaysia. Hal itu memang semua tahu malah kedudukan tempat-tempat strategik dalam ketenteraan bukan lagi satu rahsia. Walaupun begitu, tidak boleh melihat sesuatu berkaitan Israel dengan lurus dan mudah.
Pihak berkuasa seperti CAAM perlu melihat melampaui yang tersurat. Lagi pun kita tidak perlu memberi alasan melarang pesawat dari negara yang tiada hubungan diplomatik memasuki ruang udara Malaysia. Siapa Israel untuk mempersoal kita kalau tidak dibenarkan melintas ruang udara kita?
Ruang udara adalah kedaulatan negara, sama dengan perairan negara. Ini kedaulatan, sama seperti kita menjaga bendera negara supaya tidak diperlakukan tidak senonoh oleh sesiapa juga. Musuh tidak dibenarkan, bukan sahaja berada malah melintas pun tidak boleh.
Tambahan pula keberadaan pesawat itu tidak ada keperluan kemanusiaan yang mendesak, misalnya dalam keadaan kecemasan. Maka semua ini lebih menjurus kesengajaan dan provokasi untuk menunjukkan kepada dunia yang Israel menembusi wilayah Malaysia.
Isu-isu geopolitik apa lagi yang melibatkan pendirian Malaysia terhadap perjuangan kemanusiaan di Palestin, tidak boleh dilihat atau dibaca menggunakan formula matematik. Sensitiviti geopolitik tidak semudah matematik untuk menjawabnya.
Apabila pesawat Israel dibenarkan berada di ruang udara Malaysia sudah tentu ini mengundang banyak pertanyaan. Bukan sahaja tentang keselamatan tetapi kedaulatan dan pendirian Malaysia terhadap isu antarabangsa.
Perbuatan yang dilakukan oleh Israel ini boleh diibaratkan penceroboh siber (hacker) masuk dalam laman sesawang kita kemudian meninggalkan komen menunjukkan keberadaan dia dalam laman itu. Walaupun tidak mengubah isi kandungan tetapi kita faham itu satu provokasi.
Dalam hal begini, kita perlu mengambil teladan pendirian Indonesia yang tidak pernah berubah dalam mendukung perjuangan Palestin. Indonesia seperti juga Malaysia yang sangat menonjol mengecam keganasan Israel. Ini ditunjukkan dengan ketegasan melarang pesawat Israel melintasi ruang udaranya.
Pada kejadian 21 Februari 2017, Indonesia dengan tegas melarang pesawat membawa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menggunakan ruang udara negaranya. Ketika itu pesawat berkenaan akan berlepas dari Lapangan Terbang Changi, Singapura menuju Sydney, Australia.
Sudut geografinya, penerbangan dari Singapura ke Sydney lebih singkat dari segi jarak dan masa kalau melintas dalam ruang udara Indonesia. Bagaimanapun, pesawat berkenaan terpaksa mengalih pada laluan lebih jauh, daripada jarak 6,664 kilometer (7 jam 28 minit) menjadi 9,474 kilometer (11 jam 3 minit).
Apakah kalau kita berada pada kedudukan seperti Indonesia akan memikirkan dan bertindak sedemikian demi kedaulatan negara?
Maka kerajaan perlu segera menjelaskan kepada rakyat tentang kejadian berkenaan, apa lagi difahamkan dengan izin CAAM. Kejadian ini sebenarnya menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat. Ini lebih merupakan isyarat Israel yang dihantar kepada Malaysia. Ruang udara sudah lepas, tunggu serangan siber pula.
Oleh: Ku Seman Ku Hussain
No comments:
Post a Comment