Thursday, October 7, 2021

Rauf Sahkan UMNO Berunding Dengan DAP Di Melaka, Diarah Parti

UMNO mengesahkan mengadakan rundingan dengan parti DAP terlebih dahulu untuk menyelamatkan kerajaan yang diterajui parti itu di Melaka, tetapi tawaran tersebut ditolak oleh parti komponen blok pembangkang, Pakatan Harapan itu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengesahkan rundingan tersebut berlangsung sebelum tumbang kerajaan Melaka yang dipimpin Ketua Menteri (KM) Datuk Seri Sulaiman Md Ali sehingga menyebabkan Dewan Undangan Negeri (DUN) terpaksa dibubarkan.

“Saya cakap terus terang saya berunding malam sebelum itu dengan kepemimpinan DAP, saya menawarkan beberapa solusi untuk kita membendung supaya ini (kerajaan negeri tumbang) tidak berlaku.

“Tetapi adalah lebih malang saya melihat ia tidak diterima pimpinan DAP pada waktu itu,” katanya dalam wawancara secara maya sebuah portal.

Jelasnya, beliau diberi tanggungjawab mewakili partinya iaitu UMNO untuk berunding dengan pimpinan DAP Melaka, ia diatur oleh seorang pemimpin atasan UMNO yang enggan dinamakannya.

“Ini bukan kerajaan negeri, ini antara parti. Saya tidak mewakili kerajaan negeri sewaktu saya berjumpa dengan pucuk pimpinan DAP,” katanya.

“Saya menawarkan seperti mana diputuskan dalam sidang dewan yang lepas, yang mana YAB KM (Ketua Menteri) menawarkan kumpulan parti pembangkang ini jadi rakan strategik untuk membina semula Melaka dan tawaran itu dibuat secara rasmi dalam sidang DUN baru lepas,” katanya.

Untuk rekod, Rauf juga memegang jawatan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang mengumumkan pembubaran DUN baru-baru ini.

Susulan keputusan tersebut, ia akan memberi implikasi satu Pilihan Raya Negeri (PRN) terpaksa diadakan walaupun negara masih dilanda penularan pandemik Covid-19.

Isnin lalu, bekas KM Melaka Datuk Seri Idris Haron bersama tiga lagi ADUN mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Sulaiman.

Rauf juga mendedahkan mengetahui gerakan diatur empat ADUN terbabit dan mendakwa turut melihat kandungan akuan berkanun (SD) yang antara lain membabitkan lantikan seorang bekas Ketua Menteri kembali dilantik ke jawatan itu.

Beliau turut berkata, ‘serangan hendap’ dilakukan untuk menjatuhkan kerajaan negeri tidak mencerminkan pementeraian Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik, dilaksanakan di peringkat negeri.

“Tetapi mengapa kita perlu gegarkan politik Melaka ini dengan gerakan serang hendap terancang, dan saya berterus terang memang ada perbincangan (bersama DAP) saya secara tidak rasmi pada malam sebelum hari kejadian,” katanya lagi. - Agendadaily.com

No comments:

Post a Comment