Saturday, October 9, 2021

Kes Enggan Berdiri Ketika Lagu Kebangsaan Berkumandang, 7 Diperintah Bela Diri

PETALING JAYA: Mahkamah Tinggi Kuching memerintahkan tujuh individu, yang sebelum ini dibebaskan atas tuduhan enggan berdiri ketika lagu kebangsaan berkumandang dalam satu acara, untuk membela diri pada 28 Okt.

Keputusan itu dibuat setelah mahkamah berkenaan mengizinkan rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan mereka oleh Mahkamah Majistret, menurut Borneo Post.

Hakim Zaleha Rose Pandin berpendapat, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap ketujuh-tujuh tertuduh.

Pada 2 Dis 2020, Mahkamah Majistret membebaskan dan melepaskan tujuh ahli Sarawak for Sarawakians (S4S), berusia 33 hingga 64 tahun, setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Tertuduh diwakili Arthur Lee, sementara pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan.

Lee berkata kepada wartawan bahawa muzik yang dimainkan menerusi video YouTube pada acara berkenaan tidak jelas dan mungkin bukan lagu kebangsaan.

“Ia tidak dimainkan dengan sempurna dan anak-anak guam saya dalam situasi tiada kewajipan dari segi undang-undang untuk mereka berdiri,” katanya.

“Ini bukan soal penalti atau denda. Ini soal prinsip dan hak anak-anak guam saya dari segi undang-undang.”

Ketujuh-tujuh tertuduh, iaitu Alex Leong, Kon Tai Keong, Bong Sak Sin, Andrew Chong, Tan Kok Chiang, Pui Ping Ping dan Phang Ngin Pen mengaku tidak bersalah pada 11 Okt 2019 atas tuduhan tidak menghormati lagu kebangsaan.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 8(3) Akta Lagu Kebangsaan 1968 dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh didenda RM100 atau dipenjarakan tidak lebih sebulan, jika sabit kesalahan. - freemalaysiatoday

No comments:

Post a Comment