Thursday, October 21, 2021

Nilai Strategik Pulau Pisang

AMBIL iktibar daripada kes Pulau Batu Puteh yang diserahkan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (IJC) kepada Singapura pada 2008. Justeru, dengan rasa tanggungjawab, khuatir dan penuh insaf, maka Malaysia perlu bertindak segera ‘menyelamatkan’ rumah api Pulau Pisang di perairan Pontian dengan menyemak semula perjanjian 6 Oktober 1900 antara Sultan Johor ketika itu, Sultan Ibrahim dengan Gabenor Negeri-Negeri Selat, Sir James Alexander Sweethenham.

Andai benar perjanjian itu bersifat ‘selagi ada bulan dan bintang’, maka pakar perundangan negara perlu bijak mencermati kaedah mencari klausa keluar daripada perjanjian tersebut untuk melepaskan rumah api di Pulau Pisang daripada penguasaan Singapura seterusnya mengembalikan pengurusannya kepada Malaysia.

Antaranya, kerajaan boleh merujuk kepada Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895. Fasal 15 dan 16 secara ringkasnya menyebut, tiada sesiapa boleh menyerahkan negeri dan kerajaan Johor atau suatu bahagian kepada mana-mana pihak termasuk sebarang kerajaan atau kuasa bangsa Eropah. Fasal ini adalah kekuatan dan kuasa mutlak yang melindungi setiap inci tanah Johor daripada terlepas atau diserahkan kepada pihak lain. Fasal ini mungkin boleh dirujuk sebagai klausa keluar bagi perjanjian dalam kes rumah api Pulau Pisang.

Bagi menghindari konflik, perundingan dua negara perlu dirintis segera. Singapura perlu bersikap jujur dan berlapang dada untuk melupuskan perjanjian itu. Malaysia pula tidak boleh bersikap pasif dan membiarkan masa menentukan keadaan. Atas semangat ASEAN dan setia kawan, kedua-dua negara perlu mengelakkan tindakan yang boleh mengheret soal penguasaan rumah api di Pulau Pisang masuk ke kancah pertikaian.

Rumah api adalah panduan navigasi zaman manusia kuno termasuk ketika tamadun Mesir purba. Jadi, Singapura perlu keluar dari Pulau Pisang dengan bersandarkan hakikat – rumah api sudah tidak ada fungsi dan tidak lagi menjadi rujukan pelayaran zaman berteknologi tinggi sekarang mahupun masa akan datang.

Tugas rumah api sudah diganti dengan sistem kedudukan global (GPS) menerusi paparan di atas skrin. Ia lebih pantas dan cekap bagi membantu kapten kapal membuat keputusan tepat. Apabila GPS dijadikan rujukan navigasi, maka rumah api hilang fungi sekali gus Singapura tidak lagi perlu berada di Pulau Pisang untuk meneruskan pengurusan rumah api tersebut.

Selat Melaka adalah laluan perkapalan paling sibuk di dunia. Lebih 100,000 kapal dagang, kontena, tangki minyak, persiaran mahupun pengangkut tentera menggunakan selat itu. Ia meliputi laluan perkapalan lebih 100 kilometer perairan Pengerang, Selat Singapura dan Selat Melaka.

Tetapi rumah api Pulau Pisang sekadar ‘binaan kecil’ di atas tanah sekangkang kera yang tidak lagi menyumbang dari sudut navigasi di Selat Melaka yang sesak itu.

Namun, dari segi maruah dan kedaulatan, ia tetap milik mutlak Malaysia. Pulau Pisang adalah milik sebuah negara merdeka dan berdaulat!

HELIKOPTER

Perjanjian Oktober 1900 antara lain menyebut kawasan rumah api yang dipersetujui ialah 1 ekar, 1 rod dan 18 poles. Keluasan laluan dari jeti ke rumah api pula ialah 1 ekar, 5 poles manakala keluasan jeti ialah 17 poles. Penguasaan Singapura adalah untuk ruang di atas keluasan tanah yang disebutkan ini. Tidak lebih dan tidak kurang.

Namun, difahamkan pihak berkuasa Singapura ada membina tempat pendaratan helikopter. Oleh itu, Malaysia perlu memastikan tindakan Singapura itu tidak melanggar dan melebihi batasan perjanjian.

Penduduk tempatan pula didakwa dilarang penjaga rumah api untuk menggunakan jeti yang disifatkan menjadi milik persendirian Singapura.
Apakah keeksklusifan ini termaktub dalam perjanjian tersebut?

Pada masa sama, Malaysia perlu menyegerakan tindakan-tindakan strategik lain. Jalan lain meredakan kekhuatiran dalam isu Pulau Pisang ialah kerajaan mengambil tindakan pre-emptive (terlebih dahulu) dan drastik bagi menyediakan pelan pembangunan di situ.

Bawa pembangunan melibatkan sektor pelancongan – pembinaan resort, pusat dan produk makan angin. Atau jika perlu jadikan Pulau Pisang sebagai pangkalan pemantauan dan penguatkuasaan keselamatan bersepadu membabitkan polis marin, maritim, kastam, imigresen dan pasukan elit tentera laut.

Lagipun, penguasaan Malaysia adalah penting untuk membuktikan kedaulatannya terhadap pulau itu! Ketegasan dan penguasaan juga perlu dilakukan terhadap Pulau Sauh, Kemudi dan Tunda di sekitar Pulau Pisang yang memiliki nilai strategik serta perlu dimanfaatkan.

Mengimbas kandungan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), terdapat keperluan segera dan mendesak untuk merealisasikan komitmen mempertingkatkan kesiapsiagaan pertahanan negara. Langkah ini memang wajar berikutan perkembangan mutakhir di rantau ini yang kerap dilanda provokasi China-Amerika Syarikat terutama di Laut China Selatan.

Jadi, Pulau Pisang boleh diangkat menjadi lokasi untuk dijadikan pangkalan bersepadu melindungi kepentingan dan keselamatan Selat Melaka serta memantau ancaman yang datang dari arah selat itu terhadap selatan Semenanjung.

Negeri di selatan Semenanjung khususnya Johor juga terdedah kepada kegiatan pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran melalui jalan laut ke jalan-jalan tikus di sepanjang lebih 250 kilometer pantainya. Walaupun rumah api Pulau Pisang sudah tidak lagi memenuhi keperluan navigasi, namun kapal-kapal dagang yang melalui Selat Melaka tetap memerlukan perlindungan daripada gangguan lanun tempatan mahupun tindakan sabotaj dan jenayah kumpulan radikal atau militan.

Nilai keamanan dan kemakmuran adalah keutamaan masyarakat global. Pulau Pisang boleh menyumbang peranannya ke arah matlamat tersebut. Justeru, pembangunan Pulau Pisang tetap menyumbang kepada kelancaran kapal dagang di Selat Melaka seperti mana sumbangan rumah api di situ suatu ketika dahulu.

Oleh: Mohd. Kamal Ahmad

No comments:

Post a Comment