Friday, October 15, 2021

CSA Bukan Alasan Melayu Tidak Gusar

KUALA LUMPUR – “Benar atau tidak, berasas atau tidak, dakwaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) demi mendapat sokongan undi percaya daripada pembangkang supaya mampu kekal berkuasa melalui persetujuan ‘Confidence & Supply Agreement (CSA)’ ini bukanlah alasan untuk masyarakat Melayu tidak gusar terhadap tindak-tanduk kerajaan, kerana ini adalah permainan pembangkang semenjak sebelum merdeka,” ujar Penyelidik Sejarah Melayu, Zaharah Sulaiman.

Menurutnya, DAP dan MCA menggunakan isu UEC sebagai senjata dan ugutan terhadap kerajaan, konon sebagai sokongan bangsa Cina terhadap kerajaan Malaysia, seolah-olah mereka bukan rakyat Malaysia.

“Pengiktirafan sijil UEC maju selangkah demi selangkah, disokong mereka yang kemaruk kuasa hinggakan matlamat menghalalkan cara, kononnya berjuang atas dasar kesamarataan tanpa kerajaan menyedari sedikit demi sedikit bangsa Peribumi Melayu terpinggir.”

Tambahnya, pendidikan sekolah jenis kebangsaan Cina yang menggunakan bahasa pengantar dan kurikulum dari China sekali gus menunjukkan bahasa Melayu hanyalah syarat untuk mereka berada di Malaysia bagi menguasai ekonomi dan negara ini.

Justeru, kerajaan wajib menilai semula secara serius perlaksanaan dasar dan sistem pendidikan negara dalam isu pengiktirafan UEC.

“Semua negara maju di dunia melindungi dan mementingkan bahasa Peribumi, mengamalkan satu sistem pembelajaran dalam pendidikan sekolah satu aliran, untuk menghasilkan generasi yang berilmu tinggi, berwawasan yang progresif, bersemangat solidariti, tunggak kepada negara teguh,” kata Zaharah.

Kementerian Pendidikan tidak pernah menunjukkan usaha ke arah merungkai untuk memberi pilihan sesuai sebagai sebab-sebab penolakan sijil UEC, malah kerajaan semakin mengalah, dan memberi lebih banyak ruang untuk mereka berkembang, ujarnya.

“Jika usaha menolak UEC ini gagal dan mendapat kecaman, serangan dan tentangan dari bangsa Cina dan berbagai pihak berkepentingan, ia hendaklah dikecam dengan lantang oleh kerajaan dan masyarakat Melayu,” tegas penulis Sejarah Tamadun Alam Melayu Ikatan Ahli Arkeologi Malaysia. - www.samudera.my

No comments:

Post a Comment