SAYA berpendirian, orang Melayu mampu menjadi hebat sehingga menyumbang kepada kemanfaatan peringkat global. Malangnya, naratif yang sering disumbat politikus kita adalah Melayu jenis bakul sahaja.
Melayu bakul takut kepada cabaran dan perjuangan. Ia lebih suka duduk di bawah tempurung atau di dalam kotak kosong yang ditutup rapat supaya selamat sentiasa. Kononnya Melayu bakul tak perlu cari ekonomi banyak-banyak, sekadar makan gaji dan minta pencen, cukuplah.
Melayu bakul tak perlu cakap bahasa lain sebab kerja kerajaan dan kerja dengan Melayu lain pun dah banyak dan okey. Melayu tak perlu baca buku untuk memperbaiki daya saing ekonomi, profesionalisme atau keilmuan.
Kerja profesor universiti awam, polis, guru dan pegawai tadbir diplomatik dah terjamin masa depan sampai ke kubur. Melayu tak perlu menelaah pemikiran, falsafah lain atau nilai kaum selain Melayu tetapi hanya cukup sekadar tanya ustaz, mufti atau ‘ulama bakul.’
Akhir sekali, Melayu bakul suka salahkan semua orang kecuali diri sendiri dan berpendapat orang lain yang perlu berubah, dia sendiri tak payah susah susah. Adakah Melayu nak jadi kaum atau bangsa yang sentiasa dilindungi dan tak boleh berdiri sendiri?
Saya ingin membawa dua contoh nilai Melayu global yang pasti akan menyambung warisan hingga ke akhir masa. Contoh pertama, nukilan Hikayat Hang Tuah yang disunting arwah Kassim Ahmad, seorang Melayu hebat. Nukilan kedua, pemikiran lapang dan bernas arwah (Profesor Datuk) Dr. Siddiq Fadzil tentang hidup harmoni dalam kepelbagaian kaum serta kepercayaan berlunaskan Islam.
Pertama sekali, kalau kita teliti karakter Hang Tuah dalam hikayat, dia mempelajari 12 bahasa untuk menghadapi cabaran hidup dunia Melayu yang kosmopolitan serta sarat dengan pelbagai agama, kepercayaan dan budaya. Bermula Hang Tuah pun besarlah, tahulah ia akan hal ibu bapanya itu. Maka Hang Mahmud (bapa) pun serahkan anaknya mengaji kepada seorang lebai.
LEBAI KELING
Beberapa lamanya Hang Tuah mengaji al-Quran, maka pengajiannya tamatlah. Maka Hang Tuah mengaji nahu pula. Sesudah tamat pengajiannya, maka dia berkata kepada bapanya: “Ayo bapaku, pada bicara hamba, hendak mengaji pula pada lebai Keling supaya hamba tahu pula bahasanya.” Maka kata Hang Mahmud: “Benarlah seperti bicara anakku itu.”
Maka Hang Tuah pun mengajilah dengan lebai Keling. Hatta, beberapa lamanya, maka tamatlah dengan bahasa itu, habislah diketahuinya. Maka Hang Tuah pun berkata pada bapanya hendak mengaji dengan lebai Siam pula supaya diketahuilah akan bahasanya.
Setelah sudah diketahuinya bahasa Siam itu, maka Hang Tuah pun mengaji pula pada seorang lebai Cina. Dengan tiada berapa lamanya maka ia pun tamatlah mengaji bahasa China itu, maka habislah diketahuinya bahasa Cina itu.
Maka Hang Tuah pun mengaji pula pada lebai Jawa, hendak diketahuinya akan bahasa Jawa itu. Kalakian setelah habislah rata diketahuinya 12 bahasa itu, maka Hang Tuah pun pulanglah ke rumahnya bersama-sama dengan ibu bapanya mencari makan sehari hari. (Dewan Bahasa dan Pustaka 1964).
Melayu mempunyai sejarah warisan Majapahit, Sri Vijaya dan Kedah Tua yang menghidupkan tulisan kuno pallava dalam budaya Hindu dan Buddha. Ini warisan kita. Tarian makyung dan mainan wayang kulit adalah warisan Melayu yang perlu dibanggakan, bukannya diharamkan. Hulu keris yang beratus-ratus bentuk haiwan, raksasa, jembalang dan dewa dewi adalah warisan kita. Apa masalahnya?
GARUDA, PARI-PARI
Apa yang kita nak buat dengan legenda garuda atau legenda pari-pari atau orang kayangan dalam hikayat-hikayat kita? Saya seorang Muslim dan tahu had dan pangkal kepercayaan. Saya tiada masalah menerima warisan sendiri yang mungkin bersifat metafora atau kiasan dari jiwa, nilai dan kepercayaan atau kosmologi minda purba. No problem. Nak takut apa?
Saya berbangga bahasa Melayu klasik kata Kassim Ahmad (bekas aktivis politik dan sosial) adalah kacukan sembilan ketamadunan Arab, Tamil, Cina, Feringgi, Jawa, Eropah, Sanskrit, Kawi dan Parsi. Melayu dan bahasanya adalah bersifat global, ribu tahun lalu. Melayu sekarang dah kecil atau kemetot jiwa dan pemikirannya.
Kemudian, mari kita lihat kehebatan jiwa dan pemikiran arwah Siddiq. Dalam ucapannya (sempena penganugerahan Tokoh Maal Hirah 1440H/2018M): “Budaya hidup bersama harus berpangkal dari sikap positif terhadap kepelbagaian. Seperti yang dinyatakan oleh al-Shakyh Abdu ‘Llah bin Bayyah bahawa untuk menangani masalah kepelbagaian dan pluraliti, perlu ada sikap menghormati dan menyenangkan kepelbagaian. Justeru, kepelbagaian adalah kekayaan dan keindahan.”
TONGKAT SAKTI
Melayu global menerima kesemua insan ciptaan Tuhan yang Maha Kaya dan Maha Bijaksana. Tak perlu takut kepada ancaman agama, pemikiran atau budaya orang lain. Kata beliau (Siddiq), antara nilai unggul yang harus sentiasa dijunjung tinggi ialah nilai kemuliaan insan. Manusia adalah makhluk mulia, terlepas daripada persoalan bangsa, agama dan budayanya.
Aspek-aspek seperti demokrasi, hak asasi manusia dan hak kebebasan bersuara semuanya didukung Melayu global yang berfikiran tinggi, waras dan kritis dalam pembacaan, kajian dan falsafah kental. Melayu global bukan jenis dengar radio atau tengok TV, ustaz atau politikus bersyarah dan mengiyakan kesemuanya.
Akhir sekali, Melayu global tidak mengiktiraf penghinaan kaum dan agama lain dengan istilah lapuk mereka yang berpendidikan sehaluan dan tidak kritis.
Sebagai kesimpulan, Melayu sebelum 1980 adalah Melayu global sifatnya sebab ia tidak dikotakkan pemikirannya dengan ilmu agama sekolah rendah atau kata nista pemimpin Melayu singkat akal pasca 1980. Melayu Hang Tuah dan Melayu Siddiq Fadzil tak takut bayang sendiri dan Melayu global mencemuh tempurung atau kotak yang bakal memenjarakan pemikirannya. Melayu global boleh menerima semua cabaran dan berupaya menyumbang kepada kebaikan bersama di persada global.
Semoga Melayu lebih banyak membaca, menelaah, melapangkan dada dan beristiqamah dalam menghadapi cabaran dan tidak mengambil jalan tongkat sakti atau tempurung geliga yang bakal memusnahkan generasinya sendiri seperti lipas-lipas di dalam kotak.
PROFESOR Dr. Mohd. Tajuddin Mohd. Rasdi, Ahli akademik seni bina dan penganalisis kritis media sosial.
No comments:
Post a Comment