POLITIKING sesama parti politik Melayu tidak membawa bangsa ini ke mana-mana melainkan menuju jurang perpecahan. Begitu teruknya politik kita – selepas patah kaki, kita bersusah-payah bertongkat dengan sayap. Selepas patah sayap, kita akhirnya terpaksa bertongkat paruh. Apabila kita sudah bertongkat paruh, ketika itu nasi sudah menjadi bubur dan menangis tidak berlagu.
Pelik, kenapa kita berpolitiking sehingga sanggup bertongkat paruh walhal patah kaki pun sepatutnya dihindarkan? Kita mati-matian berpolitik sedangkan diri boleh menjadi arang dan debu. Di sebaliknya, matlamat dalang perpecahan Melayu ialah mahu melihat kita akhirnya dipecah-pecahkan menjadi bangsa dengan kuasa yang kecil dan mudah ditindas.
Apabila disorot ke belakang, sebahagian tenaga, masa dan fokus pemimpin terpaksa dihabiskan untuk politik. Memang ada projek strategik dilaksanakan untuk memperkukuh dan melengkapkan infrastruktur demi kemudahan rakyat serta memacu pertumbuhan. Tetapi bagaimana dengan projek untuk menjadikan negara kita sebuah hab seperti industri digital dan teknologi termaju serantau? Tindakan perlu dilaksanakan untuk kita mendominasi bidang tertentu di peringkat serantau dan antarabangsa.
Contoh di utara, Thailand sedang mencongak pembinaan jambatan darat sebagai jalan pintas membawa pelbagai kontena perdagangan dan komoditi ke timur atau ke barat. Jambatan ini akan memintas peranan lebuh raya laut di Selat Melaka dan Selat Singapura sebagai laluan pengangkutan yang sama selama ini.
Di selatan pula, Singapura sudah hampir menyiapkan pelabuhan Tuas Mega untuk republik itu kekal dominan sebagai pelabuhan utama dunia. Kalau pun Thailand benar-benar mahu membina jambatan darat untuk kapal dagang pergi atau balik ke timur, Singapura tetap ada kelebihan dan kekuatan menerusi pelabuhan baharu tersebut.
Negara yang menduduki ranking kedua World Bank’s 2020 Doing Business Report itu (Malaysia ranking ke-12), membina pelabuhan canggih untuk menjadi terminal kontena terbesar di dunia bagi memenuhi permintaan syarikat perkapalan mega masa depan.
Contoh lain, Indonesia dengan gagasan memindahkan Jakarta ke Kalimantan walaupun idea itu sudah dibangkitkan beberapa presiden terdahulu. Negara lain juga sudah melaksanakan pelan dan tindakan perlu bagi mempromosikan teknologi untuk semua. Kerajaan atau syarikatnya membuat pelaburan dalam kemahiran digital dan membina infrastrukturnya. Mereka turut menubuhkan syarikat-syarikat permulaan yang disertai ramai usahawan muda dan bakal menjadi kunci kejayaan transformasi digital.
Oleh itu, kita memerlukan lebih banyak pemikiran dan pelan futuristik sebegini untuk generasi masa depan. Kurangkan politik supaya kerajaan boleh memberi tumpuan menyediakan rantaian ekonomi untuk dipacu oleh generasi dan usahawan muda kita khususnya dalam teknologi termaju serta ekonomi digital.
Pemimpin parti politik Melayu perlu terus mengekalkan perpaduan untuk membawa generasi muda yang celik untuk menyertai dan mendominasi digital kini serta masa depan. Perpaduan politik ini penting bagi membolehkan kerajaan meneruskan Agenda Bumiputera supaya bangsa Melayu menyertai dan menguasai industri strategik, berteknologi termaju serta berimpak tinggi seperti digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
EMPAYAR
Lantaran politik itu bersifat dinamik, iaitu hidup dan berubah, maka melibatkan serta mendengari suara generasi muda sangat penting dalam proses perubahan ini. Selaku penerus perjuangan bangsa Melayu, generasi muda perlu dibimbing dalam membina keupayaan untuk berubah dan menyerap perubahan demi kelangsungan kuasa politik serta generasi kita dalam era baharu ini. Kepimpinan politik hari ini perlu menjadi contoh teladan kepada generasi muda.
Selain itu, ubah semula tanggapan musuh Melayu adalah Melayu. Ini mengelirukan generasi muda. Musuh sebenarnya adalah dalang yang melaksanakan agenda memecah-belah Melayu menggunakan individu bangsa ini yang tiada jati diri. Kita juga perlu tukar persepsi dan perbetulkan semula momokan Melayu itu pemalas sedangkan hakikatnya Melayu adalah bangsa pembina empayar!
Tetapi lantaran Melayu pernah dijajah, maka penjajah yang menentukan bagaimana sejarah kita hendak ditulis. Orientalis Barat memalsukan sejarah dan menerapkan dalam fikiran seterusnya kita sendiri menerima serta mempercayainya. Namun, kini satu demi satu fakta dan kebenaran baharu sejarah Melayu terungkap serta dibuktikan.
Justeru, Melayu akan lebih pukal dan padu dengan kita berusaha menulis semula sejarah kita sendiri. Ini akan memberi kelebihan kepada Melayu supaya dihormati kerana fakta baharu sejarah ini mengesahkan kita adalah bangsa terbilang serta bertamadun sebelum ini. Sejarah sebenar bangsa akan menyatukan Melayu!
Pada masa sama, sejarah moden membuktikan bangsa Melayu menguasai politik dan menerajui negara ini dengan cemerlang menerusi mandat yang diberi rakyat pada 13 pilihan raya umum (PRU) lalu. Namun, kita perlu mengambil iktibar penting daripada PRU-14 lalu. Bangsa Melayu perlu merenung peristiwa ini sejujurnya.
Jadi, kita perlu mencari jalan supaya kita tidak menempa sejarah hitam PRU-14 sekali lagi dalam PRU-15 tidak lama lagi. Dalam kita menghadapi masalah Melayu sama ada dalam Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN), insaflah, apa yang lebih penting ialah kuasa serta perpaduan Melayu mesti dipertahankan. Kita tidak mampu lagi untuk kecundang. Jadi, cari jalan segera untuk menyatukan kekuatan Bersatu-UMNO-Pas sebelum terlewat.
Jadi, membiarkan perpecahan kepemimpinan Melayu – ia merupakan satu kesalahan dan kesilapan paling besar kepada agama, bangsa serta negara kerana tindak-tanduk itu akhirnya memberi kesan buruk kepada bangsa Melayu sendiri apatah lagi yang lain.
Ringkasnya, berhemahlah. Jangan sampai politik menghambat perasaan rakyat dan membantutkan pertumbuhan negara. Berpada-pada dalam berpolitik ketika mana aspirasi mahu mengangkat kehidupan ke tahap berpendapatan tinggi menjadi keutamaan RMK12.
Insaflah, jangan berpolitik secara melampau ketika rakyat semakin bosan dengan telatah dan gelagat segelintir ahli politik yang mereka lihat mementingkan diri sendiri.
PENULIS ialah Ketua Angkatan Bersatu Muda (Armada) Johor.
No comments:
Post a Comment