Saturday, October 23, 2021

Jangan Kerana Kuasa, Ahli Politik ‘Bunuh’ Orang

KUALA LUMPUR: Ahli politik perlu memohon maaf kepada penduduk Melaka kerana membebankan mereka dengan masalah di negeri itu sehingga terpaksa mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengasas Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, beliau secara tegas menolak PRN diadakan kerana bimbang kejadian di Sabah berulang di Melaka dengan mengakibatkan peningkatan jumlah kes Covid-19.

“Apa yang berlaku sangat mengecewakan dan ia melibatkan semua pemimpin politik kerajaan dan pembangkang. Tipulah tidak ada tangan yang mengakibatkan pilihan raya ini berlaku, yang ‘pelik bin ajaib’, UMNO gaduh dengan UMNO, empat orang tarik sokongan, kerajaan negeri jatuh.

“Yang lagi ‘pelik bin ajaib’, selepas empat orang ini keluar, nak dicalonkan semula? Yang pembangkang selama ini kata tolak politik katak, kita nak sistem yang berintegriti, berwawasan dan bermaruah.

“Sekarang nak calonkan mereka balik? Tidak boleh nak katalah, ‘pelik bin ajaib’. Ini dah lah melibatkan orang yang tikam Sheraton yang menyebabkan kerajaan runtuh, nak angkat balik? Boleh beri tepukan, angkat tangan, laungan reformasi pula?” soalnya pada program Sembang Politik yang dibawa khas oleh Media Mulia TV di sini semalam.

Menurut Syed Saddiq, beliau yakin ramai yang berpandangan sama sepertinya kerana ia memperlihatkan bahawa ahli politik hanya memikirkan kepentingan masing-masing dan tidak meletakkan rakyat sebagai fokus yang perlu dipelihara.
“Saya betul-betul risau sebab kita dah lihat apa yang berlaku di Sabah, sekarang ini di Melaka, orang fikir ramai dah lengkap vaksinasi, tidak mengapa.

“Cuba lihat corak Covid-19 di United Kingdom, kadar vaksin tinggi tapi hari ini kadar kematian sangat tinggi. Melaka tiba-tiba pemimpin politik batalkan urusan kerja dan berkempen, Melaka dah lah kecil, semua berpusat di Melaka dan menjadi kawasan panas Covid-19.

“Ingat, ‘darah’ di tangan kita, jangan kerana politik dan kuasa, kita bunuh orang,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20 November ini sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, hari penamaan calon pada 8 November dan tarikh mengundi awal pada 16 November.

Jelas Abdul Ghani, ia diadakan selepas SPR menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka penggal ke-14.- UTUSAN

No comments:

Post a Comment