Monday, October 25, 2021

Arak: Hak Majoriti Dinafikan

DALAM beberapa isu, banyak pihak berhujah mengenai hak majoriti dan minoriti. Pihak yang minoriti perlu mengikut suara majoriti.

Bagaimanapun, dalam isu arak di negara ini adalah di sebaliknya, hak minoriti menjadi lebih penting. Walaupun sudah dibuktikan arak adalah punca kerosakan dan keruntuhan dalam masyarakat, tetapi hak majoriti yang menolak arak telah dinafikan. Di segi undang-undang, majoriti terpaksa berkompromi dengan peminum arak yang minoriti.

Lihat sahaja peraturan baharu melarang penjualan arak di kedai runcit, serbaneka dan kedai ubat Cina di Kuala Lumpur. Sepatutnya dikuatkuasakan 1 Oktober lalu tetapi ditunda hingga 31 Oktober.

Sementara di Parlimen, ada ahli Parlimen berapi-api menentang peraturan baharu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang diputuskan setahun lalu. Bagaimanapun, isu begini, ‘lalat-lalat’ dalam media sosial tidak menyebutnya.

Mereka hanya mengelupur kerana nama arak, kemudian mengambil peluang untuk membelasah ‘sesama sendiri.’ Berbeza dengan sesetengah ahli Parlimen yang mempertahankan ‘sesama sendiri’ dan melabelkan peraturan baharu itu tidak adil kepada peniaga arak.

Tempoh yang diberi sebelum melaksanakan peraturan baharu tidak cukup? Hendak berapa lama lagi? Kerajaan sudah bagi masa setahun sebelum pelaksanaan yang sepatutnya 1 Oktober lalu. Padahal pengguna arak hanya minoriti dan membuat kerja yang merosakkan pula.

Pengerusi Bersama Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA), Dr. Rafidah Hanim Mokhtar menganggap penangguhan peraturan baharu itu adalah keputusan yang sangat mengecewakan.

“Nampaknya kita hanya pandai membuat keputusan tetapi tidak pandai melaksanakannya,” tulis Rafidah di Facebook.

Beliau menambah, “pemberitahuan sejak 15 November 2020 sudah cukup dan tidak drastik. Kami kata, mulakanlah dengan kedai runcit terlebih dahulu terutama yang beroperasi 24 jam kerana kami tidak mahu alkohol dapat diakses oleh golongan muda.”

Apabila disebut majoriti menolak arak, dalam konteks pelbagai kaum dan agama bermaksud menolak kegiatan minum arak yang melampau. Maknanya bukanlah menghalang sepenuhnya penjualan arak. Kompromi begini tentunya sudah amat memadai.

Bagaimanapun, tetap tidak dihargai oleh minoriti. Mereka menuntut hak yang lebih besar. Penjualan arak di kedai runcit yang bersepah itu telah mengambil hak majoriti untuk hidup bebas kesan-kesan yang berpunca daripada arak. Tetapi mereka tidak peduli.

Menagih arak bukan isu individu, sebaliknya melibatkan masyarakat di sekeliling.

Arak datang dengan pakejnya – seks bebas dan jenayah. Seks bebas juga bukan isu individu tetapi memberi kesan yang melibatkan masyarakat. Ini belum lagi ditambah dengan peningkatan kemalangan jalan raya yang disebabkan oleh pemandu mabuk.

JUS OREN
Hal-hal seperti ini telah merampas hak majoriti untuk hidup tenteram dan aman. Hak untuk melindungi keluarga daripada sesuatu yang mengancam keselamatan fizikal dan mencederakan pemikiran. Tetapi hak itu telah dinafikan apabila arak boleh didapati semudah membeli jus oren dalam tin.

Arak adalah masalah masalah yang dihadapi oleh semua kaum. Melayu, Cina dan India dan lain-lain.

Saya mempunyai banyak kawan dalam kalangan bukan Islam. Sebahagian besar daripada mereka menolak gaya hidup yang berkaitan arak kerana mengutamakan kesihatan. Bagaimanapun, hak mereka juga diambil oleh minoriti penagih arak yang diberikan banyak kelonggaran.

Majoriti masyarakat masih masih berkompromi dan hanya meminta penjualan dan penggunaan dikawal dengan peraturan yang ketat. Kalau boleh, individu yang mengambil arak perlu ada sijil digital seperti MySejahtera yang membuktikan diberi kelulusan oleh pihak berkuasa.

Kelmarin, saya berbual di telefon dengan usahawan buku, Muhammad Nazreen, rakyat Malaysia yang menetap di Muscat, Oman. Perbualan kami berlegar mengenai arak di negara itu.

Kata Nazreen, mengguna, menjual dan membeli arak di Oman sangat menyulitkan, berbagai-bagai peraturan yang terpaksa dilalui sebelum diberi kelulusan untuk mengambil arak.

Premis pula sangat terhad, ini selari dengan undang-undang Islam di negara berkenaan. Individu yang hendak memiliki atau mengguna arak di Oman perlu memohon lesen arak peribadi daripada Polis Diraja Oman.

Selain bayarannya yang sangat mahal, disyaratkan pula kepada setiap individu hanya dibenarkan memiliki tidak lebih dua botol sebulan.

Kata Nazreen, secara umumnya kerajaan Oman melarang penjualan, penggunaan dan pemilikan arak. Bagaimanapun, ada sedikit kelonggaran untuk sektor pelancongan dan kepada ekspatriat di negara itu. Boleh dianggap kelonggaran yang munasabah.

Arak hanya boleh dijual di kedai arak, kedai bebas cukai di lapangan terbang serta hotel dan restoran tertentu yang mempunyai lesen daripada polis. Satu lagi, tempat menjual atau meminum arak hanya dibenarkan sekurang-kurang satu kilometer dari masjid.

Maknanya, kalau ada kemahuan politik, tidak ada masalah untuk mengawal penjualan arak. Tambahan pula fakta tentang arak tidak pernah berubah. Sama ada dari sudut pandangan pakar kesihatan atau ulama, kedua-dua mencapai kata sepakat – arak memudaratkan. Malah dalam semua ujian klinikal tidak ada satu pun yang mengatakan arak itu sama dengan jus oren atau kopi O. Tidak ada.

Saya tertanya-tanya, adakah angka-angka di bawah ini menjadi punca ‘industri’ arak begitu kebal di negara kita. Pada 2019, sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kerajaan mengutip RM2.27 bilion cukai industri arak. Semasa PKP, kerajaan kehilangan RM189 juta daripada cukai arak kerana kilang arak tidak beroperasi, pusat hiburan dan kedai arak juga ditutup.

Kerajaan mesti bukan sekadar kelihatan tegas tetapi memang tegas melindungi hak-hak majoriti yang menolak arak supaya tidak dicabul dengan sewenang-wenang.

Malah mesti membuktikan angka-angka di atas tidak pernah menjadi faktor berlembut dalam isu arak.

Kalau tidak berjaya juga maka benarlah keyakinan saya selama ini bahawa isu arak akan terus menjadi modal lebong (penipuan) politik sahaja.

Oleh: Ku Seman Ku Hussain

No comments:

Post a Comment