Friday, October 8, 2021

5 Kakitangan Hospital Direman Komplot Rasuah Urus Jenazah

SHAH ALAM – Lima kakitangan sebuah hospital di negeri ini direman lima hari bagi membantu siasatan komplot rasuah pengurusan jenazah.

Perintah reman terhadap kesemua suspek berusia 34 hingga 44 tahun itu dikeluarkan Majistret Ellyna Othman di Mahkamah Majistret di sini selepas membenarkan permohonan reman daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut sumber, kesemua suspek dikatakan telah terlibat dalam kegiatan rasuah itu selama dua tahun bermula 2019.

Katanya, mereka ditahan pukul 3 petang semalam di pejabat SPRM Selangor selepas hadir memberikan keterangan.

“Mereka telah meminta dan menerima rasuah mencecah RM22,000 dalam tempoh dua tahun itu dari seorang ejen sebagai balasan mendapatkan kerja-kerja pengurusan jenazah di hospital tempat suspek bekerja.

“Pengurusan itu melibatkan dari segi proses mandi, kafan dan solat kepada kesemua jenazah beragama Islam,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan berkenaan dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. -K! ONLINE

No comments:

Post a Comment