Meskipun blok-blok politik sudah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik pada 13 September lalu, namun ketegangan politik masih berlaku.
Terbaharu, empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertindak menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali daripada blok politik yang sama sehingga menatijahkan pilihan raya negeri (PRN) terpaksa diadakan.
Mereka ialah bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).
Keadaan itu sekali gus menyaksikan kerajaan negeri Melaka hilang majoriti, selepas hanya mempunyai 13 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Hal ini menunjukkan sikap kelicikan sesetengah ahli politik yang penuh tipu daya konon berjuang atas nama rakyat.
Elit politik sudah sekian lama dianggap sebagai golongan penuh akal busuk, rencana jahat yang sering menciptakan senario menakutkan kepada rakyat bagi mewajarkan setiap tindakan tidak bermoral yang diambil.
Apa yang berlaku kebelakangan ini memperlihatkan kaburnya batas-batas moral.
Ukuran-ukuran moraliti tidak lagi menjadi pegangan sebahagian besar elit politik.
Tindakan melompat parti sehingga meruntuhkan kerajaan yang sah, persengketaan sesama rakan politik gabungan sehingga membawa kepada pertukaran Perdana Menteri dan Ketua Menteri menunjukkan negara sedang berhadapan krisis legitimasi moral.
Hal ini menyebabkan kepercayaan rakyat terhadap elit politik semakin pudar.
Dalam keadaan tersebut, apa sahaja yang direncanakan oleh elit politik atau kerajaan tidak lagi dipercayai oleh rakyat.
Parlimen atau DUN yang dianggap sebagai pentas memecahkan segala kemelut masalah penduduk tidak lagi dihormati dan dipercayai oleh rakyat.
Ketidakpercayaan terhadap badan legislatif akhirnya membawa kepada ketidakpercayaan terhadap sistem pemerintahan.
Ketidakpercayaan rakyat terhadap elit politik disebabkan kelompok tersebut dilihat sering mempermainkan moraliti, tatasusila, perilaku dan akhlak.
Apa yang dilakukan oleh elit politik tidak lebih hanya sekadar suatu permainan keadilan yang sering memanipulasi kelompangan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Justeru, negara memerlukan satu generasi elit politik yang benar-benar baharu dan segar dengan menampilkan unsur kepimpinan berjiwa besar dengan menjadikan pandangan daripada ahli akademik, cendekiawan dan pakar-pakar bidang tertentu sebagai panduan mengurus tadbir dan merangka dasar-dasar untuk negara.
Tiada gunanya menjadi pemimpin agung tanpa menjadi manusia agung yang bertanggungjawab terhadap sesuatu hal yang lebih besar dan utama daripada dirinya sendiri iaitu rakyat.
DR. ILYAS ABDULLAH, Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi,
UiTM Pahang Kampus Raub.
No comments:
Post a Comment