PUTRAJAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan UMNO adalah lambang perpecahan orang Melayu yang terpisah atas keegoan kelas sosial dan elit politik yang mengutamakan kepentingan diri berbanding bangsa dan agama.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Kartini Aboo Talib berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sepatutnya dijadikan ujian kepada maksud kebersamaan dan melupakan segala dendam demi kestabilan politik negara.
Beliau menjelaskan, dengan sikap Melayu yang berpecah itu, ia hanya menguntungkan DAP, di bawah Pakatan Harapan (PH) yang Melayunya diwakili oleh PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah).
“Bersatu sebagai parti serpihan tidak akan bertahan lama. Selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) mungkin akan berakhir.
“UMNO juga harus menerima hakikat bahawa orang Melayu bandar mempunyai pandangan politik berbeza dan bersedia untuk memilih PH,” katanya semalam.
Dalam pada itu, Profesor Madya di Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Mohd. Izani Mohd. Zain berkata, politik ugut mengugut hanya mewujudkan suasana politik tidak sihat dan boleh mengancam kestabilan politik.
Beliau berkata, semua parti sepatutnya bertanding secara bebas seperti yang dibenarkan dalam demokrasi dan pada masa sama, semua parti perlu patuh dengan MoU antara kerajaan dan pembangkang bagi mewujudkan kestabilan politik sehingga Julai 2022.
“Semua parti perlu meletakkan kepentingan negara buat sementara waktu ketika negara baru hendak beralih ke era endemik menjelang PRU-15. Umpama jangan marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Jangan susahkan rakyat jika parti benar-benar mahu memperjuangkan nasib rakyat,” katanya.
Menyokong pendapat sama, Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr. Jeniri Amir berkata, PRN Melaka sepatutnya menjadi medan ujian kepada semua parti politik sejauh mana mereka berkompromi dan bertolak ansur menghormati MoU kerajaan-pembangkang.
Beliau berkata, semua tindakan harus berpaksikan kepada MoU itu, jika tidak segala hasrat yang mahu dicapai tidak akan bermakna dengan cara ugutan sekali gus mencetuskan ketegangan.
“Bukan sahaja bertentangan dengan matlamat MoU itu tetapi bertentangan dengan titah Yang di-Pertuan Agong yang mahukan kestabilan politik bagi menumpukan perhatian kepada usaha tangani Covid-19 dan pemulihan ekonomi.
“Kedua-dua pihak tidak harus tunjuk kuasa atau ego, sebaliknya meletakkan keutamaan rakyat dan negara bukannya kepentingan kuasa, pemimpin dan parti,” katanya.
Penganalisis politik, Profesor Sivamurugan Pandian pula berpandangan, politik berunsur ugutan dan cabar-mencabar adalah politik lama termasuk politik dendam dan pembunuhan karakter, yang mana keupayaannya jelas untuk saling menjatuhkan sekutu dalam gabungan sendiri dan pesaing luar.
Beliau berkata, tindakan ini hanya menguntungkan musuh yang tidak perlu melakukan apa-apa kerana kekuatan dalaman roboh akibat pendedahan sendiri.“Ada diperlukan adalah kompromi dan pengorbanan,” katanya. – UTUSAN
No comments:
Post a Comment