PETALING JAYA: Malaysia dikhuatiri hilang kedaulatan ke atas Pulau Pisang yang terletak di Pontian, Johor jika terus membiarkan negara lain membina dan mengurus rumah api di kepulauan tersebut, sekali gus bakal mengulangi nasib Pulau Batu Puteh.
Hal ini kerana Malaysia membenarkan Singapura membina dan mengurus rumah api di Pulau Pisang sedangkan pulau berkenaan milik negara ini.
Rumah api Pulau Pisang dibina pada 1914 diuruskan Lembaga Maritim dan Pelabuhan Singapura.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis undang-undang antarabangsa Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Dr. Rahmat Mohamad berkata, tidak mustahil situasi itu memberikan peluang kepada negara asing untuk membuat tuntutan pada masa akan datang walaupun ia tidak berlaku sekarang.
Katanya, walaupun Malaysia dan Singapura memeterai perjanjian untuk membenarkan republik itu membina rumah api bagi menguruskan perjalanan laluan kapal di perairan Johor tetapi tindakan itu seolah-olah ‘merestukan penguasaan ke atas kepulauan tersebut’.
Katanya, situasi sama berlaku di Pulau Batu Puteh sebelum ini apabila Singapura membina rumah api di pulau tersebut yang akhirnya menjadi alasan kemenangan negara itu ketika proses tuntutan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2008.
“Walaupun ICJ mengatakan Batu Puteh adalah milik Kesultanan Johor, sebaliknya apa berlaku adalah pembinaan rumah api menjadi asas kemenangan Singapura bagi menunjukkan negara itu menguasai kepulauan tersebut.
“Jadi, apa berlaku di Pulau Pisang adalah sama dengan Pulau Batu Puteh. Mungkin hari ini mereka tidak membuat sebarang tuntutan, tetapi tidak mustahil pada masa akan datang,” katanya.
Utusan Malaysia kelmarin melaporkan Malaysia boleh melupakan usaha mendapatkan hak Pulau Batu Puteh kerana peluang terakhir negara bagi menuntut kepulauan menerusi semakan undang-undang di ICJ telah pun berakhir pada 2018.
Semakan keputusan oleh ICJ boleh dilakukan tempoh 10 tahun dan perkara tersebut tidak boleh dilakukan pada sekarang meskipun negara mempunyai bukti baharu dan berasas.
Selaku peguam dilantik kerajaan negeri Johor ketika tuntutan Pulau Batu Puteh, Rahmat menegaskan, Malaysia perlu melupakan tuntutan kepulauan itu kerana segala usaha demikian tidak langsung mendatangkan sebarang hasil dan kerajaan seharusnya perlu fokus kawalan kedaulatan tanah air daripada terus terlepas kepada tangan asing.
Katanya, malah kerajaan perlu membuat pembangunan di Batuan Tengah bagi menunjukkan wujudnya penguasaan di kepulauan tersebut dan memfokuskan tuntutan hak Tubir Selatan.
“Sebaliknya apa berlaku kini pemimpin kita sibuk berpolitik setiap masa, tetapi kedaulatan terus tergugat apabila alpa dengan membiarkan hak milik kita sendiri diduduki orang asing,” katanya.
Dalam pada itu, Rahmat berpandangan adalah lebih baik sekiranya Malaysia mewujudkan jawatankuasa teknikal kawasan kemakmuran bersama bersama negara lain di lokasi pertikaian untuk membentuk kerjasama daripada segi alam sekitar dan isu saintifik yang boleh membawa impak kepada semua pihak.
“Jika membuat tuntutan di ICJ, bukan sahaja akan menjejaskan hubungan diplomatik tetapi kita tidak tahu kemungkinan pulau itu akan terus hilang di tangan pihak lawan,” katanya.
Sementara itu, pakar undang-undang maritim antarabangsa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Mohd. Hazmi Mohd. Rusli berpandangan daripada kerajaan menghabiskan waktu dan tenaga membuat semakan undang-undang terhadap Batu Puteh, lebih baik menetapkan sempadan maritim tetap antara Batuan Tengah dengan Batu Puteh dengan Singapura serta meletakkan Tubir Selatan di bawah kedaulatan negara.
Tambahnya, sekiranya penetapan sempadan maritim ini tidak dilakukan secepatnya, Singapura mungkin berpotensi menuntut wilayah laut yang lebih luas malah sekiranya Batu Puteh dianggap sebagai sebuah pulau besar dan bukan sekadar batuan kecil.
“Malah zon ekonomi eksklusif juga boleh dituntut Singapura seperti dibenarkan di dalam Perkara 121 (1) Konvensyen Undang-undang Laut Antarabangsa 1982
“Kehilangan Batu Puteh adalah suatu pengajaran besar bagi Malaysia. Marilah kita menjaga Batuan Tengah yang memang kekal milik kita. Janganlah kita alpa sehingga kehilangan Tubir Selatan pula,” katanya.
Kelmarin bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali mendakwa mempunyai bukti fakta dan asas kukuh bahawa Pulau Batu Putih adalah milik Malaysia.
Sebaliknya beliau kecewa apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad membuat keputusan menarik balik semakan dan pentafsiran penghakiman berhubung kepulauan itu pada 2018. – UTUSAN
No comments:
Post a Comment