Friday, October 8, 2021

Nak Solat Jumaat Lagi Susah Dari Pergi Berjudi!

KUALA LUMPUR – Ramai jemaah mengeluh dengan kerenah sebilangan pihak pengurusan masjid sendiri yang menyempitkan peluang mereka untuk mengerjakan solat Jumaat meskipun kebanyakan masjid dan surau telah mendapat kelonggaran had jemaah dari pihak berwajib dalam perkara ini.

Beberapa jemaah telah meluahkan ketidakpuasan hati mereka tentang kesusahan untuk mendapatkan ruang menyertai solat Jumaat hasil daripada kelemahan sistem pengurusan masjid, sehingga ada yang mengeluh lebih mudah untuk memasuki premis judi berbanding menyertai jemaah di rumah Allah.

Terdapat banyak masjid dan surau hanya membenarkan penggunaan Google Form bagi mendapatkan ruang untuk menyertai solat Jumaat. Kelemahan dan sikap sambil lewa ahli jawatankuasa masjid dalam pengurusan sistem ini telah menimbulkan beberapa kesukaran bagi para jemaah.

Ada masjid yang cuma membataskan hanya email dari Google sahaja untuk pendaftaran, dan setiap email hanya boleh mendaftar untuk seorang jemaah sahaja. Keadaan ini menyukarkan mereka yang tidak mempunyai akses kepada Internet – apatah lagi mempunyai akaun email dari Google, terutama dari golongan yang sudah lanjut usia bagi menyertai solat Jumaat.

Terdapat masjid yang hanya memberi keutamaan kepada ahli kariah iaitu mereka yang alamat rumah mereka berhampiran dengan masjid sahaja berbanding orang lain meskipun mereka bekerja di kawasan berhampiran masjid.

Bagaimana nasib mereka yang sedang mencari nafkah sesuap nasi bagi keluarga pada hari Jumaat? Dibenarkan bekerja di kawasan berhampiran masjid oleh pihak kerajaan tetapi langsung tidak diberi peluang untuk menunaikan solat Jumaat oleh pihak pengurusan masjid.

Nampak gayanya, kesukaran urusan solat Jumaat ini jauh lebih besar daripada dilema urusan bekerja dan membeli belah di pasar raya semasa pandemik COVID-19. Atau lebih menyedihkan lagi, lebih sukar dari pergi berjudi! - www.samudera.my

No comments:

Post a Comment