PETALING JAYA: Gaji jurutera tempatan di negara ini masih statik dan tidak berubah sejak 20 tahun lalu yang dianggap tidak setimpal dengan profesion berkenaan.
Walaupun bergelar profesional, gaji permulaan yang diterima jurutera siswazah masih ditawarkan pada nilai sama seperti era 2000 iaitu serendah RM1,500 hingga RM2,000 berbanding pekerja perkhidmatan p-hailing yang meraih pendapatan RM4,000 sebulan.
Menurut jurutera profesional, data Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menunjukkan 22 peratus jawatan permulaan (kejuruteraan) masih menawarkan pendapatan di bawah Paras Garis Kemiskinan (PGK) RM2,208.
Faktor lain yang mempengaruhinya juga dikatakan berpunca daripada kelemahan penguatkuasaan Akta Pendaftaran Jurutera 1967 (Akta 138) Lembaga Jurutera Malaysia yang tidak jelas terhadap graduan kejuruteraan dan isu lambakan lulusan itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Institut Jurutera Malaysia (IEM) Terengganu, Datuk Ir. Wan Nazari Wan Jusoh berkata, keadaan itu menyebabkan gaji jurutera siswazah dan yang berpengalaman tiga hingga 10 tahun tidak berubah.
Katanya, beliau bimbang nasib golongan profesional itu akan berlarutan hingga 20 tahun akan datang jika tiada tindakan drastik diambil bagi membela nasib mereka.
“Sudah sampai masanya gaji permulaan jurutera siswazah dikaji semula termasuk menetapkan tangga gaji minimum kerana apa yang diperolehi sekarang tidak setimpal dengan profesion mereka.
“Setiap tahun negara menghasilkan kira-kira 10,000 graduan kejuruteraan dan sepanjang tempoh 20 tahun ini jumlahnya dianggarkan hampir 200,000 orang dengan separuh daripadanya sudah berkeluarga.
“Jadi bayangkan nasib kumpulan jurutera di Malaysia yang masih kekal golongan M40, malah ada di antaranya hampir memasuki kategori B40,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Wan Nazari berkata, situasi itu menyebabkan kalangan jurutera tiada pilihan dan terpaksa terus bekerja dengan gaji yang sedikit bagi mencari sumber rezeki.
Bagaimanapun, katanya, jika isu berkenaan masih membelenggu, tidak mustahil negara akan kehilangan ramai pakar kejuruteraan dan saintis kerana, rata-ratanya memilih bekerja di luar negara demi mendapatkan gaji yang setimpal.
Malah, katanya, ada segelintir yang tidak mahu pulang menyumbang tenaga di tanah air disebabkan gaji yang jauh lebih rendah berbanding yang diterima di luar negara.
“Perkara ini merupakan satu kerugian untuk Malaysia kerana kita mempunyai ramai tenaga mahir dalam bidang kejuruteraan tetapi tidak dihargai.
“Di media sosial baru-baru ini ada yang membandingkan gaji jurutera siswazah yang jauh rendah berbanding pekerja perkhidmatan penghantaran makanan (p-hailing) yang meraih RM4,000 sebulan,” katanya.
Menurut Wan Nazari, kesan berkenaan kini dapat dilihat apabila bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) mulai dijauhi pelajar.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Pembangunan Jurutera Muslim Malaysia, Muhamad Faqih Badrishah berkata, kerajaan wajar mengkaji semula gaji jurutera di negara ini sedangkan kos sara hidup semakin meningkat.
“Contohnya, jika 10 tahun lepas gaji asas bagi jurutera adalah RM2,500 dan sekarang pun masih RM2,500.
“Data Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menunjukkan 22 peratus jawatan permulaan (kejuruteraan) masih menawarkan pendapatan di bawah Paras Garis Kemiskinan iaitu RM2208.
“Jadi kita takut orang tak mahu jadi jurutera kerana pekerjaan jurutera yang multitasking, tetapi gaji tak berbaloi dengan sakit kepalanya, sedangkan kerja lain yang fokuskan satu kerja, gajinya lebih berbaloi atau lebih tinggi,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Muhamad Faqih, berdasarkan kajian, pihaknya mendapati bahawa antara faktor yang mempengaruhinya adalah kelemahan penguatkuasaan Akta Pendaftaran Jurutera 1967 (Akta. 138) LJM yang tidak jelas terhadap graduan kejuruteraan dan lambakan graduan kejuruteraan melebihi pasaran.
“Graduan jurutera yang terlampau ramai di luar itu yang menyebabkan majikan tidak membayar tinggi dan kekalkan gaji pada tahap lama walaupun sudah lebih 20 tahun.
“Ini kerana, jumlah graduan kejuruteraan juga adalah 17 kali ganda lebih tinggi berbanding peluang pekerjaan kejuruteraan,” katanya.
Tambah beliau, apabila seseorang itu tidak berdaftar, tetapi boleh menjadi jurutera, ia menyebabkan nilainya biasa dan itu menyebabkannya mendapat gaji yang rendah.
“Jadi apabila penguatkuasaan pendaftaran itu lemah dan dengan lambakan graduan yang banyak, maka sesebuah syarikat itu mudah mendapat replacement secepat mungkin sekiranya seseorang itu berhenti,” katanya. – UTUSAN
No comments:
Post a Comment