Thursday, October 21, 2021

Isu Tanah Sekolah: Penduduk Kinrara Mahu SPRM Buat Siasatan Terperinci

PUCHONG – “Penduduk di Bandar Kinrara sepakat minta SPRM buat siasatan terperinci berhubung salah guna kuasa dan kita hendak tahu siapa yang gatal tangan luluskan permohonan ini semasa MCO hari itu,” ujar Pengerusi Badan Bertindak Bandar Kinrara, Haji Mohamad Haron Bin Haji Mohamad Sidik.

Menurut beliau, Pengerusi Wakil Penduduk PPBK5B bersama Tuan Haji Zainol dan Encik Hisham telah hadir ke pejabat SPRM pada 27 September 2021 bagi menyerahkan laporan dan tindakan susulan berhubung isu bantahan ini yang diadukan pada 10 Mei 2021.

“Bayangkanlah hampir suku dari keseluruhan tanah-tanah berbukit di tapak ini telah berjaya dibawa keluar secara tergesa-gesa. Tiada sesiapa yang dapat menghalang kerakusan mereka ini.”

“Jika tiada maklum balas sehingga Ahad depan, Badan Bertindak Bandar Kinrara akan merancang untuk buat perhimpunan aman secara besar-besaran,” tegas beliau.

Objektif Badan Bertindak Bandar Kinrara dilancarkan adalah bagi menyelamatkan pencerobohan tanah Bandar Kinrara 5B milik Sekolah Kebangsaan (SK) kepada SJKC Too Joon Hing.

Bercerita lanjut, Haji Mohamad Haron memaklumkan, pihaknya menerima khabar dari Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Armand Azha bahawa perkara ini akan dipanjangkan kepada Perdana Menteri Ismail Sabri.

“Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Armand Azha sudah selesai berbincang dengan Setiausaha Politik YAB Perdana Menteri yang telahpun mengambil maklum dan akan panjangkan isu ini kepada PM, hari ini (semalam).”

Mengakhiri kenyataan, Haji Mohamad Haron Bin Haji Mohamad Sidik yang juga Pengerusi Persatuan Penduduk BK5B Bandar Kinrara ini sekali lagi mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk segera membuat siasatan terperinci bagi membongkar kes tanah ini.

“Ini kerana terlalu banyak perkara yang mencurigakan yang perlu diberi perhatian yang sangat serius oleh semua pihak.” - www.samudera.my

No comments:

Post a Comment