Tindakan pihak berkenaan yang tidak sensitif dengan hal ehwal Islam adalah perbuatan biadab dan sengaja cari penyakit. Bukan mereka tidak maklum tentang kedudukan Islam sebagai agama bagi negara sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan.
Namun, apabila melihat umat Islam tidak bersatu dengan bercakaran dalam parti-parti politiknya, golongan begini cuba menguji sejauh mana umat Islam bangun mempertahankan agama mereka.
Memang ramai yang menggesa tindakan diambil dalam hal ini. Dalam Islam, pengharaman arak atau minuman yang memabukkan itu adalah jelas.
Ia ditegaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. (al-Maidah: 90)
Barangkali, yang menyokong arak akan berhujah, ia bukan untuk orang Islam. Kenapa orang Islam marah-marah?
Memang betul, orang mukmin tidak akan sentuh arak. Selain ia diharamkan oleh Islam, mereka yakin akan menikmati arak yang disajikan sebagai ganjaran orang beriman di syurga.
Soalnya, kalau bukan untuk mempengaruhi orang Islam (juga orang Melayu), mengapa menggunakan jenama Timah dan Omar? Banyak lagi jenama lain yang tidak berkait dengan orang Melayu dan Islam.
Ia sebagaimana ditegaskan oleh Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor, Isnin lalu. Beliau terkejut dan kecewa dengan iklan sejenis arak buatan tempatan diberi nama Timah yang memaparkan wajah seorang lelaki berjanggut dan memakai kopiah.
Katanya, sudah menjadi kelaziman bagi masyarakat Melayu yang mana Timah adalah singkatan daripada Fatimah iaitu nama puteri Nabi Muhammad SAW yang amat dihormati oleh umat Islam.
Sehubungan itu, katanya, menjenamakan arak dengan Timah dianggap oleh umat Islam sebagai satu penghinaan yang tidak seharusnya berlaku.
Demikian juga dengan wiski Omar. Kelmarin, Pertubuhan Ilmuwan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Islami) meluahkan kekesalan ekoran penggunaan jenama arak yang berbaur Islam termasuk produk terbaharu dikenali Omar.
Timbalan Ketua Lanjah Islami Cawangan Putrajaya, Sarfarizmal Md. Saad berkata, penggunaan nama itu jelas mengelirukan umat Islam terutama generasi muda, meskipun terdapat bukan Islam bernama Omar kerana persepsi masyarakat merujuk nama itu sebagai Muslim.
SEJARAH NEGARA
Bagi orang bukan Islam yang jahil, Omar adalah nama sahabat Nabi Muhammad SAW yang menjadi khalifah kedua selepas Saidina Abu Bakar.
Yang peliknya, pengeluar arak ini mendakwa mereka sudah buat kajian tentang nama-nama yang dipilih kononnya ada kaitan dengan sejarah negara.
Soalnya, kenapa kajian itu boleh terlepas pandang isu-isu sensitif berkaitan nama anak dan sahabat Nabi SAW. Lebih parah, hal-hal ini muncul dalam suasana umat Islam meraikan bulan keputeraan Nabi Muhammad SAW iaitu Rabiulawal. Timah dilancarkan pada 7 Oktober lalu iaitu sehari sebelum 1 Rabiulawal. Adakah ia kebetulan atau memang dirancang?
Pihak pengeluar arak Timah mengeluarkan satu kenyataan di Facebook, Isnin lalu berkata, terdapat beberapa maklumat yang salah tersebar dan perlu diperjelaskan supaya tidak berlaku salah faham.
“Timah adalah perkataan tempatan yang bermaksud timah dan jenama Timah Whiskey diambil sempena era perlombongan bijih timah semasa zaman British Malaya.
“Gambar ikon di botol pula adalah Kapten Speedy yang merupakan salah seorang lelaki yang memperkenalkan budaya wiski ketika zaman tersebut.
“Oleh kerana sejarah tersebut, kami menggunakan nama Timah dan kami tidak bermaksud untuk mencetuskan sebarang kontroversi serta sebarang tafsiran berhubung nama jenama kami yang tidak berkaitan dengan perlombongan bijih timah Malaysia adalah palsu,” kata kenyataan itu.
Isu lebih besar di sini bukanlah jenama Timah dan Omar sahaja. Sebaliknya, apa keperluan negara untuk mempunyai lebih banyak kilang atau pengeluar arak? Menukar namanya tidak menukar status minuman itu kepada halal.
Walhal, kita sudah ada kilang Carlsberg terbesar di Seksyen 15, Shah Alam yang beroperasi sejak 1972. Arak ini bukan setakat memabukkan tetapi menimbulkan pelbagai masalah sosial dan jenayah.
Di United Kingdom (UK), angka rasmi jenayah akibat meminum alkohol adalah 45 hingga 46 peratus kejadian jenayah, 39 peratus keganasan rumah tangga dan hampir sejuta serangan ganas berlaku pada 2007 hingga 2008. Ia berpunca daripada mabuk atau separuh mabuk. Ia menunjukkan minum arak bukanlah budaya yang baik dan sihat.
Kes kematian akibat kecuaian pemandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah di Malaysia juga terus berlaku.
Bagi tempoh lima bulan pada 2020, sejumlah 67 kes kemalangan dengan tiga kematian dicatatkan dan ia melebihi kes keseluruhan pada 2018 iaitu 60 kemalangan serta tiga kematian.
Tahun 2019 pula merekodkan 56 kes kemalangan dengan empat kematian. Semua angkara pengaruh alkohol.
Bintang utama bola sepak dunia termasuk bukan Islam juga menjauhi arak. Antaranya, Cristiano Ronaldo yang kini beraksi untuk Manchester United. Beliau lebih gemar minum Red Bull.
Ronaldo tidak pernah mengambil minuman keras setelah bapanya meninggal dunia kerana alkohol.
Begitu juga penyerang LA Galaxy, Javier Hernandez dan Gareth Bale pemain sayap Real Madrid. Bagi mereka, alkohol menjejaskan kesihatan.
Kita umat Islam mesti bersatu menentang perkara ini daripada berleluasa. Ingatlah pesan Buya Hamka atau Allahyarham Profesor Abdul Malik Karim Amrullah: “Jika diam saat agamamu dihina, gantilah bajumu dengan kain kafan”.
Arak itu ada sedikit manfaat, banyak mudarat. Ia sebagaimana firman Allah yang bermaksud: Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya. (al-Baqarah: 219)
Sumber: UTUSAN
No comments:
Post a Comment