LAMA sebelum berpeluang membaca teks Sejarah Melayu semasa kanak-kanak, saya amat teruja membaca kisah Raja Suran yang masuk ke dalam laut. Saya membayangkan bagaimana raja itu menggunakan peti kaca dan kemudian boleh pula bernafas dalam air.
Kemudian sebagai anak kelahiran Perak, saya berasa bangga kerana kisah yang terkandung dalam Sejarah Melayu ada kaitan secara langsung dengan keturunan sultan di negeri asal saya. Alat-alat kebesaran yang dibawa oleh Raja Muzaffar Shah apabila dinobatkan sebagai Sultan Perak yang pertama boleh dibaca dalam buku teks Sejarah Tingkatan 2.
Semakin saya membaca kisah jurai keturunan Raja Suran dan kisah regalia (alat kebesaran) kesultanan Perak menerusi kajian perpustakaan, semakin banyak yang mahu diketahui. Pada masa sama, ada perkara yang nampaknya sudah tidak diperkatakan lagi walaupun ia amat penting dan signifikan.
Hasil perkahwinan Raja Suran dengan puteri di dasar laut, lahirlah tiga putera. Nama-nama mereka ada perbezaan mengikut versi Sejarah Melayu yang dibaca.
Secara umum, mereka ialah Bicitram (Sri Nila Pahlawan, Sang Sapurba), Sri Krishna Pandita (Sang Maniaka) dan Sri Nila Utama (Nilatanam). Mereka bertiga keluar dari dasar laut dan mendarat di Bukit Siguntang Mahameru, Palembang.
Kita tentu ingat kisah Wan Empuk dan Wan Malini yang mula-mula melihat ketiga-tiga putera itu. Sang Sapurba menunggang seekor lembu putih.
Apabila lembu sakti itu muntah, dari buih muntah itu keluarlah Bhat (Batala) yang menabalkan Sang Sapurba sebagai raja. Episod berkenaan melibatkan upacara khas membaca mantera dalam bahasa Sanskrit.
Dalam Sejarah Melayu yang saya pernah baca, mantera atau kata-kata diucapkan Bhat tidak ditemukan. Akan tetapi, sekiranya kita rajin melakukan kajian dan bacaan akan ditemui dari pelbagai sumber.
Saya berminat untuk ambil tahu kerana alat kebesaran Sultan Perak dibawa dari Kampar, Sumatera pada 1528. Sebahagian besar masih digunakan sehingga kini termasuk Pedang Cura Si Manja Kini, Keris Seri Gading dan Keris Taming Sari.
Sebahagian alat kebesaran dilaporkan hilang sewaktu Sultan Ismail memindahkan barangan dari istana pada 1874 berikutan perebutan kuasa dengan Sultan Abdullah.
Menurut maklumat di laman sesawang rasmi Sultan Perak, Cura Si Manja Kini dalam Sanskrit bermakna Mata Pisau Dari Tasik Mandakini dan merujuk kepada sebuah tasik dekat Sungai Ganges, India.
Pedang itu milik asal Sang Sapurba dan masih menjadi alat kebesaran penting dalam upacara pertabalan. Sultan akan menghunus Cura Si Manja Kini dan mencium hulu pedang. Upacara ini dikatakan menyerupai aksi semasa Sang Sapurba membuat waadat dengan Demang Lebar Daun.
Satu lagi alat kebesaran penting paling sukar untuk saya cari maklumat ialah Surat Ciri sedangkan ia mantera penting yang wajib dibaca pada setiap kali upacara pertabalan. Malah, khabarnya hanya jurai keturunan Bhat yang berhak dan layak melafazkan mantera berkenaan.
Mujurlah saya berjaya menemuinya dalam Journal of the Royal Asiatic Society of Great Britain and Ireland (Januari 1881). Residen British di Perak, Hugh Low memiliki salinan Surat Ciri dari istana Brunei.
Menurut Penolong Residen, W.E. Maxwell, pada 1879 sebuah dokumen berusia 60 tahun ditemui dalam peti milik bekas Sultan Perak. Surat Ciri tertulis pada halaman terakhir manuskrip itu.
SUCI
Pemahaman kita sekarang tentang istilah ciri (chiri) adalah berbeza. Dalam bahasa klasik dan sastera lama, ciri membawa makna doa atau mantera yang dibacakan semasa raja atau sultan ditabalkan. Itulah kandungan Surat Ciri yang saya perkatakan di sini.
Mantera itu mula-mula sekali disampaikan oleh Bhat semasa menabalkan Sang Sapurba sebagai raja. Malah, dikatakan hanya keturunan Bhat boleh dan layak membacakan Surat Ciri pada majlis pertabalan dan pengurniaan anugerah diraja.
Agak menarik pula apabila nama Bhat diteliti. Dalam bahasa Sanskrit, nama itu membawa makna guru iaitu pujangga yang berilmu. Di India, sehingga kini ada ramai individu yang memiliki Bhat atau Butt pada nama.
Ada banyak persamaan antara ciri Bhat di Gujarat, India dan watak Bhat dalam Sejarah Melayu. Menurut Maxwell, hasil penelitiannya di Perak pada 1875, penduduk menyifatkan Surat Ciri sebagai dokumen suci yang ditulis menggunakan bahasa jin dan perlu dipelihara demi menjamin keselamatan negeri.
Hanya keturunan Bhat yang diberi gelaran Sri Nara Diraja atau bangsa muntah boleh membaca teks itu. Golongan ini tidak makan daging lembu serta segala hasil tenusu.
Buku Ras Mala (1856) oleh Alexander Forbes memberi pelbagai maklumat tentang golongan Bhat di Gujarat. Ada kisah mengatakan mereka muncul daripada Dewa Shiva (yang menunggang lembu putih). Mereka terkenal sebagai golongan terpelajar yang pandai mengarang dan mendokumentasi kisah keturunan raja-raja.
Abu’l Fazl ibn Mubarak yang menulis Akbarnama tentang Sultan Akbar dari Dinasti Mughal turut mengarang Ayeen Akbery di mana ada pelbagai maklumat tentang golongan Charun di Gujarat yang dikatakan tercipta daripada peluh Dewa Shiva dan golongan Bhat yang terhasil daripada tulang belakang dewa itu.
“Sastata sastatab parmada parkhara parkharaah parmakab parmakam sojana sojanam buana buanam bakarma bakarnam sawarna sawarnam baungka baichara…”
Demikian bahagian awal Surat Ciri seperti direkodkan oleh Maxwell. Dipercayai mantera itu diperturunkan daripada Bhat kepada warisnya.
Sebagaimana dikisahkan dalam Sejarah Melayu: “Maka daripada buih itulah keluar seorang manusia, Bhat namanya. Ada pun anak-cucu Bhat itulah orang yang membaca ciri dari zaman dahulu kala.”
Sekiranya diteliti, bahasa yang digunakan dalam Surat Ciri tidak sepenuhnya Sanskrit. Mungkin berubah sebutan kerana generasi selepas Bhat bukan pujangga pakar Sanskrit.
Saya belum berpeluang melihat Surat Ciri atau mendengar mantera itu dibacakan jurai keturunan Bhat. Mungkin akan muncul peluang selepas ini.
Oleh: Uthaya Sankar SB
No comments:
Post a Comment