Friday, October 22, 2021

Batu Puteh: Kita Tak Pernah Mengalah

JELAS tercatat di dalam penghakiman Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 23 Mei 2008, iaitu setelah menyemak bukti yang diserahkan oleh Malaysia dan Singapura, Batu Puteh asalnya milik Kesultanan Johor dan ia tidak pernah dicabar oleh mana-mana kuasa lain di rantau ini (was never challenged by any other power in the region).

Apa yang menjadi masalah hanyalah kewujudan surat bertarikh 21 September 1953 daripada Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor yang menjawab surat Setiausaha Jajahan Singapura kepada Penasihat British Sultan Johor yang mahu tahu status Batu Puteh bahawa kerajaan negeri tidak menuntut pemilikannya (does not claim ownership).

Mengikut ICJ, surat ini menunjukkan pada 1953, Johor faham bahawa ia tidak mempunyai kedaulatan ke atas Batu Puteh (it did not have sovereignty over Batu Puteh), dan ditambah dengan perlakuan Malaysia dan Singapura sehubungan dengan pulau itu selepas 1953 yang mendorong ICJ memutuskan kedaulatan ke atasnya adalah milik Singapura.

Bayangkanlah betapa sedihnya Sultan Johor, Almarhum Sultan Iskandar, setelah menerima keputusan itu. Terngiang-ngiang di telinga kita titah baginda sewaktu merasmikan pembukaan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 19 Jun 2008: “Suka beta ingatkan bahawa beta tidak lupa pada Batu Puteh. Batu Puteh bukan hak Singapura tetapi hak milik Johor. Sampai bila pun beta akan cari ikhtiar untuk mendapatkan semula pulau milik Johor itu.”

Dan setelah Sultan Iskandar mangkat, tekad untuk mendapatkan semula Batu Puteh diteruskan oleh Sultan Ibrahim yang sewaktu bertitah merasmikan pembukaan persidangan DUN pada 29 Mei 2014 mahukan keputusan ICJ dirayu kerana ia berpunca daripada orang luar yang tidak memahami sejarah Johor yang mengendalikannya.

Usaha untuk mendapatkan semula Batu Puteh menjadi rancak setelah Tan Sri Mohamed Apandi Ali dilantik sebagai Peguam Negara pada 27 Julai 2015. Beliau dan lima penyelidik berkunjung ke London mulai Julai 2016 bagi menyemak lebih 3,000 dokumen yang baharu dideklasifikasikan di Arkib Negara United Kingdom.

Hasil daripada kerja keras mereka, tiga dokumen baharu ditemui dari 4 Ogos 2016 hingga 30 Januari 2017, iaitu surat menyurat dalaman pihak berkuasa tanah jajahan Singapura pada 1958, satu laporan kejadian yang difailkan oleh seorang pegawai tentera laut British pada 1958 dan satu peta berserta catatan mengenai operasi tentera laut dari 1960-an.

Tiga dokumen baharu ini membuktikan selepas 1953, pihak British dan Singapura sendiri mengakui Batu Puteh bukanlah milik Singapura. (Officials at the highest levels in the British colonial and Singaporean administration appreciated that Batu Puteh did not form part of Singapore’s sovereign territory during the relevant period.)

Ekoran penemuan fakta baharu ini, Malaysia memfailkan permohonan semakan semula penghakiman ICJ pada 2 Februari 2017. ICJ mengumumkan pada 5 April 2018 bahawa ia memperuntukkan tempoh empat hari untuk permohonan ini didengari bermula 11 Jun 2018 sebelum Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad tiba-tiba membatalkannya pada 28 Mei 2018.

KELALAIAN
Tindakan Dr. Mahathir membatalkan permohonan semakan semula ini amat sukar difahami kerana ia terang-terang bercanggah dengan pendirian awal beliau sendiri mengenainya selain terang-terang bercanggah dengan janji-janji dilafazkan oleh Pakatan Harapan (PH) yang diketuainya dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Janji 11 Manifesto PH menyebut, ‘PH akan sentiasa meletakkan pandangan dan teguran Raja-raja Melayu di tempat tertinggi’ manakala Janji 58 menyebut, ‘PH akan berpegang dengan prinsip bahawa sempadan negara dan kedaulatan Malaysia adalah perkara paling asas yang tidak boleh dikompromi’.

Memang betul ada dalam Artikel 60 Statut ICJ bahawa keputusan ICJ adalah muktamad dan tidak boleh dirayu (the judgment is final and without appeal) tetapi pada masa sama Artikel 61 Statut ICJ membenarkan semakan semula (revision) dalam tempoh 10 tahun dari tarikh penghakiman sekiranya faktor-faktor berikut dipenuhi:

Ia diasaskan kepada penemuan fakta baharu yang boleh menjadi faktor penentu, di mana fakta ini, waktu penghakiman dibuat, tidak diketahui oleh ICJ dan pihak yang mahu membuat semakan semula, dan ketidaktahuan ini tidak berpunca daripada kelalaian. (It is based upon the discovery of some fact of such a nature as to be a decisive factor, which fact was, when the judgment was given, unknown to the Court and also to the party claiming revision, always provided that such ignorance was not due to negligence.)

Ia dibuat dalam tempoh kurang enam bulan fakta baharu mula ditemui. (It is made at latest within six months of the discovery of the new fact.)

Dr. Mahathir tidak boleh menggunakan hujah, “Jika sebuah negara tidak hormati janji, tidak ada negara lain yang akan buat perjanjian dengan negara berkenaan. Ia menjadi negara pariah.” – kerana janji untuk tidak merayu tidak menjadi isu, sebaliknya apa yang menjadi isu ialah ketidaktahuan beliau membezakan rayuan (appeal) dan semakan semula (revision).

Apatah lagi bila hujah substantif yang kini beliau berikan untuk mempertahankannya dan untuk menyerang pihak lain ialah hujah lemah seumpama ‘kerajaan Johor melalui surat telah menyatakan bahawa Johor tidak menuntut Batu Puteh sebagai milik kerajaan Johor’ yang beliau sendiri sebelumnya pertikaikan selepas keputusan ICJ itu dibuat.

Sebab itulah seluruh rakyat perlu menyokong penuh keputusan kerajaan untuk mewujudkan pasukan petugas khas bagi membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan opsyen-opsyen bersesuaian berhubung kes Batu Puteh selain mengkaji tindakan undang-undang ke atas mana-mana pihak yang melakukan kecuaian dan kekhilafan di dalam kes ini.

Ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dalam waktu singkat menunjukkan keberanian beliau untuk membongkar kisah sebenar menyebabkan Malaysia kehilangan Batu Puteh dan kehilangan peluang untuk menuntutnya kembali serta untuk meneliti opsyen-opsyen yang ada.

DR. Kamarul Zaman Yusoff ialah Timbalan Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (Pintar).

No comments:

Post a Comment