Wednesday, October 13, 2021

Kenapa Beria-ia Bela Orang Kaya?

SETIAUSAHA Agung DAP, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan pada 2 Oktober lalu menegaskan, pihaknya akan membantah sebarang rancangan kerajaan untuk mengenakan cukai keuntungan modal (CGT) di negara ini.

Menurut Guan Eng, kerajaan tidak boleh memiskinkan rakyat dan menekan mereka dengan cukai tambahan.

Kenyataan itu dibuat susulan pendedahan Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa pada bulan lalu bahawa kerajaan akan meneliti cadangan untuk melaksanakan cukai tersebut bagi meningkatkan pendapatan kerajaan.

CGT ialah cukai ke atas keuntungan yang diperoleh semasa penjualan aset bukan inventori seperti rumah, tanah dan saham.

Saya faham pemain saham dan mereka yang mempunyai modal besar pasti akan menentang pelaksanaan cukai itu kerana ia akan mengurangkan keuntungan mereka.

Tetapi saya pasti majoriti rakyat tidak kisah kerana cukai itu hanya melibatkan segelintir orang kaya.

Ramai rakyat biasa termasuk kelas menengah dan peniaga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tidak akan terjejas dengan cukai tersebut.

Cukai dikenakan terhadap individu yang mendapat keuntungan daripada bermain saham menggunakan kemahiran spekulasi. Mereka tidak bekerja keras seperti kebanyakan rakyat negara kita.

Oleh itu, saya tidak faham kenapa DAP dan Guan Eng membantah cukai progresif ini dan bertindak membela golongan kaya.

Cukai ini dikenakan disebabkan keuntungan daripada modal atau keuntungan yang diperoleh seseorang daripada penjualan aset.

Cukai ini hanya dikenakan setelah aset ditukarkan menjadi tunai dan bukan ketika ia masih dalam tangan pelabur.

Ia dikenakan ketika individu terbabit memutuskan untuk menjual saham tersebut dengan harga lebih tinggi daripada harga belian mereka. Cukai dikenakan jika ada keuntungan.

Pada dasarnya, ia tidak menghalang seseorang menjadi kaya tetapi mereka hanya dicukaikan jika mahu menjadi lebih kaya.

Sebenarnya cukai ini boleh digunakan untuk menyelamatkan rakyat kerana ia tidak sama dengan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dikenakan secara pukul rata terhadap semua penduduk.

Golongan yang akan dikenakan cukai ini bukan pihak yang perlu diselamatkan.

Mereka ialah golongan yang mempunyai rizab kewangan cukup besar.

Cukai ini sebenarnya dapat memastikan jurang antara orang kaya dan miskin dapat dikurangkan.

Ia ialah cukai terbaik yang harus dikenakan pada masa sekarang. Sebenarnya banyak faedah jika kita melaksanakan cukai itu.

Antaranya, ia boleh digunakan sebagai subsidi untuk meningkatkan gaji minimum yang merupakan sebahagian daripada janji Pakatan Harapan (PH) di mana mereka setuju untuk gaji minimum dinaikkan.

Wang daripada cukai ini boleh digunakan bagi membantu PKS meningkatkan gaji minimum.

Semasa PH yang turut disertai DAP memerintah, banyak dana untuk pekebun kecil dan nelayan disekat. Begitu juga gaji guru tadika yang berpendapatan rendah disekat.

Walaupun matlamat sebenar PH adalah menangani ketirisan dan penyalahgunaan wang tetapi saya tidak faham kenapa rakyat berpendapatan rendah yang menjadi sasaran untuk penjimatan wang ini.

Kini apabila ramai ahli ekonomi berpendapat CGT adalah cukai yang amat baik dan adil, nampaknya DAP mahu menjaga kepentingan kelas atasan pula.

S. ARUTCHELVAN, Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment