PETALING JAYA: Kerajaan sewajarnya menyediakan perumahan lebih selesa untuk kumpulan B40 dengan memastikan pelbagai saiz unit bagi kediaman di Projek Perumahan Rakyat (PPR).
Unit berkenaan sepatutnya boleh dihuni dengan selesa tidak kira oleh golongan bujang mahupun berkeluarga seterusnya memperbaiki tahap kehidupan mereka.
Dalam forum anjuran Gabungan Marhaen, penyelidik bersekutu Khazanah Research Institute (KRI) Gregory Ho berkata, flat PPR di Malaysia sebaliknya mempunyai satu saiz untuk semua unit yang mungkin tidak sesuai dengan keperluan keluarga berbeza.
“Jika dilihat flat HDB di Singapura mempunyai pelan lantai berbeza-beza. Bagi seorang penghuni, mungkin kediaman dengan dua bilik adalah sesuai.
“Selepas itu, dalam tempoh lima tahun anda diberi pilihan untuk berpindah ke kediaman lebih besar sesuai dengan keperluan.”
Ho berkata, berdasarkan kajian KRI, kos standard kediaman mampu milik tidak setara dengan standard perumahan persendirian, malah saiz flat PPR dengan tiga bilik hanya 650 kaki persegi berbanding standard perumahan kebangsaan iaitu 800 kaki persegi.
“Lazimnya isi rumah PPR merangkumi enam orang yang terpaksa berhimpit dalam rumah yang kecil. Wajarkah ini?” soalnya.
Tambahnya, PPR juga mempunyai kepadatan penduduk tinggi apabila kira-kira 1,455 orang menghuni satu bangunan dengan 316 unit.
Katanya, tahap kebersihan dan sanitasi juga menjadi masalah terutama peningkatan risiko penularan penyakit kerana berkongsi kemudahan seperti lif.
“Unit kos rendah yang tidak dirancang dengan baik juga mampu menjejaskan kesihatan mental serta fizikal penghuni PPR,” katanya.
Justeru, beliau menggesa kediaman lebih selesa bagi kumpulan B40 yang disifatkan sebagai satu hak asasi. - freemalaysiatoday
No comments:
Post a Comment