MELIHAT tempoh perjanjian pengurusan rumah api di Pulau Pisang yang terletak di perairan Pontian, Johor antara Malaysia dan Singapura (dahulu antara Raja Melayu dan British) iaitu selagi ada matahari dan bintang memang tidak logik.
Lagi ketika dunia menuju kepada penggunaan teknologi perairan yang serba canggih termasuk panduan pelayaran menggunakan satelit, rumah api seperti sudah tidak ada fungsi. Jadi masih perlukah rumah api dalam memberi panduan kepada pelayaran? Atau ‘kehadiran’ Singapura di Pulau Pisang lebih kepada elemen strategik yang lain?
Rasanya semua orang tahu bahawa ilmu pelayaran moden kini boleh dikatakan semuanya bergantung kepada teknologi satelit dan digital.
Dalam atau cetek lautan, kedudukan pulau, beting pasir, terumbu karang malah jarak antara satu kapal dengan kapal yang lain semuanya ditentukan oleh satelit.
Pelayar moden dilatih untuk mengendalikan kapal menggunakan peralatan navigasi digital yang menjadikan pelayaran di laut lebih lancar dan lebih selamat.
Berkat kemudahan dan automasi moden, kapal hari ini dilengkapi dengan beberapa sistem peralatan navigasi canggih yang menyediakan data pelayaran yang tepat. Difahamkan terdapat sekurang-kurangnya 21 jenis peralatan perbeza untuk membantu navigasi yang yang tersedia di semua kapal dagang pada masa ini.
Ini termasuk kebergantungan kepada sistem radar S-band dan X-band untuk navigasi terutama bagi mengesan sasaran dan memaparkan maklumat di layar seperti jarak kapal dari darat, sebarang objek terapung (pulau, batu, terumbu, bongkah ais), kapal dan rintangan lain untuk mengelakkan pelanggaran. Dalam era pelayaran moden ini langsung tidak disebut rumah api.
Tujuan isu ini dibangkitkan ialah untuk melihat kewajaran negara kita Malaysia terus membenarkan pihak Singapura menguruskan rumah api di Pulau Pisang. Kehadiran entiti asing di tanah air kita sudah tentu sedikit sebanyak mengganggu-gugat kedaulatan negara.
Jika semua kapal-kapal moden ini sudah memiliki peralatan canggih untuk membantu pelayaran mereka, maka sudah tiba masanya negara ini melakukan sesuatu untuk memastikan apa sahaja yang ada di Pulau Pisang diuruskan sendiri oleh kita.
Tidak mungkin kita ini terlalu sengkek hingga rumah api pun kita tidak tahu mengurus. Lebih menghairankan, perjanjian yang membabitkan selagi ada bintang dan matahari ini ditandatangani ketika zaman penjajah British. Selepas itu Singapura adalah sebahagian dari Malaysia sebelum memutuskan untuk berpisah pada 1963. Jadi, bolehkan perjanjian dengan British itu boleh diwarisi oleh Singapura?
Mungkin mereka yang pakar tentang undang-undang dan hubungan antarabangsa boleh memberikan penjelasan. Namun, andai kata rumah api tidak lagi diperlukan dalam membantu kapal-kapal yang berlayar terutamanya di perairan Pulau Pisang, maka eloklah kiranya kehadiran entiti negara jiran di pulau itu kita tamatkan.
Oleh: Aznan Bakar
No comments:
Post a Comment