Sudah terang lagi bersuluh – mengambil ayat Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi – pemimpin tertinggi parti itu tidak boleh lagi bersembunyi di belakang akar umbi apabila menawarkan kerjasama dengan parti pembangkang untuk terus mentadbir Melaka.
Dalam keadaan terdesak, terburai sudah segala isi hati Majlis Tertinggi (MT) UMNO di bawah pimpinan Zahid apabila dalam krisis politik di Melaka, parti itu sanggup mengetepikan ‘sumpah’ tidak bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), khususnya DAP.
Teringat kepada kenyataan Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan pada 8 Oktober lalu yang mengatakan Zahid bersumpah tidak menyokong Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan tidak akan bekerjasama dengan PH, termasuk DAP.
Kata Ahmad beliau menjadi saksi bahawa Zahid melafazkan sumpah tersebut termasuk menolak kerjasama dengan gabungan PH dan DAP.
“Baru-baru ini ada pertemuan dengan presiden (Zahid) dan saya ingin mengatakan di sini bahawa apabila ada tuduhan yang beliau ingin membawa UMNO ini bersama PH dan DAP.
“Presiden UMNO telah bersumpah Wallahi, Wabillahi, Watallahi bahawa beliau tidak akan menyokong Anwar untuk jadi perdana menteri dan tidak akan bersama dengan PH dan DAP di hadapan beberapa ahli Parlimen.
“Saya ada ketika itu, ini baru lagi baru sehari dua yang lalu. Jadi tuduhan terhadap beliau itu adalah yang tidak berasas,” kata Ahli Parlimen Pontian itu.
Namun, sebaliknya yang berlaku apabila Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sendiri mengesahkan parti itu ‘meminta nyawa’ kepada DAP untuk menyelamatkan kerajaan Melaka diterajui UMNO.
Berita berkaitan
Rauf mengakui diberi tanggungjawab mewakili partinya iaitu UMNO untuk berunding dengan pimpinan DAP Melaka. Ia diatur oleh seorang pemimpin atasan UMNO yang enggan dinamakannya.
Tetapi, memalukan bukan sahaja kepada kepemimpinan UMNO negeri itu dan peringkat pusat, malah akar umbi parti juga berasa malu apabila dengan terang-terang tawaran kerjasama UMNO ditolak mentah-mentah oleh DAP.
Tidak ada pula pemimpin kanan UMNO seperti Ketua Pemuda, Ketua Wanita, Ketua Puteri hatta mantan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak yang membidas tindakan menawar kerjasama dengan DAP.
Ketika akar umbi dan rakyat digula-gulakan dengan ketetapan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 menolak DAP, sebaliknya parti itu diam-diam ingin duduk di bawah khemah besar apabila mereka tersepit.
Keadaan ini sama seperti yang pernah berlaku di Perak pada Disember 2020 lalu apabila Zahid berkata UMNO sedia bekerjasama dengan PH, termasuk DAP, untuk membentuk kerajaan baharu di Perak.
Demikianlah rakyat telah melihat permainan UMNO selama ini, yang kononnya kuat, tetapi tanpa rasa malu melutut kepada DAP.
Namun, sebagaimana dikatakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyung yang juga Setiausaha DAP Melaka, Damian Yeo Shen Li, UMNO tidak ikhlas kerana mencadangkan gencatan politik dengan DAP ketika kedudukan mereka terancam.
“Mereka hanya mahu berbincang dengan kami ketika UMNO nak jatuh. Semasa UMNO kuat mereka mengetepikan kami,” katanya.
Yang peliknya UMNO mahu berpelukan dengan PH dan DAP – parti yang mereka tentang – tetapi menolak untuk bekerjasama dengan Bersatu, konon, seperti mana kata Zahid, sudah terang lagi bersuluh Bersatu ada agenda tertentu.
Mereka juga mungkin buta kerana tidak melihat DAP juga ada agenda tertentu, tetapi rela melutut kepada parti itu.
Krisis politik Melaka tercetus Isnin lalu, apabila bekas Ketua Menteri Melaka yang juga ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron bersama tiga lagi bekas ADUN mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan UMNO pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Tiga lagi ADUN ialah bekas ADUN UMNO Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan; bekas ADUN Bersatu Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad; dan bekas ADUN Bebas Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee.
Susulan permohonan Rauf yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam membubarkan DUN bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan. - Agendadaily
No comments:
Post a Comment