KUALA LUMPUR – “Sudahlah menceroboh tanah orang secara haram, berani pula pihak kuil meminta pampasan jika mahu mereka keluar dari tanah yang diceroboh di situ,” kata Wan Asshima Kamaruddin, Pengasas Pondok Hijrah Muslimah Malaysia (MUM).
Menganggap tindakan tersebut satu tindakan yang biadap, Wan Asshima menambah, “Mereka beralasan sudah lama menjaga tanah yang terbiar kosong itu walaupun pihak Yayasan Kubra tidak pernah menyuruh mereka menjaga tanah itu.”
Kata Wan Asshima, berikutan rampasan itu, beliau bersama-sama dengan Jawatankuasa Yayasan Kubra telah sepakat untuk menghantar notis kepada pihak kuil.
Pihak kuil diberi tempoh 14 hari untuk mengosongkan tanah tersebut. Jika gagal, tindakan selanjutnya akan diambil.
Akan tetapi, banner kenyataan dan juga notis arahan pemindahan yang diletakkan di sana telah dicabut oleh pihak kuil yang ingkar arahan.
Bukan sahaja notis tersebut dibuang tetapi pihak kuil membuat pula kerja-kerja penambahan konkrit di tepi binaan kuil tersebut.
“Kita lihat mereka seolah-olah tidak peduli dengan amaran yang diberi sedangkan di dalam notis kita turut melampirkan geran tanah serta dokumen berkaitan yang sah.”
Kata Wan Asshima yang juga Ahli Yayasan Kubra itu, rupanya laporan polis sudah pernah dibuat oleh penduduk tempatan pada tahun 2018 dan pihak polis sedang dalam proses siasatan.
“Saya juga dimaklumkan kes ini sudah lama disiasat bermula tahun 2018 lagi dengan laporan polis yang pertama kemudian kita ulang lagi membuat laporan polis pada Mac 2021 lalu untuk tindakan lanjut.”
“Cuma tindakan agak perlahan mungkin kerana merasakan ianya tidak berapa penting,” katanya.
Soal Wan Asshima, “Apabila mereka berani menceroboh tanah orang sesuka hati, apa hak kami sebagai tuan tanah?”
“Kita pula jadi takut sedangkan kita mempunyai hak sebagai tuan tanah yang sah.”
Beliau juga meminta supaya isu seumpama ini diberikan perhatian segera oleh Perdana Menteri kerana isu seperti ini semakin berleluasa.
Isu ini semakin lama semakin banyak sehinggakan menurut maklumat jawatankuasa kawasan berkenaan, terdapat tiga lagi kuil haram.
“Yang kita kenal pasti salah satunya berlaku di Surau Ar Rahman yang mana tapak surau itu yang digazetkan oleh Jabatan Agama Islam dibuat kuil, mujurlah di situ mereka berjaya mengusir secara aman dan mendapat semula tanah yang menjadi hak mereka dan pihak kuil akhirnya mengundur diri.”
“Itu tanah kerajaan terpaksalah mereka akur, bagaimana pula jika tanah persendirian macam mana pula isunya.”
“Saya harap pihak unit keselamatan terutamanya PDRM membuat tindakan yang terbaik bagi membendung gejala ceroboh tanah ini dari terus berleluasa di negara ini,” tegas Wan Asshima. - www.samudera.my
No comments:
Post a Comment