Semalam sewaktu sesi soal jawab Menteri di Dewan Rakyat, ketika giliran Menteri di JPM Hal Ehwal Agama Senator Idris Ahmad, ahli Parlimen DAP Bukit Bintang, Fong Kui Lin telah bertanya soalan tambahan:
“Antara lain berbunyi mengapa negara perlu menyekat agama bukan Islam sedangkan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan beragama.”
Soalan ini dibangkitkan berikutan inisiatif kerajaan menyekat pengembangan agama bukan Islam di kalangan penganut Islam melalui RUU Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Doktrin atau Kepercayaan Agama Dalam Kalangan Orang Islam.
Isu ini cukup jelas dan saya yakin difahami oleh rata-rata rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama. Cuma yang ekstrem dan tidak sensitif pada kepentingan umat Islam sahaja yang sengaja mahu cetuskan kekeliruan dan perbalahan khasnya antara agama.
Benar Perlembagaan Persekutuan melaui Perkara 3 yang dimaksudkan menjamin hak kebebasan beragama di kalangan rakyatnya. Ia menyebut Islam adalah Agama Persekutuan tetapi agama-agama lain bebas diamalkan di kalangan rakyatnya.
Namun dalam Perlembagaan yang sama Perkara 11 (4) menyatakan undang-undang boleh diperkenalkan untuk mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan penganut Islam.
Hakikatnya bukan sahaja rakyat yang beragama Islam malah yang bukan Islam khasnya di negara ini pun tahu bahawa agama Islam mengikat penganutnya untuk kekal dengan Islam sampai ke penghujung hayat.
Seseorang Muslim tidak boleh memilih menukar agamanya kerana tindakan itu merupakan satu kesalahan besar dalam Islam.
RUU ini diperkenalkan untuk memastikan tidak ada usaha untuk membawa mana-mana individu Muslim warga Malaysia untuk menukar agamanya. Ia jelas menjaga kepentingan dan akidah umat Islam dan sedikit pun tidak menghalang kepentingan agama lain.
Lalu kenapa DAP perlu pertikai?
Adakah DAP mahu melindungi usaha jahat menyebarkan doktrin atau agama bukan Islam di kalangan orang-orang Islam? Mahu lihat umat Islam bebas murtad?
Inilah sikap DAP yang rakyat khasnya umat Melayu Islam perlu tahu.
Sepatutnya ini hak dan kepentingan umat Islam tidak perlulah MP bukan Islam campuri pun sedangkan hak mereka tidak langsung terganggu. Tetapi semalam MP DAP bangkit, lalu beringat-ingatlah semua.
Roslan Shahir Datuk Mohd Shahir
Setiausaha PAS Selangor
No comments:
Post a Comment