Thursday, October 28, 2021

Bina Negara Guna ‘Air Tangan’ Sendiri

DILAPORKAN kira-kira 400,000 pekerja warga asing meninggalkan negara ini akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak awal tahun lalu dan 200,000 lagi gagal dikesan ekoran kehilangan pekerjaan kerana penutupan sektor ekonomi.

Ketiadaan 600,000 orang ini didakwa mula memberi kesan besar kepada beberapa sektor ekonomi yang penting apatah lagi kebanyakan daripada mereka dikatakan membabitkan pekerja dari Indonesia, Bangladesh dan Nepal.

Tatkala kerajaan sudah membenarkan hampir semua sektor ekonomi beroperasi seperti biasa, ketiadaan kumpulan ini mula membimbangkan para majikan yang sedang berdepan masalah mencari pekerja terutama bagi sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar).

Dalam hal ini, warga tempatan walaupun tiada pekerjaan dikatakan tidak berminat untuk bekerja dalam sektor 3D ini atas pelbagai alasan seperti memenatkan dan gaji yang tidak menarik atau setimpal.

Justeru, persoalan utama ialah sampai bila kita hendak bergantung harap kepada pekerja asing?

Ironinya, masalah yang sedang dihadapi oleh majikan menunjukkan seolah-olah pembangunan dan kejayaan pelbagai sektor ekonomi negara ini bergantung harap sepenuhnya kepada tenaga kerja asing atau dalam lain perkataan, seolah-olah kita tidak boleh maju tanpa pekerja asing.

Jika benar telahan ini, maka ia merupakan satu situasi yang cukup membimbangkan dan kita perlu membuat sesuatu untuk menangani permasalahan ini dengan segera.

Jujurnya, kita mahu membangunkan negara ini menggunakan ‘air tangan’ serta idea dan kepakaran tenaga kerja tempatan sendiri.

Hasrat ini hanya dapat direalisasikan jika majikan dan warga tempatan bersedia menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Dalam konteks ini, para majikan dan warga tempatan perlu bersikap lebih terbuka dan mengubah corak pemikiran masing-masing.

Ironinya, kita sudah penat dengan alasan masing-masing di mana majikan mendakwa pekerja tempatan tidak berminat, manakala pekerja pula mendakwa gaji terlalu rendah. Sampai bila keadaan ini akan berterusan?

Hakikatnya, sikap sesetengah majikan yang lebih mengutamakan pekerja asing kerana hanya perlu membayar upah yang rendah berbanding menggaji pekerja tempatan sentiasa menjadi antara faktor utama kebanjiran pekerja asing di negara ini.

Majikan yang hanya mementingkan keuntungan dengan kos operasi yang rendah perlu menjiwai semangat tanggungjawab sosial dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada warga tempatan di samping membantu kerajaan menangani masalah peningkatan kadar pengangguran.

Kita berharap para majikan akan serius dalam usaha mencari dan menawarkan peluang pekerjaan kepada warga tempatan.

Janganlah bertindak hanya sekadar sambil lewa untuk mengaburi mata pihak berkuasa dengan akhirnya mendakwa pekerja tempatan tidak berminat untuk bekerja dalam sektor 3D.

SKOP KERJA
Majikan sepatutnya mengambil tanggungjawab untuk menjenama semula skop kerja 3D terutamanya dalam sektor perladangan, pembinaan, perkilangan dan pertanian sekali gus menawarkan pakej gaji dan manfaat yang setimpal agar dapat menarik minat pekerja tempatan.

Misalnya, jika pekerja tempatan kurang mahir, sediakanlah skim latihan yang bersesuaian supaya dapat mengasah kemahiran mereka mengikut keperluan skop kerja masing-masing.

Pada masa sama, pekerja tempatan juga perlu mengubah sikap dan pandangan terhadap sektor pekerjaan 3D.

Tatkala ramai yang diberhentikan kerja dan kadar pengangguran terus membimbangkan ketika pandemik, janganlah kita terlalu memilih atau terus menolak kerja di sektor 3D ini.

Perkembangan semasa menunjukkan pada ketika ini terdapat banyak peluang pekerjaan dalam sektor 3D.

Jadi, inilah masanya untuk kita mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh pekerja asing.

Kalau selama ini ada yang marah kerana terpaksa berebut dengan pekerja asing untuk mendapatkan peluang pekerjaan, maka kini kita dihidangkan ruang yang secukupnya untuk mengambil alih tempat mereka.

Percayalah, jika kita benar-benar jujur dan ikhlas mahu mencari rezeki halal, kerja yang susah dan sukar akan menjadi mudah dan biasa.

Malah tidak salah untuk bermula dengan gaji yang rendah kerana kesungguhan dan dedikasi kita kelak pasti akan membuat majikan menawarkan gaji lebih setimpal.

Jadi, inilah masa terbaik untuk kita mengubah persepsi dan mentaliti terhadap sektor pekerjaan 3D yang mungkin selama ini dianggap sebagai pekerjaan ‘kelas kedua.’

Pilihan sekarang adalah di tangan rakyat kita sendiri. Apakah kita akan terus berpeluk tubuh menunggu peluang kerja datang mencari kita, terus merintih dan mengeluh mengenang nasib terpaksa diberhentikan kerja atau bangkit sahut cabaran dan peluang yang disediakan ini untuk merebut apa jua kerja kosong yang selama ini diisi oleh pekerja asing? Tepuk dada dan tanya minda masing-masing.

Kita berharap kerajaan juga akan memandang serius isu ini dan menyediakan inisiatif kepada pekerja tempatan yang bersedia untuk menyahut cabaran bekerja dalam sektor 3D.

Antaranya mewujudkan skim gaji minimum serta tangga gaji bersesuaian mengikut tahap kelayakan serta pengalaman dan kemahiran dimiliki oleh pekerja tempatan.

Cukuplah selama ini kita bergantung harap kepada tenaga kerja asing. Sudah tiba masanya untuk warga tempatan mengambil alih tugas membangunkan negara dan membina masyarakat.

Contohilah negara maju seperti Jepun dan Korea Selatan yang membina empayar ekonomi hebat dengan bantuan dan kudrat rakyat mereka sendiri tanpa mengharapkan tenaga kerja dari luar. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment