Monday, October 25, 2021

Perkara Yang Lebih Penting Dilihat Adalah Siapakah Yang Memberikan Lesen Arak Tersebut....

Fikir dulu sebelum beri lesen tambahan arak, judi, ternakan babi
Sangat tidak wajar bagi sebuah negara Islam menjadi pengeluar minuman keras, penternakan babi mahupun pusat judi terbesar di Asia.

Justeru, sudah sampai masanya pihak berkuasa berfikir dua kali untuk memberikan lesen tambahan kepada aktiviti-aktiviti tersebut, kata pemerhati politik, Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah.

“Tidak perlu berlebih-lebih sehingga sebuah negara Islam tidak dikenali sebagai pengeluar (bisnes) makanan halal tetapi lebih kepada yang haram.

“Benar, arak, babi itu adalah makanan orang bukan Islam. Tidak sesiapa menafikan hak tersebut. Tetapi biarkan berpada-pada pengeluarannya,” katanya dalam kenyataan.

Berhubung isu arak jenama Timah beliau menegaskan, perkara yang perlu ditekankan adalah untuk mendidik masyarakat menjauhi minuman keras dan perkara haram lain, bukannya ‘Timah’.

“Perkara yang lebih penting dilihat adalah siapakah yang memberikan lesen arak tersebut. Tidak cukupkah lagi kilang arak dan arak yang terdapat di negara kita?

“Paling penting lagi didik masyarakat tentang haramnya arak dan menjauhinya. Bukan soal nama. Kecualilah mereka meletakkan nama Allah atau nama Nabi

“Ini sekadar nama Timah. Takkan dengan nama Timah (merujuk kepada Fatimah kononnya) kita dengan mudah sudah tergoda dan terkesima,” katanya.

Beliau percaya soal kandungan dalam Timah, umat Islam tidak begitu bodoh sehingga tidak membezakan ia adalah arak.

“Kadang-kadang saya jadi hairan, kenapa kita perlu membuang masa membahaskan perkara remeh seperti jenama arak bernama Timah dan gambar lelaki berjambang tersebut. Secara tak langsung publisiti percuma kepada jenama arak itu,” katanya. - ismaweb.net

No comments:

Post a Comment