Apa yang dibuat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Udang daripada UMNO, Datuk Seri Idris Haron hanyalah orkestra akhir. Lintang pukang politik negeri itu sudah jadi rahsia umum, tinggal lagi retak membawa belah. Yang Melayunya tak untung.
Apa orang Melayu dapat? Perkembangan politik hari ini tidak menampakkan kekuasaan Melayu untuk kebaikan bangsanya. Tapi untuk kuasa peribadi memang banyak.
Parti-parti Melayu akan ‘mati’ selepas ini jika mereka tidak ambil pendirian mengibarkan jalur perpaduan kerana saingan mereka lebih konsisten. PKR nampaknya serasi dengan DAP. DAP-PKR lebih bersama siulannya.
Jadi, untuk mendapatkan perpaduan kalangan parti-parti tradisonal Melayu, ia sudah berlalu. Tidak ada formula baharu misalannya.
Kalau begitu, bagaimana yang lainnya? Pakatan Harapan (PH)? Mereka ada transformasinya. Ada perjanjiannya, hak asasi manusianya. Yang Melayu dalam parti-parti pelbagai, apa hala tujunya? Adakah hendak selamatkan ‘leher’ dari urusan undang-undang sahaja?
Pokoknya sekarang, orang Melayu tidak dapat menilainya. Bila orang kata rakyat pandailah mereka menilai, itu omongan sahaja. Rakyat tak tahu.
Rumusan yang begitu sudah letih kita dengar. Yang kita tahu sekarang realitinya politik Melayu paling lemah, sangat berkecamuk. Tidak ada solusi lagi.
Kredit untuk PH
Namun, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ada peranannya oleh kerana jawatannya itu, beliau diseru menggerakkan peranan lebih daripada beliau memainkan peranan dengan PH.
Ada pihak menyatakan, Ismail Sabri patut menyusun strategi memeterai memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik bukan dengan PH, sebaliknya dulukan bersama parti-parti Melayu.
Tetapi beliau melangkau terus pula ke PH. Apa sahaja kredit sekarang, PH yang dapat. Khabarnya, jawatankuasa yang diputuskan tentang sembilan seksyen dan enam perkara sebagai agenda itu kebanyakannya berasaskan azam politik PH. Tak nampak glamour UMNO di situ. Malah, transformasi Parlimen itupun PH punya jualan bersama kumpulan daripada Parlimen.
Dibimbangi hari ini tidak ada azam politik oleh parti-parti Melayu untuk satukan bangsanya. Semuanya ‘cakap besar’. Soal perpaduan kelihatan tidak dapat diperoleh oleh mana-mana parti Melayu.
Demikian halnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), juga dalam dilema sebab pengaruh di peringkat negeri boleh dikatakan langsung tidak ada. Penguasaan di Perak dan Johor tinggal sejarah. Sedangkan semasa memegang teraju negara pun tidak dapat diolah dengan baik, masakan sekarang ini, lagi tak dapat.
Macam di Putrajaya, ramai ahli dan pemimpin Bersatu sudah lari ‘menyeberang’.
UMNO pula nampak besar, tetapi ‘berpecah’. Pecahan dalaman. Dua atau tiga? Di Melaka, UMNO bergelut sesama mereka. Bekas ketua menteri dengan ketua menterinya, tetapi rekod Datuk Seri Sulaiman Md. Ali pun tidak ada kerajinan. Itu sebabnya ‘dijadikan asas’ buat Idris dengan Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh. Ringkasnya, kemelut politik di Melaka adalah kemelut UMNO, bukan parti lain.
Adakah dalam masa terdekat nanti, barangkali beberapa minggu mendatang ini akan menunjukkan bahawa sebenarnya perpecahan dalam kalangan parti pemerintah Melayu akan berterusan?
Melainkan Perdana Menteri dan pemimpin parti-parti Melayu saling bermuafakat. Ia bukan sahaja untuk kepentingan parti, tetapi demi bangsa Melayu dan Malaysia keseluruhannya.
Racun
Politik Melayu barangkali makin meracuni diri sendiri. Tidak ada lagi nilai-nilai yang bersandar kepada perlembagaannya dan masing masing sudah tidak ada petua – sebab tak ‘reti’ tuntutan asas partinya.
Saya percaya, kita orang Melayu berhak menepuk belakang kita sendiri. Kalau penyakit perasaan hasad dengki dalam kalangan orang Melayu tidak dikikis, apa yang diimpi didambakan hanya kegelapan menanti.
Ya, penyakit ini sudah bertaut lama, disebut dalam pelbagai bentuk genre Melayu sama ada klasik mahu pun moden. Epik-epik Melayu seperti Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Hikayat Raja-raja Pasai, Hikayat Raja Donan sehinggalah novel-novel klasik hingga ke kontemporari mengungkapkan banyak penyakit ini.
Pepatah Melayu berselirat merata memperkatakan “Air susu dibalas dengan air tuba; harapkan pegar, pegar makan padi; balik belakang, balik gagang; bau busuk tidak berbangkai; Berjalan peliharalah kaki, bercakap peliharalah lidah; Berkerat rotan, berpatah arang.”
Apabila seorang budak, Hang Nadim mencadangkan agar Temasik (Singapura) yang diserang todak tidak lagi berkubukan betis, tetapi batang-batang pisang, banyaklah ikan itu terlekat di batang pisang dan mudah untuk dibunuh.
Kerana kebijaksanaannya, timbul iri dan dendam kalangan orang besar, lalu memberikan sembah kepada Raja bahaya budak bijak itu kepada raja nanti. Raja tanpa usul periksa termakan hasutan pembesar lalu Hang Nadim pun dibunuh.
‘Penyakit hati dan rohani’ ini menyebabkan berlakunya perpecahan umat Islam yang bermula pada tahun11 hijrah atau 632 hijrah. Penyakit ini merentasi semua masyarakat dunia tidak kira Islam atau anutan agama lain. Dimanifestasikan dalam cara diskriminasi, ethnic cleansing, peperangan dan siri pembunuhan. Hitler di Jerman, Idi Amin (Uganda), Pinochet di Peru, Kashmir, Xinjiang, Rohingya di Myanmar.
Dalam The Malay Mind (1996), Abang Yusuf Puteh menyebut penyakit Melayu ini sebagai the most serious, dangerous and destructive traits of the Malay mind.
Ini diwakili dengki dan dendam. Kedua-duanya disingkatkan kepada 2Ds. Bagi beliau penyakit ini tidak lain ialah :
‘The basic philosophy in the Malay heart has been this ; that everybody should be equel inpoverty and misery, and that no one should be better off either in prosperity or social standing. ’
Saya membangkitkan isu hasad dengki ini kerana inilah ‘penyakit keramat’ yang menyelubungi orang Melayu sejak sekian lama.
Tanggungjawab seluruh pemimpin Melayu terhadap bangsa, agama dan negara jauh lebih besar daripada pihak lain. Peranan pemimpin kaum-kaum lain penting, tetapi Melayu adalah tunjang dan teras bagi Malaysia. Lemah orang Melayu, lemahlah Malaysia, tidak stabillah.
Oleh: ZULKIFLI JALIL
No comments:
Post a Comment