Di medan ‘bawah tanah’ sebegini kami berkarya dengan bebas, membuat persembahan dengan lantang, mengkritik birokrasi, dan menjadi ‘anti establishment‘ yang berani bertanggungjawab. Buku-buku yang dijual di KLAB juga bersifat begitu.
Ya, Ahad lepas, julung-julung kalinya pada 2024 saya ke Pasar Seni. Itupun sebab acara KLAB. Jika tiada KLAB sudah tentu saya tidak akan ke Pasar Budaya (kami panggil CM) walhal di situlah rumah kedua saya sekitar 30 tahun lalu. Hari-hari di CM. CM tempat saya melepak sebentar melepas lelah selepas seharian bekerja sebelum meneruskan perjalanan pulang ke rumah. Di situlah saya berhibur mengisi kepuasan jiwa. Saya menunggu persembahan seniman jalanan menyanyi di siar kaki luar bangunan CM.
Seniman Adi Jagat dan Sidek serta beberapa nama lagi akan busking dengan gaya tersendiri mendendangkan lagu-lagu rakyat. Selera lagu saya memang cenderung ke arah itu. Lagu-lagu kritik sosial, ketuhanan, tentang alam dan tentang memprotes sistem. Jiwa saya akan berasa penuh apabila mendengarnya seperti orang dahaga yang dituangkan air ke dalam tekak. Selesai menonton saya pun mengambil bas pulang ke rumah dengan penuh tenaga semula. Itulah rutin saya dahulu.
Sesekali, pada waktu itu saya berpeluang melihat persembahan baca puisi di ‘sebelah sana’ berdekatan Dayabumi. Di situ ada Kamarool Haji Yusof (lebih dikenali sebagai Farouk Gagak Hitam dalam filem Gila-Gila Remaja) yang akan memekik kuat-kuat lagak guru silat membuka gelanggang. Pekikannya membuat orang yang lalu-lalang berhenti singgah untuk menyaksikan apakah persembahannya. Ada penyair seperti Pyanhabib, Sani Sudin dan Imuda (itu nama-nama yang saya kenal sebab mereka sudah pun popular di kaca TV ketika itu) beraksi. Angkatan mereka itulah yang mempelopori acara baca sajak di bawah tiang lampu di Pasar Seni, di jalan Masjid India, dan pasar malam Jalan Tunku Abdul Rahman.
Namun, era itu sudah berakhir sewaktu saya sampai di Kuala Lumpur. Hanya sesekali sahaja mereka beraksi, tidak seaktif tahun-tahun yang dipanggil era ‘tiang lampu’. Di Pasar Seni juga dahulu biasanya pada hujung minggu ada persembahan di pentas terbukanya yang terletak di tebing Sungai Klang. Hari ini, lorong tempat baca sajak tiang lampu dan pentas terbuka itu sudah tiada. Ia hanya menjadi tempat lalu-lalang untuk menuju ke stesen tren sahaja. Tidak ada apa yang menarik untuk dikenang oleh generasi hari ini, agaknya. Biasa aja.
Pusat gerai-gerai jualan buku KLAB ini terletak di bahagian dalam Pasar Seni, maka saya pun masuk ke dalam. Jelas suasana juga jauh berbeza berbanding dahulu. Saya tidaklah terlalu tua untuk sempat melihat CM ini suatu ketika dahulu pasar basah. Saya berada di era yang mana pasar ini merupakan tempat anak-anak tempatan bekerja menjual hasil kerja tangan seperti melukis cenderamata, mencetak kemeja-T, dan berbagai barangan kraf lagi. Tetapi kini semua itu sudah berganti dengan barangan… ya… walaupun produk Asia tetapi ciri kemalaysiaannya tiada.
Saya akui imej Pasar Seni hari ini memang indah dan cantik sebagai tarikan pelancong dari luar. Mereka akan suka apatah lagi gerai-gerai makan di dalamnya cukup menarik dan berimejkan makanan tempatan tetapi untuk saya, yang pernah merasai zaman dahulunya – berasa CM telah mati. Ah! Saya ini tak boleh move on agaknya. Suka bernostalgia. Seperti kami yang pernah merasai sedapnya ikan patin liar, berkali-kali kita kata ia amat sedap dan tak sama dengan patin ternak, tetap takkan beri makna kepada mereka yang tidak merasai pengalaman itu. Mereka hanya ada pengalaman makan ikan patin sangkar yang bagi mereka itulah paling enak. Puaslah kita menerangkan, yang kita dapat ialah ejekan menyatakan kita ini tak habis-habis lagi bersentimental. Ahai!
Sudut pelukis potret tempat kegemaran saya dahulu. Saya kerap di sudut itu dahulu untuk mengintai para pelukis melukis sambil ‘mencuri’ gaya dan teknik mereka. Ini kerana saya juga boleh melukis dan sudut itulah tempat saya menuntut ilmu. Dari situ saya belajar amali secara percuma dengan melihat mereka. Hari ini kebanyakan pelukis yang saya lihat 30 tahun dahulu sudah tiada lagi di sekitar situ. Kalau ada pun, tinggal dua tiga orang yang masih tegar tetapi kedai mereka sudah beralih ke bangunan belakang. Pernah seorang pelukis di situ bersungut kepada saya tentang CM yang telah dijajah dan mereka, pelukis-pelukis ini semakin tersudut.
Dahulu, di tingkat atas bumbungnya ada food court yang cukup sibuk dan meriah. Di situlah tempat saya makan malam sebelum balik rumah. Seronoknya pada bulan puasa, seawal pukul enam petang saya mesti duduk di meja makan untuk cop tempat. Jika tidak, tak sempat. Orang punyalah ramai! Sesiapa sahaja sama ada saya atau kawan-kawan jika sampai dahulu akan cop tempat. Sebelum adanya telefon bimbit, kita dah tahu akan ada antara kawan kita yang sudah berada di atas. Kita tahu sudut mana di dalam CM itu kawan kita melepak. Tanpa ada telefon pun kita boleh cari dan jumpa.
Ah! Sekali lagi saya bernostalgia. Mestilah, kerana di sinilah tempat saya bertemu jodoh. CM menjadi saksi pertemuan saya dengan isteri saya 30 tahun lalu. Mungkin sebab itu saya berasa tempat ini ada nilai syahdunya. Ada keramatnya. Sebab itulah saya sangat kecewa dengan perubahan CM. Bukan saya sahaja, kawan-kawan lain pun mengakui rohnya sudah mati. Ada yang memang mengaku tidak ingin jejakkan kaki lagi. CM, untuk kami sudah jadi plastik!
Hari minggu yang lalu, di sini, saya bertanya pada diri – jika hari ini saya berusia 20-an, yang sukakan seni; manakah tempat saya hendak pergi untuk menikmati acara seni ‘organik’ seperti CM dulu-dulu? Melihat pelukis potret, orang baca sajak tepi jalan, orang menyanyi lagu-lagu bukan komersial secara percuma? Ada tak hari ini di Kuala Lumpur aktiviti seni yang jadi sendiri, tidak disusun oleh penganjur; seperti di CM 30 tahun lalu itu? Oh… maaf ya. Bukan busking macam di Bukit Bintang itu ya! Dulu busking di CM tak ada sistem bunyi mahupun pembesar suara. Baca sajak pun main jerit sahaja macam si penjual ubat tepi jalan.
Apakah hari ini ada lagi anak muda yang seusia saya dulu; berjiwa seperti saya dahulu berkehendakkan tempat seperti ini? Tempat menikmati persembahan seni yang ‘jadi sendiri’? Yang turut mengimpikan akan bertemu gadis sehati dan seiring minatnya di tempat macam ini? Ya. Saya tahu hari ini dah masuk era internet. Apa yang kita mahu semua ada di situ.
“Apa perlunya lagi Central Market yang macam awak mahukan itu wahai pakcik?” bisik hati saya pada diri sendiri.
“Salahkah kalau aku masih terus bernostalgia dan mengharapkan era seperti dulu ada lagi?” bantah saya.
CM, Pasar Seni atau Pasar Budaya hari ini sudah lain tak macam 30 tahun lalu. Ia bukan Pasar Seni, bukan Pasar Budaya lagi tetapi ia sudah jadi tempat seni dan budaya dipasarkan.
“Faham? Jadi, pakcik. Sila nasihatkan diri sendiri dan kawan-kawan seangkatan agar move on. Okay?”
Saya terdengar ejekan itu di telinga saya. Terngiang-ngiang sampai saat ini. Ejekan dari saya kepada diri sendiri, seorang pakcik yang tak habis-habis bernostalgia. Seorang pakcik yang mendakwa bahawa dalam perkembangan kegiatan seni persembahan jalanan organik di Kuala Lumpur, kerajaan berhutang kepada nama-nama penggiat yang saya sebutkan tadi. Mereka inilah yang telah menggerakkan seni rakyat sehinggalah jentera kapitalisme datang mengusir.
Ya, apakah hari ini maksud seni di Pasar Seni, budaya apakah hari ini di Pasar Budaya? Oh, Central Market!
Oleh : Ronasina
Saya bertanya pada diri – jika hari ini saya berusia 20-an, yang sukakan seni; manakah tempat saya hendak pergi untuk menikmati acara seni ‘organik’ seperti CM dulu-dulu?
No comments:
Post a Comment