Wednesday, October 13, 2021

Cakap Salah, Tak Cakap Salah

MEMASANG lagu-lagu Melayu di ceruk dapur saya malam kelmarin, tetiba terpacul lagu Serba Salah, dendangan penyanyi klasik, Allahyarham R. Azmi (1923-1974).

Lirik lagunya bikin geli hati sahaja. Kisah rumah tangga suami isteri.

Tapi kalau diubah suai, boleh sahaja menyanyikan bersama melodi lagunya. Macam keserabutan politik Melayu hari ini lah yang seolah-olah tidak ambil peduli akan gelora geo-politik di luar sana yang dekat dengan kita, Laut China Selatan. Seolah-olah begitu. Kelihatannya kita tak ambil kisah langsung.

Cakap salah, tak cakap salah, jadi semua serba salah.

Saya mulakan bicara ini dengan mukadimahnya. Mengapa banyak sangat parti Melayu kala ini? Adakah kemunculan parti baharu termasuk semalam, dilancarkan Parti Kuasa Rakyat, diketuai Melayu tetapi mengundang dalamnya bangsa lain, tidak lebih hanya sekadar untuk memecahbelahkan lagi perpaduan orang Melayu?

Yang saya cukup bimbangi, ketika politik Melayu Melaka bercakaran sesama UMNO nya baru-baru ini, Laut China Selatan terus bergegar dengan pencerobohan kuasa besar dunia.

Adakah anasir asing semakin ‘berminat’ dengan Malaysia? Maksud saya, dengan percaturan politik Melayu yang tampak goyah dalam memperkukuhkan kesatuan bangsa?

Hakikatnya banyak sangat parti Melayu. Kalau begini, lama-kelamaan tiada lagi parti Melayu yang kuat. Semuanya berdikit-dikit mahu menjadi kerajaan. Daripada mana mereka yang membentuk parti-parti serpihan Melayu ini datang? Bukankah sebahagian besarnya datang daripada sebuah parti Melayu induk? Kenapa tidak perkuatkan parti itu sahaja?

Isunya sekarang, yang mewujudkan parti baharu ini, mereka sanggup bikin cerita bukan-bukan sehingga orang luar pandang jelek dan sinis Malaysia.

Kalau parti-parti Melayu sedia ada ini lemah, yang ruginya nanti orang Melayu dan Malaysia keseluruhan.

Melayu sudah pecah. Eh! bukan tiga tetapi empat. Bukan empatlah, lapan sebenarnya. Ada benarnya akan kata-kata orang, Melayu kini menjadi ‘minoriti’ kerana berpecah kepada lima walaupun mereka adalah 60 peratus warga negara ini?

EPISOD SEDIH

Orang Melayu telah melalui siri episod yang sedih sejak sebelum merdeka lagi. ‘Google’lah episod luka pengasas UMNO, Datuk Onn Jaafar (Parti Negara pada 1953) dan ustaz Ahmad Fuad Hassan yang merajuk sehingga mewujudkan Parti Islam Se-Tanah Melayu (Pas) pada 1951.

Demikian juga krisis Dr. Mahathir Mohamad-Tengku Razaleigh Hamzah pada 1987, pertelagahan Anwar Ibrahim-Dr. Mahathir yang membawa kemunculan Parti Keadilan serta perbalahan puak-puak dalam Pas mengakibatkan tertubuh Parti Amanah Negara (2015).

Orang Melayu asalnya ada 80 peratus kuasa undi. Selepas merdeka, diberi orang lain hak kerakyatan, Melayu hanya ada 60 peratus. Hari ini, orang Melayu (sebagai majoriti) terpaksa bergantung kepada orang lain untuk meluluskan apa-apa. Jangan disalahkan pemimpin terdahulu kerana kita tidak menyangka orang Melayu akan berpecah dan bermusuh sesama Melayu.

Perpecahan politik orang Melayu hari ini tidak lagi menjamin suara dan kuasa majoriti orang Melayu itu dapat menjadi teras kekuatan pentadbiran – yang dahulunya diterajui orang Melayu.

Apabila berpecah, tentu sekali anasir asing akan menangguk di air keruh. Dan sebagai majoriti, mungkinkah orang Melayu terpaksa mengemis dan meminta-minta daripada pihak terbabit semata-mata sokongan yang kecil?

Teringat orang Melayu kepada ingatan Dr. Mahathir pada satu senja selepas pertemuan tertutup dengan pemimpin dan ahli UMNO Bahagian Jelebu dan Jempol di Bandar Baru Serting, Negeri Sembilan pada 31 Mac 2001:

“Hari ini kita undang mereka suruh campur tangan, esok jangan marahlah kalau mereka akan menentukan siapa yang akan menjadi Presiden, Perdana Menteri dan menteri, inilah yang telah berlaku di negara lain.”

GEO-POLITIK LAUT CHINA SELATAN

Dengan suasana geopolitik rantau ini yang tidak memihak kepada ASEAN terutama dalam isu tuntutan bertindih di Laut China Selatan, keserabutan politik dalam negara ini hanya akan memburukkan lagi keadaan.

Isu Laut China Selatan hanya menyerlahkan kelemahan ASEAN. Seingat saya, Filipina pernah pada awal Julai 2016 diberi kemenangan oleh Mahkamah Tetap Timbang Tara di bawah Konvensyen Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS) dalam tuntutan wilayah di Scarborough Shoal, Laut China Selatan.

Namun isu pencerobohan Laut China Selatan berterusan, dengan terbaharu kehadiran secara besar-besaran hampir 100 buah kapal China memasuki perairan lautan itu yang dituntut Filipina. Perairan Malaysia di Zon Ekonomi Eksklusif dekat Kota Kinabalu turut diceroboh.

Bahkan, ASEAN hilang suara dalam memperjuangkan kepentingan maritim yang lebih besar. Memburukkan lagi keadaan, 15 September lalu, Amerika Syarikat mengumumkan kerjasama pertahanan terbaharu di Asia Pasifik yang digelar AUKUS, kerjasama pertahanan di antara tiga negara iaitu Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia. Motifnya untuk mengekang penguasaan geopolitik China terutama di Asia Pasifik dan Laut China Selatan.

Implikasi terbesar yang bakal berlaku ialah perlumbaan senjata akibat daripada pembelian kapal selam nuklear daripada Amerika Syarikat oleh Australia.

Laut China Selatan akan menjadi medan pertembungan membahayakan negara-negara di sekitarnya. Pertumbuhan ekonomi negara-negara ASEAN yang baru hendak pulih dari pandemik Covid-19 bakal terjejas kerana majoriti daripada perdagangan sama ada serantau mahupun dunia banyak bergantung kepada Laut China Selatan.

Namun yang paling mencabar dan membahayakan terutamanya buat negara-negara ASEAN adalah penubuhan AUKUS seolah-olah akan menuntut negara-negara ASEAN memihak sama ada kepada Amerika Syarikat mahupun China.

Ada pihak bertanya saya, adakah wajar pilihan raya umum ke-15 dipercepatkan. Kalau dilewatkan sehingga penggal berakhir 2023, ‘anasir asing’ akan masuk lagi? Saya tidak ada jawapan yang dapat memuaskan hati semua pencatur politik Melayu.

Yang lebih saya bimbangi – kalau kerajaan yang sepatutnya Melayu terasnya menjadi lemah, maka percayalah kerajaan tidak akan dapat membawa apa-apa pembangunan kepada mereka yang memerlukan.

Pembangunan orang Melayu berterusan adalah elemen paling utama kestabilan sosio-politik Malaysia. Dan kesefahaman serta keharmonian sebagai negara yang pelbagai etnik dan fahaman agama.

Meminjam ungkapan Snouck Hurgronje, orientalis Belanda yang tinggal di Indonesia pada akhir abad ke-19:

“Di rantau Kepulauan Melayu ini, orang Melayu-Islam sukar dirosakkan dari luar. Tetapi ia mudah dirosakkan dari dalam”.

Cakap salah, tak cakap salah, jadi semua serba salah.

Oleh: Zulkifli Jalil

No comments:

Post a Comment