Bilangan sekolah yang tidak seimbang dengan peningkatan populasi murid dan penerokaan kawasan penempatan baharu yang rancak akhirnya mengundang masalah kepada sekolah sehinggakan ada guru yang terpaksa mencari-cari bilik darjah yang kosong.
Apabila bilangan murid padat, maka berbangkit isu lain tentang disiplin dan keciciran kerana seorang guru agak sukar mengawal jumlah murid antara 40 hingga 50 orang dalam setiap kelas yang memiliki perangai beraneka ragam.
Masalah kepadatan murid lazimnya berlaku di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi terutamanya di bandar-bandar baharu yang mencatat pertumbuhan populasi penduduk begitu cepat sedangkan pada masa yang sama bilangan sekolah tidak berubah.
Lazimnya kawasan penempatan baharu akan ada tapak untuk pembinaan sekolah yang disediakan tetapi terbiar tanpa ada keputusan mengenainya. Akhirnya kawasan tersebut dipenuhi semak-samun untuk bertahun tahun lamanya tanpa ada perancangan lanjut.
Kadang-kala tertanya dalam minda penulis, setiap tahun PPD akan meminta data populasi murid sekolah untuk apa. Sepatutnya data tersebut adalah petunjuk sama ada wujud keperluan membina sekolah baharu di kawasan yang padat.
Dalam hal ini, pentadbir sekolah dan PPD memainkan peranan penting menyalurkan maklumat mengenai peningkatan populasi pelajar dan keperluan bilik darjah tambahan kepada kementerian berkenaan.
Jika mereka mempunyai kesedaran betapa pentingnya soal pendidikan, isu kepadatan murid sepatutnya sudah berada di meja mesyuarat dan bukannya memberi alasan. Ini kerana pendidikan merupakan agenda besar rakyat dan negara yang tidak boleh dikompromi.
Pendidikan yang kelak akan mengubah nasib generasi akan datang dan meletakkan hala tuju negara. Daripada mengenal huruf A, B, C dan seterusnya sehinggalah anak-anak ini ke menara gading semuanya bermula di sekolah. Di rumah mereka diberi pendedahan soal sahsiah diri.
Tidak rugi kerajaan meletakkan peruntukan yang besar terhadap pendidikan termasuk mengenal pasti daerah, mukim dan kawasan yang memerlukan sekolah-sekolah baharu asalkan murid-murid ini selesa belajar dan negara dapat melahirkan rakyat yang bijak pandai.
Pada masa yang sama, pembinaan sekolah baharu atau pertambahan bangunan di sekolah sedia ada memberi peluang kepada graduan guru di luar sana yang masih berharap dapat berkhidmat kepada anak bangsa.
Tiada yang mustahil untuk dilaksanakan kerana ia melibatkan soal kepentingan rakyat dan generasi baharu.
Dasar Pendidikan Kebangsaan cukup kompleks termasuk menamakan beberapa kategori sekolah di dalamnya. Sudah sampai masanya dasar ini menjadi rujukan dan panduan pada masa akan datang atau hendaklah disemak semula sekiranya keadaan memerlukannya berbuat demikian.
Oleh: Meor Harman Meor Shakri
Pengarang Berita Utusan Malaysia.
No comments:
Post a Comment