Thursday, December 23, 2021

Perihal Kontroversi Penyepit

WALAUPUN kiasannya tidak tepat, kontroversi mengenai penggunaan penyepit dan bukannya tangan untuk makan oleh etnik Cina, walaupun sudah sekian lama tinggal di negara ini, adalah sebenarnya persoalan tentang integrasi, yang merupakan asas penubuhan negara dan pembentukan negara bangsa kita.

Ia didapati tidak terhasil seperti yang diingini, khususnya dalam kalangan etnik Cina. Sehubungan ini, mereka ditanggap sebagai belum bersedia waima sudah lama berada di negara ini, malah ikut didakwa enggan berintegrasi seperti yang sepatutnya sebagai warganegara yang baik.

Integrasi adalah proses kemasyarakatan untuk kelompok minoriti bergaul mesra dengan kelompok majoriti bagi diserapkan ke dalam komuniti utama yang dipimpin kelompok majoriti. Ia penting agar kelompok minoriti bukan sahaja dapat diterapkan ke dalam komuniti nasional, tetapi juga dihubungkaitkan dengan kelompok majoriti selaku kelompok dominan.

Dengan kata lain, integrasi adalah proses pergaulan formal antara kelompok minoriti dengan majoriti untuk membentuk unit lebih besar lagi utuh.

Di Malaysia, ia memang formal kerana prosesnya berasaskan Perjanjian Etnik yang dipersetujui bersama antara Melayu-Cina-India, yang kini lebih dikenali secara longgarnya sebagai Kontrak Sosial.

Pada perjanjian ini, bukan sahaja persefahaman, tetapi pemeteraian sistem yang perlu dikongsi bersama-sama, disepakati sepenuhnya. Antaranya ialah penggunaan lambang dan proses sosiobudaya Melayu untuk identiti nasional negara dan identiti budaya rakyat.

Sebenarnya kiasan penyepit itu ingin menyentuh dua persoalan penting. Pertama ialah sejauh manakah etnik Cina menyanjungi selain menghormati perjanjian ini. Inilah yang sebenarnya mahu dibangkitkan setelah etnik Cina didapati tidak sudi menjalani kehidupan nasional seperti yang dipersetuju pada perjanjian itu, khususnya dalam bidang sosiobudaya.

Kedua ialah adakah etnik Cina telah berusaha dan bersungguh-sungguh pula, untuk ikut mengangkat aspirasi negara? Antaranya kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa negara, dengan betul-betul mahu mengetahuinya untuk benar-benar menguasainya.

Berkenaan dua persoalan ini, sama sekali tidak salah jika dikatakan secara umumnya etnik Cina gagal memperlihat nilai kebersamaan pada diri mereka, untuk sama-sama memenuhi aspirasi nasional yang ada pada perjanjian itu.

Sebenarnya kebersamaan ini bersifat wajib kerana ia berupa kewajipan etnik Cina melangsaikan bahagian mereka pada perjanjian itu, antaranya melalui bahasa Melayu.

Dengan kelakuan kebahasaan yang langsung tidak mahu menitikberatkan bahasa Melayu yang merupakan bahasa negara, walaupun diakui sedia menerimanya dalam peranan kenegaraan itu, etnik Cina didapati bukan ahli yang baik dalam gabungan komuniti nasional.

SERAKAH
Ini kerana integrasi adalah juga proses perkumpulan, yakni kerjasama antara semua kumpulan yang terlibat bukan sahaja penting, tetapi wajib untuk memupuk dan melestarikan hubungan yang baik.

Selain ini, integrasi juga penting untuk menggiatkan hubungan aktif antara semua kumpulan untuk membentuk satu kesatuan, bagi mengelak keadaan semua kumpulan itu hanya wujud sebelah-menyebelah tanpa bersatu pun.

Sebetulnya, integrasi bertujuan menyatukan pelbagai etnik yang tidak sama, tanpa adanya sebarang keperluan untuk setiap etnik itu meleburkan identitinya. Yang diperlukan hanyalah penyesuaian dengan etnik lain, khususnya yang majoriti.

Oleh itu, etnik Cina tidak seharusnya cuba melawan untuk menolak integrasi dengan cara, antaranya tidak mahu mengetahui untuk menguasai bahasa Melayu pada tahap integratif, iaitu untuk berintegrasi dengan etnik Melayu dalam gabungan komuniti nasional.

Malangnya, hal yang sebaliknya berlaku. Ini dapat dilihat apabila etnik Cina rata-ratanya mempelajari bahasa Melayu atas hanya orientasi instrumental, iaitu untuk memenuhi syarat penting kerana bahasa Melayu adalah mata pelajaran wajib lulus.

Oleh sebab sikap beginilah, yakni tiada usaha integratif langsung, dan yang ada pula merupakan sifat materialistik sahaja, etnik Cina ditanggapi bukan sahaja sebagai tiada perwatakan baik untuk disukai, melainkan dibenci kerana sikap buruk yang diperlihat oleh mereka sendiri.

Ia juga dipersepsikan sebagai mereka tidak ada rasa kebanggaan, kecintaan, apatah lagi kesetiaan kepada negara ini, meskipun ikut mengakuinya sebagai tanah air mereka.

Sudah tiba masanya etnik Cina berubah daripada perangai hanya mementingkan diri sendiri kepada watak bekerjasama, khususnya dengan etnik Melayu selaku kelompok majoriti dan dominan, untuk disukai.

Dalam hal ini, etnik Cina harus bekerja keras untuk menukar imej rakus bagi diri sendiri sahaja yang selama ini dikaitkan dengan mereka, kepada imej sebaliknya kini, iaitu tidak serakah lagi.

Apabila perubahan ini terjadi, akan lahirlah ikatan sosial yang sangat diperlukan untuk menjana integrasi sebagai kesatuan semua etnik, dan bukannya integrasi yang hanya terdiri daripada semua etnik, tetapi tiada kesatuan di dalamnya.

Dengan ini, integrasi di negara ini bukan lagi sekadar nama sahaja, tetapi betul-betul yang berjaya mewujudkan keadaan perpaduan dalam kalangan semua etnik, yang bukan sahaja sama-sama berkongsi kehidupan nasional yang satu, baik dari segi sosiopolitik, sosioekonomi mahupun sosiobudaya.

Tetapi lebih penting lagi ialah semua etnik sama-sama menjaga keharmonian negara agar Malaysia dapat terus maju dan berjaya.

Oleh: Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong

No comments:

Post a Comment