Naib presiden kanannya, K Koris Atan, berkata langkah tersebut sangat tidak wajar kerana orang ramai kini masih bergelut dengan masalah kewangan.
“Fomca menyifatkan ia sebagai kecurian terang-terangan oleh bank," katanya kepada Malaysiakini.
Dia ditanya mengenai langkah bank tertentu mula mengenakan caj tersebut semula berkuat kuasa 1 Februari tahun depan.
Antara bank yang telah mengesahkan caj tersebut ialah CIMB, Maybank, Bank Islam Malaysia Bhd, RHB Bank dan Citibank.
Kata Koris, pada masa ini sepatutnya pihak bank perlu menggiatkan usaha mendidik pengguna mengenai kemudahan transaksi secara dalam talian kerana ramai yang tidak tahu menggunakannya.
Menurutnya, ia penting kerana kebanyakan orang masih menggunakan kemudahan transaksi wang melalui ATM terutama dalam kalangan warga emas ataupun penduduk di kawasan luar bandar.
Tambahnya tindakan melaksanakan semula caj transaksi RM1 itu membuatkan mereka yang miskin bertambah terbeban.
Untuk rekod bank menghentikan seketika caj transaksi pengeluaran RM1 ketika negara berada dalam perintah kawalan pergerakan (PKP).
Sebelum ini, kerajaan memperkenalkan pengecualian caj pada sistem MEPS pada 6 April 2020.
Langkah itu bagi membolehkan orang ramai mengeluarkan wang tunai daripada ATM yang berkongsi sistem MEPS semasa PKP tanpa perlu dikenakan caj RM1.
Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail pula menggesa Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz mengarahkan bank-bank terbabit membatalkan rancangan berkenaan.
Menurut bekas menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna itu, keputusan berkenaan merupakan langkah yang sangat salah kerana perbankan antara sektor yang mencatatkan keuntungan meskipun sewaktu negara dilanda pandemik dan pelaksanaan PKP. - Malaysiakini
No comments:
Post a Comment