KUALA LUMPUR – Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni menghormati keputusan Mahkamah Tinggi, hari ini berhubung keabsahan sekolah vernakular dan penggunaan bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa pengantar utama di sekolah berkenaan.
Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya bersama beberapa pertubuhan lain tetap akan mengemukakan rayuan sebagai tindakan susulan terhadap keputusan itu.
Beliau berkata, apa yang lebih utama kini adalah sikap kerajaan terhadap kes tersebut.
“Satu perkara yang jelas, bola kini berada di tangan kerajaan. Kerajaanlah patut lebih serius, kerajaanlah patut berhati-hati dalam isu perpaduan.
“Kerajaan sepatutnya menggubal dasar dan akta di peringkat Perlembagaan untuk memastikan perpaduan dan integriti nasional berjalan dengan baik,” katanya kepada wartawan TV Pertiwi, di sini, hari ini.
Beliau turut menegaskan fakta bahawa negara ini sudah mengecapi kemerdekaan lebih 60 tahun.
“Jadi adalah suatu yang tidak masuk akal sekiranya kerajaan terus berbolak-balik dalam mengetatkan polisi dan dasar yang berkait dengan perpaduan. Isu bahasa, silibus pembelajaran di sekolah sebenarnya adalah satu isu yang cukup dasar.
“Perpaduan kita berpandu kepada banyak sudut. Mungkin kita boleh bersatu dalam sukan, perayaan, sambutan kemerdekaan dan seumpamanya.
“Tetapi dari segi pendidikan dasar, bermula daripada umur 7 tahun sampai ke peringkat universiti kita tak selaraskan dengan menggunakan bahasa yang sama, dan menggunakan silibus kefahaman, kurikulum yang sama,” katanya.
Ekoran itu, katanya, tindakan sebegini sebenarnya menjerumuskan negara ke dalam satu masalah yang tidak akan selesai.
“Jadi ISMA dan badan-badan lain akan terus mengemukakan rayuan. Tetapi di masa sama kerajaan sendiri perlu memainkan peranan lebih aktif dan lebih agresif dan bersungguh sungguh. Kesungguhan kerajaan itu perlu dilihat dengan jelas oleh rakyat,” katanya.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi memutuskan kewujudan dan penubuhan sekolah vernakular serta penggunaan bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa pengantar utama di sekolah berkenaan tidak bercanggah Perlembagaan Persekutuan.
Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas menolak saman oleh Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM), Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) dan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).
Dalam penghakimannya, Mohd Nazlan berkata, penubuhan dan kewujudan sekolah vernakular tidak melanggar Perkara 5 (kebebasan diri), Perkara 8 (hak kesamarataan), Perkara 10 (kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan), Perkara 11 (kebebasan beragama) dan Perkara 12 (hak berkenaan pendidikan) Perlembagaan Persekutuan. - ismaweb.net
No comments:
Post a Comment