Wednesday, December 8, 2021

Jangan Nanti Menggigit Jari

BERTOLERANSI perlu ada batas sempadannya. Bimbang nanti terpadam lenyap tapak dipijak, hilang pedoman tersesat jalan, tersasar arah kesal tak sudah.

Sekilas kata-kata ini menjurus kepada kebimbangan banyak pihak terhadap aspek memperkukuhkan elemen jati diri yang perlu dipelihara dan dijadikan panduan bagi kelangsungan hidup berlandaskan hak dan keistimewaan sebenar tanpa ada pencerobohan atau dikhianati oleh mana-mana pihak atau sesiapa.

Dikaitkan kalimat ‘bertoleransi’ sebagai suatu kebimbangan, apabila dilihat semacam ada sindrom atau kecenderungan untuk mudah ‘mengalah’ atau ‘meraikan’ sesetengah pihak atau pendesak bagi meminda dan menggubal satu-satu ketetapan. Adakala memberi kesan yang tidak disenangi bagi jangka pendek atau jangka panjang.

Ramai misalnya, yang masih bertanya-tanya atau berasa terkilan dengan penghapusan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Umum berpendapat, ISA tetap merupakan suatu elemen perundangan yang tegas dan sesuai bagi membendung sebarang hal berkaitan sensitiviti perkauman dan keagamaan dari merebak.

Selain itu, berupaya membanteras aktiviti-aktiviti berbaur ancaman terhadap keselamatan masyarakat dan negara dengan cepat serta berkesan. Peraturan menggantikan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) itu sebenarnya mengikut rentak siapa?

Ada juga rungutan kenapa kawasan-kawasan tanah strategik kerajaan boleh dibina institusi-institusi tertentu atau diusahakan dengan bercucuk tanam seolah-olah secara sewenang-wenangnya tanpa kebenaran atau di luar kawalan pihak-pihak berkuasa?

Ketetapan pengundi 18 tahun (Undi18), di mana anak-anak muda seawal usia berkenaan akan secara automatik layak mengundi mulai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) masih menjadi kebimbangan dalam kalangan sesetengah pihak.

Persoalan timbul, apakah anak-anak muda Melayu khususnya, sudah benar-benar bersedia atau diberi kesedaran sewajarnya demi pentingnya menunaikan hak memilih pada PRU15 nanti?

Sebarang tuntutan dan desakan pihak tertentu dalam hal-hal membabitkan usaha memberi kefahaman tentang latar belakang sejarah tanah air dan asal usul bangsa berpandukan Perlembagaan Persekutuan dan perundangan negara tidak sepatutnya terhalang oleh mana-mana rungutan dan desakan. Jangan nanti, hak dan keistimewaan tergadai pergi, tinggal kesal menggigit jari!

Apa salahnya bagi mana-mana guru ‘berleter’ atau menasihati murid-murid tentang hal-hal kebaikan, termasuk hal ehwal kenegaraan?

Rakyat Malaysia perlu dikekalkan dengan cara hidup mengikut acuan tersendiri. Percayalah! Apa yang terbukti, berpegang kepada prinsip-prinsip asas yang sedia ada serta bersandarkan kepada Perlembagaan Persekutuan sejak sekian lama, Malaysia kekal stabil, makmur, progresif. Justeru, hakikat ini tidak perlu diungkit dan diperbahaskan lagi.

ISLAM
Dilihat lebih jauh, ramai yang tertanya-tanya tentang ke mana hilangnya Biro Tata Negara (BTN)? Ke mana perginya Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa)?

Ditanya bukan kerana namanya, tetapi kerana peranan berkesan agensi-agensi itu membekalkan kesedaran generasi muda Melayu tentang jati diri mereka, tentang siapa mereka? Apa hak dan keistimewaan mereka yang sepatutnya mereka miliki di bumi bertuah ini?

Malang, jika BTN dan Jasa lenyap kerana sentimen politik. Atau apakah penghapusan agensi-agensi ini atas desakan mana-mana pihak? Tetapi kenapa?

Sebelum ini pun, memang ada desas-desus pihak-pihak tertentu tidak senang wujudnya BTN dan Jasa. Sehingga, ada juga tergamak mempersoalkan apa rasionalnya diwujudkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)?

Turut tidak lagi beroperasi ialah Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Tidak diketahui, atas rasional apa program bagi memberi latihan kendiri dan pemupukan semangat kenegaraan kepada anak-anak muda itu dihentikan.

Tidak cukup dengan itu, ada suara yang mengesyorkan agar penyampaian khutbah Jumaat tidak disiarkan secara langsung melalui radio atau televisyen.

Dan dikatakan bahawa di semua peringkat institusi-institusi pendidikan sudah lama tidak lagi kedengaran tentang subjek ketatanegaraan.

Pun kedengaran pengesyoran supaya mata pelajaran Pendidikan Islam tidak diajar di sekolah-sekolah secara formal?

Baguslah, jika sudah ada entiti baharu menggantikan BTN, Jasa dan PLKN. Di sekolah-sekolah khabarnya Sejarah dijadikan mata pelajaran wajib.

Persoalan penting, sejauh mana semua agensi dan pendekatan itu benar-benar dapat menepati keperluan membekalkan kesedaran tentang jati diri terhadap anak-anak muda khususnya Melayu.

Bahawa memahami aspek kenegaraan suatu keperluan. Bukan saja untuk orang muda, malah untuk golongan dewasa.

Aspek kenegaraan merangkumi menyedarkan semua tentang hak, menelusuri tapak dan asas, memahami sistem nilai dan peradaban, bahasa dan budaya serta tanggungjawab terhadap diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Agar masing-masing dapat menempatkan diri pada situasi yang selesa, harmoni tanpa ragu dan berunsur prejudis.

Rujukan yang paling baik ialah Rukun Negara. Lima prinsip di dalamnya jika benar-benar dihayati bersama roh kesedaran mendalam tentu akan dapat memandu ke arah kehidupan yang lengkap, damai dan sejahtera. Jadi, hormatilah Rukun Negara!

Jangan remehkan benih yang kecil, tetapi bajailah agar benih itu bakal menegakkan sepohon pohonan rimbun yang mampu dijadikan teduhan ramai selain buahnya lebat enak manis dinikmati bersama.

Oleh: DATUK Sayuti Mukhtar
Penganalisis sosiopolitik tanah air.

No comments:

Post a Comment