Hapuskan Sekolah Cina Lebih Penting Dari Hapuskan Gerakan Komunis, Bagi Lee Kuan Yew
KUALA LUMPUR – Profesor Ridhuan Tee Abdullah dalam hantaran Facebook beliau telah menempelak kerajaan yang dilihat masih berlembut dengan isu sekolah vernakular berbanding kerajaan Singapura yang dilihat begitu tegas menghapuskan sekolah Cina di negara republik tersebut.
“Jangan pergi jauh, jeling sahaja negara Singapura. Singapura sangat tegas dalam soal pendidikan, tidak ada kompromi, meskipun ia sebuah negara majoriti Cina, setelah berpisah dengan Malaysia pada tahun 1965,” ujar beliau.
Prof Ridhuan seterusnya memetik Anuar Ahmad (2021) yang menyatakan Lee Kuan Yew telah menulis dalam memoirnya bahawa menghapuskan sekolah Cina jauh lebih penting daripada menghapuskan gerakan komunis itu sendiri.
Menurut petikan itu lagi, ada tiga sebab mengapa Lee Kuan Yew berbuat demikian meskipun beliau berbangsa Cina.
Pertama, Lee Kuan Yew mahu membangunkan seluruh warganegara Singapura yang ada kebersamaan untuk cintakan tanahair Singapura sepenuhnya.
“Pada LKY, sekolah satu aliran dengan pelbagai bahasa adalah asas kepada membina kebersamaan tersebut.”
Sambungnya lagi, “Kedua, sekolah Cina ketika itu sukar dikawal kerana sentiasa terdedah kepada bahan bacaan propaganda komunis.”
Oleh yang demikian menurut petikan tersebut, dengan menjadikan semua sekolah dalam satu aliran pendidikan, anasir komunis dapat dibendung dari peringkat awal lagi.
Kemudian beliau menambah, sebab yang ketiga adalah Lee Kuan Yew menekankan kepentingan pembelajaran Bahasa Inggeris bagi memajukan pendidikan rakyatnya kerana ia adalah satu-satunya sumber yang Singapura ada.
Prof Ridhuan Tee turut menyimpulkan bahawa Lee Kuan Yew berpendapat ancaman sistem pendidikan berasaskan kaum adalah jauh lebih berbahaya berbanding ancaman komunis kerana sekolah merupakan punca bermaharajalelanya pengaruh komunis.
Bagi menguatkan hujahnya, beliau menyatakan bahawa contoh oleh Lee Kuan Yew ini adalah sifat negarawan sebenar yang tahu punca sesuatu masalah dan tegas serta berani dalam membuat keputusan dan tidak tunduk kepada tuntutan serta desakan politik.
Kemudian, Prof Ridhuan bertanyakan soalan berikut pula, “Kita pula bagaimana? Sedar atau tidak bahawa ideologi komunis masih lagi mengalir dalam institusi Pendidikan berasaskan kaum ini? Buatlah kajian jika tidak percaya. Apakah ideologi komunis terus subur dan hidup?” - www.samudera.my
No comments:
Post a Comment