Wednesday, December 8, 2021

Kembalikan GST Untuk Jana Pendapatan Negara

RAMAI mempertikaikan cukai barang dan perkhidmatan (GST) menjadi punca kenaikan harga barangan sekali gus memberi bebanan kepada rakyat. Ada yang ingin mencadangkan agar semua barangan keperluan makanan dan asas dikecualikan daripada cukai GST. Kaedah ini telah digunakan semasa pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Cuma bagi meningkatkan pendapatan negara secara adil adalah memperkenalkan cukai keuntungan modal dan cukai harta warisan sebagai alternatif tambahan kepada GST. Cukai keuntungan modal adalah cukai yang dikenakan ke atas setiap elaun modal perbelanjaan dalam perniagaan tersebut. Cukai sebegini sudah dilaksanakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Bagi perniagaan enterprise dan perkongsian, keuntungan perniagaan akan dikira sebagai pendapatan individu. Jadi, kadar cukainya adalah berdasarkan kadar cukai individu. Tidak seperti syarikat Sendiran Berhad (Sdn. Bhd.), yang cukainya ditanggung oleh syarikat bukan individu dan kadarnya berdasarkan cukai syarikat.

Cara pengiraan cukai untuk enterprise bagi menghasilkan pendapatan bercukai adalah sama dengan syarikat Sdn. Bhd. Maka keuntungan atau kerugian perniagaan seperti dalam akaun akan dilaras semula berdasarkan kepada pengiraan cukai bagi menghasilkan pendapatan bercukai. Kemudian pendapatan bercukai ini akan dicampur pendapatan lain sekiranya ada dan barulah ditolak dengan pelepasan-pelepasan yang diberikan seperti pelepasan cukai individu. Ringkasnya apabila telah mendapat jumlah pendapatan bercukai tadi, barulah dikira seperti secara pengiraan cukai individu.

Cukai harta warisan adalah pengenaan bercukai ke atas harta yang diwarisi kepada individu. Dalam hal ini, LHDN sudah pun mengenakan cukai tersebut yang dikenali sebagai cukai pendapatan harta pusaka. Kedua-dua jenis cukai ini tidak memberikan impak besar ke atas pendapatan negara. Malah, LHDN turut mengenakan cukai ke atas dividen pemegang saham bagi syarikat yang mendapat keuntungan dalam pelaburan saham. Tetapi dengan situasi secara teknikalnya kita berada dalam kemelesetan ekonomi disebabkan impak pertumbuhan ekonomi negatif pada tahun 2020. Maka kaedah ini mengambil masa untuk memberikan pulangan ke atas pendapatan negara.

Masih tidak mencukupi untuk menanggung perbelanjaan pembangunan rakyat. Pemberian subsidi kerajaan ke atas rakyat bukan sahaja meliputi bantuan kebajikan rakyat seperti Bantuan Keluarga Malaysia (BKM), bantuan kepada asnaf melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan lain-lain.

Pembangunan rakyat termasuk juga barangan keperluan rakyat. Ada yang memperkatakan kerajaan tidak berusaha untuk menjana ekonomi negara. Dari segi penjanaan pendapatan melalui ekonomi pada hari ini tidak sama seperti tahun 90-an. Ini disebabkan ekonomi hari ini adalah ekonomi 4.0 iaitu revolusi ekonomi digital yang bergantung kepada inovasi dan pemasaran barangan dalam alam maya. Usaha ini masih dalam proses untuk menstabilkan bagi kewujudan platform perniagaan digital negara.

Perkembangan perhubungan manusia melalui teknologi android dan internet mampu mengembangkan ekonomi sesebuah negara tanpa adanya sentuhan atau kedai fizikal. Di sini, sesebuah syarikat tidak perlu ada (jasad) fizikal atau pekerja yang ramai. Ini menyebabkan ekonomi yang bergantung kepada barangan nyata tidak mampu bersaing dengan barangan alam maya. Maka dengan demikian sistem francais dan pemasaran tradisional akan ketinggalan tanpa melibatkan alam maya. Mahu tidak mahu, sektor perindustrian di negara ini terpaksa direvolusikan jika ingin memberikan pulangan pendapatan kepada negara.

Perindustrian di negara ini masih bergantung kepada kos buruh yang mana ini perlu juga berubah. Pelaksanaan gaji minimum RM1,200 sebenarnya turut mempengaruhi peningkatan kos buruh. Tetapi gaji minimum ini masih tidak mencukupi dengan kenaikan harga barangan. Maka, sebarang kenaikan kos buruh akan menyebabkan kos tersebut semakin mahal berbanding negara-negara lain di Asia Tenggara yang lebih murah. Akibatnya sektor perindustrian di negara ini kurang mendapat perhatian kecuali yang melibatkan kepakaran khusus teknologi seperti aeroangkasa, kejuruteraan dan perkhidmatan kepakaran.

SEKTOR PERTANIAN
Jika dilihat sektor pertanian dan perladangan di negara ini turut kurang memberikan impak besar kepada pendapatan negara. Ini disebabkan majoriti pengusaha memiliki keluasan tanah yang terhad untuk dikembangkan menjadi perindustrian perladangan dengan kos upah buruh yang minimum. Sekuriti makanan perlu diperkasakan selari dengan perubahan zaman, Dasar Pertanian Negara Fasa Ketiga perlu dirumuskan semula dengan mengambil kira perkembangan teknologi pada hari ini. Walaupun subsidi pertanian masih diberikan kepada sektor tersebut tetapi kurang berkesan dalam mengekang kenaikan kos input pertanian. Situasi ini menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung sesetengah sektor pertanian dan perladangan bagi menampung permintaan makanan di negara ini.

Pengenaan GST adalah yang paling baik pada masa ini kerana pergantungan pendapatan daripada sektor minyak dan gas tidak menjamin masa depan pendapatan negara. Kenaikan harga barangan sebenarnya kurang terikat dengan tindakan kerajaan mengenakan cukai GST. Harga barangan ditentukan dalam pasaran permintaan dan penawaran. Walaupun harga bahan api (petrol dan diesel) turun diikuti dengan pertukaran wang ringgit Malaysia yang semakin kukuh turut tidak dapat mempengaruhi penurunan harga barangan.

Pengeluar barangan dan pengedar sehinggalah kepada peruncitlah yang memainkan permainan harga barangan. Walaupun diletakkan dalam siling harga, masih ada yang tidak mematuhi harga tersebut dengan alasan penawaran terhad dan permintaan tinggi. Kemungkinan ini berlaku kerana kurang pemantauan dan kawalan dari peringkat pengeluaran sehingga ke peringkat runcit di bandar mahupun pendalaman. Ini sebenarnya memerlukan tambahan anggota dan pejabat bagi setiap daerah dan bandar bagi memastikan tiada siapa yang mengambil kesempatan di atas kesusahan rakyat. Ekonomi pasaran bebas dalam menentukan harga barangan di negara ini memerlukan kerjasama pengguna dan bukannya kerajaan. Mahu tidak mahu kerajaan memerlukan cukai GST ini dalam menjana pendapatan negara bagi menggantikan sistem cukai atas barangan dan perkhidmatan yang lebih tinggi.

Oleh: DR. Iskandar Hasan Tan Abdullah
Pensyarah Kanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan

No comments:

Post a Comment