Thursday, December 9, 2021

Hormatilah Keputusan Mahkamah

SEMUA pihak harus menerima dan menghormati keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah di negara ini. Sudah pasti segala keputusan yang dibuat adalah berdasarkan peruntukan undang-undang dan proses atau prosedur yang telah lama wujud dalam negara kita yang dirangka berpandukan Perlembagaan Persekutuan.

Ini susulan keputusan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang bersetuju dengan sabitan hakim perbicaraan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atas kesalahan menyalahgunakan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd. Pada tahun lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan Najib didapati bersalah atas tujuh pertuduhan meliputi salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kesemua pertuduhan tersebut selepas selesai membaca penghakimannya selama dua jam. Pertuduhan dibuat di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, Kanun Keseksaan serta Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan ini dan Mahkamah Tinggi pada tahun lalu menerima reaksi pelbagai pihak, baik dari dalam mahupun luar negara kerana kes terbabit melibatkan seorang individu penting dalam negara kita. Apa-apa juga reaksi yang diberikan adalah penting bagi semua pihak untuk bertenang serta menghormati keputusan yang dibuat oleh mahkamah bagi terus menjamin kestabilan serta keyakinan masyarakat terhadap institusi undang-undang serta kehakiman negara.

Sudah pasti sebarang keputusan oleh mahkamah dibuat berdasarkan bukti-bukti serta keterangan yang diberikan sepanjang tempoh perbicaraan berlangsung. Ini juga disokong dengan segala penghujahan dilakukan oleh pihak guaman yang pakar dengan bidang masing-masing dalam sesuatu kes perbicaraan.

STANDARD
Kanun Tatacara Jenayah atau Kanun Prosedur Jenayah atau lebih dikenali sebagai Akta 593 adalah suatu peruntukan perundangan yang menjadi panduan utama terutamanya dalam kes-kes jenayah di negara kita untuk membawa pesalah ke muka pengadilan. Prosedur perundangan jenayah akan bermula daripada pelaporan sesuatu kejadian jenayah kepada pihak polis, penyiasatan dan proses perbicaraan di mahkamah sehingga pelaku jenayah dihukum dengan setimpalnya di atas perbuatan mereka.

Walaupun jumlah kes dihadapkan ke mahkamah semakin hari semakin meningkat, namun bukan kesemuanya akan berakhir dengan sabitan. Tertuduh mungkin akan disabitkan dengan kesalahan dan menerima hukuman yang telah ditetapkan oleh undang-undang dalam negara kita.

Terdapat juga kes di mana tertuduh akan dilepaskan kerana tidak terdapat bukti-bukti yang cukup, relevan serta menyakinkan bagi mencapai standard atau tahap pembuktian yang diperlukan dalam sesebuah kes. Dari segi undang-undang, hanya terdapat dua standard atau tahap pembuktian, iaitu melampaui keraguan munasabah untuk kes-kes jenayah, manakala ia melampaui imbangan kebarangkalian untuk kes-kes sivil.

Sekiranya pihak yang didapati bersalah tidak berpuas hati terhadap keputusan yang ditetapkan, undang-undang negara kita juga membenarkan mereka membuat proses rayuan di peringkat mahkamah yang seterusnya. Di negara kita, mana-mana pihak yang ingin mengemukakan rayuan, boleh ke Mahkamah Rayuan sampai ke Mahkamah Persekutuan, iaitu mahkamah tertinggi sekali dalam negara kita.

DEMOKRASI
Institusi kehakiman merupakan salah satu institusi penting dalam sesebuah negara yang mengamalkan prinsip demokrasi termasuklah Malaysia. Fungsi mahkamah adalah bagi menegakkan keadilan untuk semua pihak.

Bagi memastikan sistem kehakiman berjalan dengan baik, institusi mahkamah akan memastikan proses keadilan berjalan dengan saksama berlandaskan undang-undang sedia wujud dalam negara kita tanpa mengira siapa juga yang diadili. Ini penting untuk memastikan kepercayaan orang ramai terhadap kewibawaan mahkamah di negara kita sentiasa dipertahankan.

Di mana-mana negara yang bertamadun dan mengamalkan sistem demokrasi, semua pihak akan sentiasa mengharapkan mahkamah melaksanakan tanggungjawabnya secara bebas dan berkecuali serta yang paling penting, tanpa berasa bimbang. Oleh yang demikian, adalah penting untuk semua pihak memberi kepercayaan serta sokongan penuh kepada institusi kehakiman dan paling utama, menghormati institusi kehakiman itu sendiri.

Sebarang ketidakpuasaan terhadap sesuatu keputusan atau perkara bolehlah disalurkan melalui proses serta peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan di negara kita berdasarkan prinsip-prinsip perlembagaan yang diikuti semenjak negara kita merdeka pada 1957. Adalah tidak wajar sekiranya sebarang ketidakpuasan terhadap keputusan mahkamah ini diluahkan dengan cara yang tidak sepatutnya kerana dibimbangi boleh menggugat kepercayaan orang ramai terhadap sistem keadilan dan institusi kehakiman.

Adalah penting supaya sistem keadilan dan institusi kehakiman negara kita dipertahankan dan dihormati pada setiap masa.

PROFESOR Madya Dr. Muzaffar Syah Mallow
Pensyarah Kanan di Fakulti Syariah & Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

No comments:

Post a Comment