Video air naik, jalan dan rumah tenggelam, ribuan pemandu dan penumpang tersekat di lebuh raya dan ramai yang tidur di dalam kereta, air sungai melimpah, dan penduduk terperangkap di rumah masing-masing.
Kebanyakan sungai di Lembah Klang terus tidak surut ketika Minda Pengarang ini ditulis. Beberapa lebuh raya masih terus tidak boleh dilalui.
Penduduk di kawasan rendah terus tidak tidur lena. Kerajaan membantu dengan mengarahkan semua aset tetapi ramai tidak tidur lena. Ada yang sibuk mengalihkan kereta ke kawasan tinggi maka rakyat yang prihatin membantu seboleh mungkin.
Berbanding di Pantai Timur yang sentiasa bersedia menghadapi ujian alam ini, penduduk dan pihak berkuasa Lembah Klang jelas tidak bersedia. Ada mengatakan bahawa ia kerana jumlah hujan yang tinggi yang tidak dijangka atau air pasang laut. Setiap kali berlaku banjir, hujan luar biasa tinggi menjadi alasan.
Memang manusia tidak mampu mengalahkan kekuatan alam. Kuasa alam lebih kuat daripada teknologi. Tetapi cuba beri alasan sama kepada mangsa yang kehilangan semuanya. Secara keseluruhan banjir di Lembah Klang telah menyebabkan kerugian bernilai ratusan jutaan ringgit.
Memang hujan tidak dapat dielak tetapi apa yang nyata kegagalan manusia memburukkan kejadian banjir ini. Kenapa tiada amaran awal bahawa jumlah hujan “luar biasa” akan dialami di kawasan terbabit?
Bukankah ada banyak aplikasi menunjukkan pergerakan awan dan hujan, kenapa tiada usaha memberi amaran awal?
Kedua paling nyata sistem pengairan dan perparitan di Lembah Klang. Pembangunan di Lembah Klang menyebabkan ada lapan juta penduduk menjadikannya rumah mereka.
Apa yang nyata kelemahan sistem sungai di Lembah Klang. Daerah Klang terjejas teruk selepas Sungai Binjai, Sungai Klang, dan Sungai Rasau melimpah. Sungai Bernam di Hulu Selangor, Sungai Langat, Kuala Langat; Sungai Selangor, dan Sungai Buloh, Kuala Selangor; Sungai Klang, Sungai Damansara, Sungai Semenyih, Sungai Jijan, dan Sungai Kuang semua memecah tebing.
Mungkin ramai lupa kejadian banjir berpunca dari Sungai Damansara dengan lebih 9,000 orang dipindahkan pada 26 Februari 2006. Penduduk yang trauma kemudian berpindah ke tempat lain. Tiada siapa inginkan kawasan itu sehingga nilai hartanah di kawasan itu merudum. Perkara sama akan berlaku.
Sememangnya banjir adalah kuasa alam. Tetapi apa yang perlu kita tanya berapa kali semua sungai ini didalamkan atau dibesarkan.
Berapa kali operasi meningkatkan kedalaman sungai dilakukan sejak dua dekad lalu di semua sungai. Pergerakan air membawa mendapan. Ia mengurangkan kedalaman sungai sekali gus mengurang keupayaan menampung air. Tiba masanya pihak berkuasa memberi tumpuan memperbaiki semua sungai di Lembah Klang atau membina sistem tadahan sementara.
Kajian harus dilakukan untuk mengetahui keupayaan sebenar setiap sungai menampung jumlah air supaya malapetaka sama dapat dikurangkan. Ini Lembah Klang yang menyumbang kira-kira 60 peratus kepada ekonomi negara. Air hujan luar biasa mungkin menyebabkan banjir. Mungkin bukan kebijaksanaan luar biasa diperlukan bagi mengurangkan kesan banjir.
Oleh: Mohamad Azlan Jaafar
No comments:
Post a Comment