Saturday, December 18, 2021

Benarkah Rakyat Singapura Lebih Kaya Berbanding Rakyat Malaysia Bila Bersara?

Umum tahu bahawa Singapura melangkau jauh meninggalkan Malaysia dalam banyak bidang. Tidak kira ekonomi mahupun teknologi, jiran kita adalah Singa yang memimpin Asia Tenggara.

Sedang rakyat Malaysia sedang berjuang untuk menaikkan gaji minimum ke tahap yang lebih tinggi, Singapura sudah lebih dahulu buat dan rakyat mereka bakal menikmati S$1,500 atau RM4,500 sebulan.

Terbaharu, melalui nukilan saudara Radzi Tajuddin pengasas Hi Home dan bekas ahli lembaga pengarah Perbadanan Stadium Malaysia, beliau berkata Malaysia sebenarnya jauh ketinggalan bukan sahaja bab gaji, tetapi juga simpanan pada hari tua.

Menurutnya, simpanan rakyat Malaysia dan Singapura menjelang umur persaraan ketinggalan jauh disebabkan beberapa faktor antaranya adalah disebabkan kadar gaji, sumbangan KWSP dan CPF serta sistem yang diguna pakai.

Berikut adalah tulisan saudara Radzi Tajuddin.

Bercakap soal persaraan
Aku terbaca artikel menarik dari The Edge. Asasnya tentang perbandingan dana persaraan rakyat Malaysia (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja – KWSP) dengan warga Singapura (Central Provident Fund – CPF).

Kalau tengok data yang dikongsi oleh Hi WEALTH, kita memang ketinggalan jauh kalau nak dibandingkan dengan Singapura.

Paling mudah, kita ambik contoh umur 55 tahun umur bersara. Umur 55 tahun, median simpanan KWSP rakyat Malaysia adalah kurang dari RM40,000.

Pada umur yang sama, median simpanan persaraan warga Singapura adalah sekitar S$230,000. Itu dalam SGD (S$), bukan Ringgit Malaysia (RM). Nak nilai RM, kalilah dengan 3.

S$230,000 kalau ditukar ke RM dah jadi dekat RM700,000.

Kena faham yang pada umur tersebut, kebanyakan warga Singapura dah ada rumah sendiri.

Paling kurang pun, mereka dan ada sebuah apartment HBD.

Kenapa median CPF lebih tinggi berbanding EPF?
Ada yang tanya, macam mana median CPF lebih tinggi berbanding EPF? Macam tidak masuk akal.

Pertama, dari segi matematiknya, gaji di Singapura lebih mahal.

Ogos lepas, Singapura dah semak semula yang kadar gaji minimum yang ditetapkan adalah S$1,500 (RM4,500).

Memang tak boleh nak bandingkan sebab gaji minimum di Malaysia dalam Ringgit hanyalah RM1,200

Kedua sebab sumbangan CPF mereka tinggi – sekitar 37% (17% dari employer + 20% dari pekerja sendiri).

Sebagai perbandingan, Malaysia punya EPF lagi rendah, 21% sahaja dari jumlah gaji pokok (12% dari employer + 9% dari pekerja sendiri).

Kalau kita rasa potongan KWSP banyak, cuba bayangkan macam mana warga Singapura rasa bila tengok slip gaji, mesti sakit.

Ketiga, sistem CPF adalah lebih kompleks dan fleksibel berbanding EPF.

Tidak seperti akaun EPF kita yang ada Akaun 1 dan Akaun 2, CPF lebih kompleks sebab ada 3 + 1 akaun berbeza.

Untuk CPF, mereka ada 3 akaun asas; Ordinary Account (dana persaraan, beli rumah, insurans dan pelaburan), MediSave Account (kesihatan), Special Account (untuk hari tua dan pelaburan kewangan).

Kalau dah cecah umur 55 tahun, akaun Retirement Account (bayaran pencen bulanan) akan dibuka.

Jadi kalau tengok, selain dapat dividen CPF sekitar 5-6% setahun, warga Singapura sebenarnya dibenarkan menggunakan simpanan hari tua mereka untuk pelaburan.

Dalam erti kata lain, mereka bukan sekadar menyimpan, tapi duit simpanan itu juga ‘bekerja’ untuk jana lebih banyak duit.

Apabila kita gabungkan semua faktor ini, memang tidak pelik kenapa jumlah simpanan persaraan rakyat Malaysia akan lebih rendah – lagi-lagi bagi yang terpaksa keluarkan i-Sinar, i-Lestari dan i-Citra.

Cukuplah kita kalah banyak benda dengan Singapura, takkan bab bersara pun kita kalah jugak?

Kita taknak lagi 20-30 tahun, M40 yang ada hari ni akan menjadi warga tua yang miskin sebab dana persaraan tak cukup. Something needs to be done. - www.thevocket.com

P/S: Baru-baru ini, Singapura dinobatkan sebagai bandar kedua paling mahal untuk tinggal di dunia, selepas Tel Aviv. Bab tu kita biar Singapura sahaja yang lawan dengan Israel untuk tempat teratas.

No comments:

Post a Comment