“Ayam dah naik harga. Tak tahu ke? Tak tengok TV?” Jawab penjual tersebut acuh tak acuh tanpa memandang muka pelanggan berkenaan.
Kelat muka mak cik itu. Orang kata pagi-pagi jangan cari pasal, nanti rosak mood membawa ke malam.
Perut saya sudah berbunyi. Tengah beratur panjang, serabut pula hendak fikir pasal harga. Saya capai ayam goreng tersebut dan membiarkan pelanggan di depan saya itu bising-bising. Tetapi pelanggan yang mengomel itu beli juga. Dalam sibuk komplen harga ayam goreng itu mahal, lapan nasi lemak ayam dia minta bungkus. Jenuh juga saya tunggu giliran. Iyalah, ikan siakap yang harga lebih RM1,000 pun orang beli.
Itu senario pada satu pagi baru-baru ini di Shah Alam. Sekarang ini ramai yang mula bertanyakan harga ketika mahu membeli. Takut bila dah bungkus, terkejut pula dengar harga. Lepas itu ditularkan pula dalam media sosial.
Apa saja yang barang yang tak naik harga sekarang? Apa yang turun? Hujan sajalah.Satu persatu barang naik harga dan kebanyakan kita yang baru hendak bangkit semula akibat kesukaran bekerja dan meniaga semasa PKP kini terpaksa menjadi saksi kepada ‘pesta naik harga’ pula.
Dan baru-baru ini seorang Timbalan Menteri berkata, kenaikan harga barang di negara ini tidaklah seteruk negara lain dan pada ketika ini seluruh dunia mengalami kenaikan harga barang. Dibanding-bandingkan pula dengan negara-negara Arab yang mengalami kenaikan tiga kali ganda.
Apa bendanya ini? Biarlah rakyat negara sana merungut hal negara mereka, kita yang di Malaysia ini tinggal dan cari makan di sini, selesaikanlah hal di sini. Perlu diingat, negara-negara Arab rakyatnya berpendapatan tinggi. Arab Saudi, Kuwait, UAE dan Qatar adalah antara negara yang menawarkan gaji paling tinggi dalam Asia selain Singapura, Jepun dan Korea Selatan.
Gaji minimum penduduk di negara berkenaan bukannya berjumlah RM1,200. Bukan mahu perlekeh negara sendiri, tapi bab gaji tak mahu pula buat perbandingan dengan negara lain. Hakikatnya memberi kenyataan sebegini tidak akan memberi apa-apa makna kepada rakyat apatah lagi kelegaan sebaliknya hanya akan membangkitkan kemarahan orang ramai.
Isu kenaikan harga barang harus ditangani segera dengan tindakan bukan sekadar cakap-cakap atau menggunakan alasan global. Kenaikan harga barang berlaku di seluruh dunia kerana kesan penularan pandemik Covid-19. Tapi janganlah beri alasan itu sebagai penyelamat.
Kenaikan harga barang adalah seperti penyakit berjangkit. Jika sesuatu barang harganya naik, ia akan mengakibatkan rantaian barangan berkaitan pun terjejas yang akhirnya membabitkan semua barangan asas dan keperluan. Menyalahkan peniaga? Janganlah hanya menggempur peniaga-peniaga kecil saja. Siapa yang memanupulasi harga? Cari di mana punca kenaikan bukan menindas peniaga kecil.
Dan orang ramai juga sedang menanti keberkesanan 41 inisiatif dengan peruntukan RM14.32 bilion dalam Bajet 2022 dalam usaha kerajaan mengawal kenaikan harga barang dan kos sara hidup rakyat yang dipantau oleh Majlis Tindakan Sara Hidup Negara.
Majlis yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sendiri itu mempunyai lima program antaranya Program Mekanisme Kawalan Harga Minyak Masak dan Program Jualan Keluarga Malaysia. Ada yang bertanya, jualan dua kali sebulan ini adakah ia diadakan di lokasi berdekatan dengan golongan berpendapatan rendah dan sederhana? Senangkah hendak cari?
Apa pun, yang pasti rakyat menunggu langkah-langkah lain untuk mengurangkan beban kos sara hidup mereka. Tingkatkan gaji minimum contohnya. Iyalah, barang-barang keperluan cepat saja naik, yang tak naik-naik dan lambat naik gajilah.
Dan dalam keadaan begini ada yang mengintai peluang, mempengaruhi orang ramai dalam media sosial kononnya kena ada dua kerja atau side income dengan menyertai multi level marketing (MLM) dan pelaburan ala skim cepat kaya. Yang ini kalau lalu lalang dalam akaun media sosial, soalan yang kita patut tanya, Ferrari itu pinjam dekat mana?
PENULIS ialah Pengarang Berita Mingguan Malaysia.
No comments:
Post a Comment