PUTRAJAYA: Selepas hampir 10 tahun tragedi berdarah berlalu, Tentera Diraja Sulu (RSA) dilaporkan bakal bersedia menawan semula seluruh Sabah pada Februari tahun depan.
Menurut laporan satu portal tempatan yang memetik sumber media berwibawa Hong Kong, China, seramai 600 anggota puak pemisah dari selatan negara jiran akan menyerang Sabah.
Ketumbukan pemberontak hampir satu batalion itu dicapai menerusi operasi khas yang telah dirancang setelah beberapa siri pertemuan rahsia melibatkan 19 datuk bandar di Filipina.
“Bagaimanapun hanya seramai 11 datuk bandar dari wilayah selatan negara itu yang sudah pun bersetuju untuk merekrut paling kurang 600 anggota bersenjata,” kata portal berkenaan.
Ia turut memetik sumber akhbar tersebut yang mendakwa segala isu kos peluru dan urusan logistik sebanyak 504,000 peso (kira-kira RM41,170) ditanggung pegawai tinggi kerajaannya.
Berdasarkan laporan itu, kumpulan perancang mengarahkan sekurang-kurangnya 200 orang perisik RSA untuk menyusup masuk ke pelbagai kawasan di Sabah beberapa bulan lalu.
Sumber media berkenaan turut tidak menolak kebarangkalian kewujudan ejen pengintip asing yang sudah lama bertapak di Sabah dengan mahir menyamar sebagai penduduk tempatan.
“Dua bandar besar pesisir di Bahagian Tawau negeri tersebut iaitu Lahad Datu dan Semporna menjadi sasaran utama misi pencerobohan besar-besaran oleh pihak RSA kali ini,” katanya.
Mereka dipercayai akan melancarkan serangan balas dendam pada sekitar Februari depan sempena bagi memperingati peristiwa penaklukan berdarah di situ pada 11 Februari 2013,
Tambah sumber itu, kesemua anggota RSF yang terlibat dalam operasi kali ini bakal lengkap dibekalkan senjata api terbaik ketika memasuki perairan Sabah secara senyap tanpa dikesan.
Bekalan senjata turut ditanam di sekitar kawasan yang telah dikenal pasti untuk digunakan askar berkenaan sebelum melancarkan serangan ke atas pasukan keselamatan Malaysia.
Apa yang lebih mengejutkan, kerajaan Filipina tidak menyedari bahawa sekurang-kurangnya 30 anggota tentera negara tersebut sendiri turut sudah menyertai pergerakan haram RSA itu.
Ia diakui Pengerusi Institut Kajian Keamanan, Keganasan dan Pengganas Filipina, Rommel Banloi, yang juga profesor pakar sains politik antarabangsa terkenal di negara berkenaan.
Insiden di Sabah kira-kira sembilan tahun lalu menyaksikan kerajaan Malaysia melancarkan Operasi Daulat yang berakhir pada 24 Mac 2013 dengan 68 pemberontak RSA telah dibunuh.
Seramai 149 lagi anggota kumpulan itu ditawan manakala 10 anggota keselamatan negara ini maut selain 12 lagi cedera dengan sejumlah enam orang awam turut menjadi korban. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment