PERNAH dikisahkan di suatu negeri terdapat sekumpulan orang buta.
Mereka mendengar berita satu rombongan sarkas datang ke tempat mereka membawa bersama seekor binatang ajaib bernama gajah.
Naluri ingin tahu mereka melonjak kerana yakin masih boleh mengenali binatang itu dengan cara meraba. Lalu kata sepakat diambil menghantar wakil-wakil ke sana.
Apabila pulang, enam orang buta memberi deskripsi rupa bentuk seekor gajah. Ada yang memegang ekor, dikatakannya tali. Ada yang memegang kaki, dikatakannya tiang. Ada yang memegang telinga, dipanggilnya kipas. Yang memegang badan, disamakan pula dengan dinding.
Yang memegang belalai, disamakan dengan ular. Dan yang memegang gading, disamakan dengan tombak. Orang buta lain yang mendengar cerita mereka itu melopong.
Hari ini, banyak telahan mengenai politik Melayu. Semakin merana, kata pengkritik. Apatah lagi hujah-hujah yang dibawa parti-parti politik Melayu sehari dua ini agak ‘membingungkan’.
Pada hal para pemain dalam parti-parti inilah yang sama menggerakkan Kabinet kita. Bibit-bibit pergolakan dan saingan kuasa awalnya ‘ribut dalam cawan’ sudah pecah, mengalir deras keluar. Dibimbangi, mengulangi ‘langkah’ seperti mana awal tahun lepas.
Tanah Melayu dulunya dipecah perintah oleh British. Ada Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu dan Negeri-Negeri Selat.
Dicanang Inggeris Malayan Union 1946, mujurlah orang Melayu tersedar. Bangkit menyanggahnya hingga kita bersatu kembali. Tapi dibayar dengan harga mahal berdikit-dikit kita kehilangan Singapura. Dan masa beredar pusaka bergilir, di luar dugaan era politik moden, lenyap pula Pulau Batu Puteh.
Hari ini kelihatan tidak ada azam politik oleh parti-parti Melayu untuk satukan bangsanya. Lebih kepada kepentingan peribadi dan kuasa. Sedangkan di luar, cabarannya cukup getir, dengan ekonomi dan covidnya. Laut China Selatan pun sudah ‘bergelora’.
Setiap daripada orang buta tadi itu tidak salah. Mereka juga tidaklah betul. Mungkin begitulah kepelbagaian niat dan interpretasinya. Tapi orang politik jangan pula letakkan orang Melayu dalam dilema, kekeliruan dan kebingungan sama.
Kerana – tanggungjawab seluruh pemimpin Melayu terhadap bangsa, agama dan negara jauh lebih besar daripada pihak lain. Melayu adalah tunjang dan teras bagi Malaysia.
Lemah orang Melayu, lemahlah Malaysia. Tidak stabil.
Oleh: Zulkifli Jalil
No comments:
Post a Comment